Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jordan Emaviwe terima panggilan sulung sertai skuad Singa

May 24, 2024 | 3:06 PM
Jordan Emaviwe (kanan sekali) antara 27 pemain kebangsaan Singapura yang dipilih untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Korea Selatan dan Thailand.
Jordan Emaviwe (kanan sekali) antara 27 pemain kebangsaan Singapura yang dipilih untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Korea Selatan dan Thailand. - Foto ST

Jordan Emaviwe, yang mempunyai ketinggian 1.95 meter, menjadi pemain penting di pertahanan Balestier Khalsa sejak menyertai mereka musim lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu, yang juga boleh bermain di bahagian tengah dan serangan tengah, kini boleh menggunakan fizikal tingginya untuk negara.

Beliau menerima panggilan skuad senior pertamanya pada 23 Mei, apabila jurulatih bola sepak kebangsaan, Tsutomu Ogura, mengumumkan skuad 27 pemain untuk kelayakan Piala Dunia Kumpulan C menentang Korea Selatan (di tempat sendiri pada 6 Jun) dan Thailand (di tempat lawan pada 11 Jun).

Emaviwe yang teruja dengan panggilan itu berkata:

“Impian ini sudah menjadi kenyataan dan ia adalah bukti kerja keras, dedikasi dan sokongan yang saya terima daripada keluarga, jurulatih dan rakan sepasukan sepanjang kerjaya saya.”

Emaviwe yang bapanya berasal dari Nigeria sementara ibunya warga Singapura berbangsa Cina, mengambil bahasa Cina sebagai bahasa ibunda di sekolah, membesar dengan mencontohi idolanya, John Obi Mikel, sebagai pemain tengah, tetapi kekuatan kaki kirinya memberinya peluang bermain di posisi lain.

Walaupun tidak dipilih untuk ke Akademi Bola Sepak Kebangsaan ketika berusia 13 tahun, beliau diundang menyertai FC Chiasso, pasukan Switzerland, serta pasukan Italy, FC Castiglione, pada 2017 dan 2018 sebelum menyertai Balestier pada 2020.

Beliau berpindah ke Young Lions sewaktu menjalani Perkhidmatan Negara dan menyumbang lapan gol dan lima ‘assist’ dalam 30 perlawanan dari 2021 hingga 2023.

Sejak kembali bersama Balestier pada Jun 2023, Emaviwe, yang juga pernah bermain untuk pasukan Bawah 23 negara, telah membuat 21 penampilan dan menjaring satu gol.

Sambil menunggu penampilan senior pertamanya, Emaviwe berkata: “Saya bersedia menghadapi cabaran akan datang dan manfaatkan peluang yang luar biasa ini.

“Dalam jangka panjang, saya berharap menjadi pemain yang konsisten dan boleh diharapkan untuk pasukan kebangsaan dan membantu pasukan kami mencapai perkara lebih besar di pentas antarabangsa.”

Walaupun Emaviwe merupakan satu-satunya pemain yang menerima panggilan senior pertama, lapan pemain lain – termasuk pemain Young Lions, Nur Adam Abdullah dan Farhan Zulkifli, Joshua Pereira dari Geylang International; dan Christopher van Huizen dari Lion City Sailors – kembali bersama pasukan kebangsaan sementara pemain seperti Zulfahmi Arifin, Hafiz Nor dan Ilhan Fandi terlepas.

Dengan Singapura berada di tangga terbawah kumpulan dengan hanya satu mata daripada empat perlawanan, mereka perlu memenangi baki dua perlawanan menentang lawan yang berada di kedudukan lebih tinggi dan berharap keputusan lain memihak kepada mereka untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.

Menggelarkan “skuad terbaik untuk dua perlawanan ini”, Ogura berkata: “Pemain yang tidak dipilih kali ini masih penting buat pasukan kebangsaan, kerana saya memilih skuad berdasarkan cabaran yang akan kami hadapi dalam waktu itu.

“Saya akan memberi Korea Selatan dan Thailand perlawanan yang sukar, dan meneruskan kemajuan yang telah kami capai sejak perlawanan menentang China.”

Lebih 40,000 tiket untuk perlawanan itu telah dijual dengan baki bilangan tiket terhad masih ada di platform Ticketek.

Skuad Singa

Penjaga gol: Hassan Sunny, Syazwan Buhari, Zharfan Rohaizad, Hairul Syirhan

Pertahanan: Amirul Adli, Jordan Emaviwe, Fairuz Fazli, Irfan Fandi, Nur Adam Abdullah, Joshua Pereira, Safuwan Baharudin, Ryhan Stewart, Lionel Tan, Christopher van Huizen

Pemain tengah: Hariss Harun, Farhan Zulkifli, Hami Syahin, Glenn Kweh, Jacob Mahler, Shah Shahiran, Song Ui-young, Harhys Stewart

Penyerang: Faris Ramli, Daniel Goh, Ikhsan Fandi, Shawal Anuar, Taufik Suparno

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg