Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura dibelasah Korea Selatan 0-5

Nov 16, 2023 | 9:16 PM
MENCABAR: Pemain pertahanan Singapura, Safuwan Baharudin (tengah, jersi biru) melompat tinggi untuk menanduk bola menentang penyerang Korea Selatan, Cho Geu-sung dalam aksi pembukaan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia di Stadium Piala Dunia Seoul pada Khamis.
MENCABAR: Pemain pertahanan Singapura, Safuwan Baharudin (tengah, jersi biru) melompat tinggi untuk menanduk bola menentang penyerang Korea Selatan, Cho Geu-sung dalam aksi pembukaan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia di Stadium Piala Dunia Seoul pada Khamis. - Foto FAS

Pasukan nombor 155 dunia, Singapura tewas 0-5 kepada Korea Selatan, yang menghasilkan prestasi “lima bintang” dalam aksi pembukaan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia di Stadium Piala Dunia Seoul pada Khamis malam.

Pasukan ‘Pendekar Taeguk’, yang berada di tangga ke-24 dunia, dibintangi ramai pemain berpangkalan di Eropah seperti bintang Tottenham Hotspurs, Son Heung-min, penyerang Wolverhampton Wanderers, Hwang Hee-chan dan pemain Paris Saint-Germain, Lee Kang-in, dan terbukti terlalu gagah untuk Singapura.

Ini meskipun ketua jurulatih Singapura, Takayuki Nishigaya, menurunkan barisan pertahanan yang dianggap beliau sebagai ‘terhebat’ sejauh ini dengan kepulangan Safuwan Baharudin dan Irfan Fandi dalam skuad negara.

Dua pemain ini bergabung bersama Lionel Tan di membarisi benteng pertahanan pasukan, dalam formasi 5-4-1.

Strategi itu mampu bertahan selama 44 minit pertama perlawanan tetapi goyah apabila menghadapi serangan bertubi-tubi Korea Selatan.

Penyerang Korea Selatan, Cho Geu-sung, beraksi hebat sebelum waktu rehat untuk menjaringkan gol pertama pasukan tuan rumah, mencetus keriuhan di kalangan majoriti 66,000 penyokong yang hadir.

Jaringan pertama menjadi mangkin dan selepas itu pendekar Taeguk berpesta gol pada separuh masa kedua, yang juga menyaksikan Irfan dan rakan sepasukannnya di kelab Thai, BG Pathum United, Ryhan Stewart, digantikan pada awal babak itu, menyaksikan M. Anumanthan dan Hafiz Nor dimasukkan..

Empat minit selepas waktu rehat, Hwang mengukuhkan kedudukan Korea Selatan menerusi jaringan gol kedua.

Ini diikuti dengan jaringan mantap dari jarak jauh oleh Son pada minit ke-63, gol ke-39 olehnya untuk Korea Selatan. 

Kecuaian Singapura dalam mengemudi benteng pertahanan dihukum lima minit kemudian apabila Korea Selatan dihadiahkan sepakan penalti.

Penyerang Hwang Ui-jo menyempurnakan tendangan.

Lee menambah kesengsaraan Singapura dengan menyumbat gol kelima Korea Selatan pada minit ke-85 sekali gus memberikan ketua jurulatih Jurgen Klinsmann permulaan baik dalam kempen mereka.

Tugas pasukan Singa seterusnya tidak kurang mencabar, berdepan juara Asean sebanyak tujuh kali, Thailand di Stadium Negara, pada Selasa depan.

Singapura diundi dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, China dan Thailand.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg