Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

KELAYAKAN PIALA DUNIA

Singa harus lebih yakin, berani atur strategi

Nov 19, 2023 | 05:30 AM



Jurang perbezaan semasa pertembungan Singapura dengan Korea Selatan dalam aksi pembukaan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia pada Khamis di Seoul dianggap bagai langit dengan bumi.

Kemenangan memihak kepada Korea Selatan, pasukan nombor 24 dunia, dengan keputusan akhir 5-0 di Stadium Piala Dunia Seoul.

Pasukan Singa, yang berada 131 anak tangga di bawah seterunya, hanya mampu menggigit jari pada wisel penamat dan pulang ke tanah air berbekalkan pengalaman dan pengajaran menentang lawan bertaraf dunia sebagai saguhati.

Singapura dibelasah, dan keputusan itu sudah dijangka ramai.

“Ia tidak mengejutkan,” tulis seorang pengguna Facebook di ruang komen laman Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Seorang lagi berkata: “Kekalahan sudah dijangka.”

Namun begitu, mengapa wujudnya rasa kurang yakin sebegitu pada bola sepak negara?

Ia seakan kita telah menyerah kalah sebelum bertanding di atas padang.

Ya, kita semua sedia maklum bahawa bola sepak Singapura kini berada pada tahap agak tenat selepas memaparkan prestasi hambar di pertandingan peringkat rantau seperti Kejohanan AFF dan Sukan SEA.

Tetapi, rasa yakin, percaya diri dan semangat berjuang mati-matian harus ada. 

Bola itu bulat. Apa sahaja boleh berlaku.

Dalam kata lain, bukan kemenangan yang diharapkan penyokong pada Khamis, tetapi keupayaan pasukan Singapura untuk berdaya saing menentang pasukan hebat.

Buat masa ini, persembahan melebihi keputusan diperlukan untuk memikat semula hati penyokong.

Selama 44 minit pertama di Seoul, pasukan Singa cemerlang – dengan menunjukkan semangat juang yang baik dan berjaya mengekang ancaman percubaan lawan.

Tetapi, kekurangan fokus dalam pertahanan sebelum waktu rehat meletakkan Korea Selatan di hadapan menerusi jaringan Cho Geu-sung.

Jaringan pertama menjadi mangkin dan selepas itu pasukan ‘Pendekar Taeguk’ berpesta gol pada separuh masa kedua, hasil sumbangan Hwang Hee-chan, kapten Son Heung-min, Hwang Ui-jo dan Lee Kang-in.

Nasib dalam separuh kedua berbeza bagi Singapura, dan penyebabnya mungkin adalah konsistensi permainan dan taktik yang diatur.

Sejak Nishigaya menduduki “kerusi panas” pasukan Singa pada Mei 2022, identiti permainan Singapura ada kalanya kelihatan tidak diketahui atau kurang meyakinkan.

Dalam 20 perlawanan kendalian warga Jepun itu, beliau menang lapan, seri lima dan kalah tujuh.

Pada Khamis, Nishigaya melakukan lima pertukaran dalam kesebelasan utama yang merangkul kemenangan 1-0 ke atas Guam pada aksi kedua kelayakan pusingan pertama pada 17 Oktober.

Di bahagian pertahanan, Irfan Fandi, kembali selepas terlepas lapan perlawanan terakhir pasukan Singa, manakala pemain teguh, Safuwan Baharudin, membuat penampilan pertamanya untuk pasukan kebangsaan sejak Jun 2022 dan menyarung jersi Singapura buat kali ke-109.

Pasukan Singa diturunkan dalam formasi 5-4-1 yang sempit dengan Shah Shahiran dan Song Ui-young ditempatkan di bahagian luas ‘midfield’ tetapi kededua mereka diperlukan masuk dari bahagian sayap apabila tidak memiliki bola. 

Hasilnya adalah mereka dilihat terkejar-kejar lawan ketika Korea Selatan mendominasi permainan.

Tetapi, apabila Singapura memiliki bola, tiada taktik jelas untuk menyimpannya apatah lagi menyusun serangan dan menjaringkan gol.

Peluang menggoyahkan gawang Korea Selatan tidak banyak, dengan Shawal Anuar satu-satunya penyerang Singapura di bahagian depan.

Ia boleh difahami jika Nishigaya mahu anak didiknya bersikap defensif, tetapi kekurangan serangan balas di depan gawang lawan juga membimbangkan.

Kemenangan memerlukan jaringan gol.

Berdepan Thailand, pasukan nombor 112 dunia dan yang paling mampu Singapura saingi dalam Kumpulan C di Stadium Negara pada Selasa, Nishigaya harus lebih berani mengatur strategi mengancam benteng juara Asean tujuh kali itu.

Bak kata pujangga, berani ambil risiko tinggi, ganjarannya juga berpotensi tinggi.

Nishigaya hanya mempunyai baki kira-kira lima bulan pada kontraknya bersama FAS, yang dijangka tamat pada Mei 2024.

Kelayakan Piala Dunia akan berlangsung sehingga Jun 2024.

Masa semakin suntuk untuk Nishigaya membuktikan dirinya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >