Topik diikuti
Pergi ke BHkuSinga tersingkir dari Piala Asean Fifa selepas tewas kepada M’sia
Singa tersingkir dari Piala Asean Fifa selepas tewas kepada M’sia
Perjalanan Singa di dalam kejohanan Piala Asean Fifa berakhir selepas dibelasah 6-0 oleh Malaysia dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Oktober.
Malaysia mendahului 2-0 dalam separuh masa pertama sebelum menggandakan lagi empat gol dalam separuh masa kedua.
Perlawanan bermula sengit dengan kedua-dua pasukan saling mencipta peluang dalam usaha memburu gol bagi mengejar kelayakan ke pusingan Piala Asean Fifa seterusnya.
Malaysia bagaimanapun yang mendahului seawal minit ketiga selepas semakan VAR mendapati Ryhan Stewart mengasari Fergus Tierney di dalam kotak penalti pasukan Singa.
Penyerang Malaysia, Bergson da Silva, tenang menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk meletakkan Harimau Malaya di hadapan.
Semangat juang Singa diuji seawal permainan, namun mereka tidak mudah mengalah dan hampir menemui gol penyamaan tidak lama kemudian.
Satu gerakan menarik menyaksikan Ilhan Fandi dan Harhys Stewart memainkan peranan sebelum bola disalurkan kepada Song Ui-young, yang bijak menggelecek pertahanan Malaysia di dalam kotak penalti.
Namun, percubaan Song berjaya dihalang oleh penjaga gol Harimau Malaya, Syihan Hazmi.
Pada minit ke-19, Kyoga Nakamura pula melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti, tetapi Hazmi sekali lagi tampil tenang untuk mempertahankan gawangnya daripada dibolosi.
Malaysia kemudian menggandakan kelebihan kepada 2-0 pada minit ke-26 apabila Manuel Hidalgo berjaya melepasi dua pemain pertahanan Singapura sebelum menghantar bola kepada Stuart Wilkin yang menyambut bola untuk menjaringkan gol jarak dekat.
Singa terus berusaha mencari gol dan hampir merapatkan jurang pada minit ke-33 menerusi satu gerakan yang bermula daripada Glenn Kweh, yang berjaya merampas bola sebelum menemui Ilhan.
Ilhan kemudian mengumpan bola kepada Harhys di dalam kotak penalti, namun percubaan pemain itu sekali lagi berjaya diselamatkan oleh Hazmi.
Walaupun Singa terus mengasak benteng pertahanan Harimau Malaya, namun pasukan kendalian Tan Cheng Hoe yang berjaya mempertahankan kelebihan 2-0 mereka hingga separuh masa pertama berakhir.
Singa meneruskan usaha memburu gol selepas rehat dalam usaha merapatkan jurang, namun masih gagal menemui sentuhan penyudah.
Ilhan Fandi menjadi penggerak serangan apabila bergabung dengan Nur Adam sebelum bola disalurkan kepada Harhys Stewart, tetapi percubaan pemain itu gagal menemui sasaran.
Namun, Malaysia sekali lagi menghukum Singapura dengan menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-61.
Hantaran lintang Arif Aiman menemui Bergson, yang memanfaatkan peluang tersebut untuk menjadikan kedudukan 3-0 memihak Harimau Malaya.
Keadaan menjadi lebih teruk bagi pasukan Singa apabila pemain gantian Malaysia, Paulo Josue melebarkan jurang perlawanan apabila rembatan beliau melepasi Izwan Mahbud pada minit ke-76.
Malaysia mula berpesta gol dan menggandakan kelebihan mereka sekali lagi pada minit ke-86 apabila Syahir Bashah memanfaatkan serangan balas pantas Malaysia.
Bergson menjadikan malam di Bandung sebagai detik pahit bagi pasukan Singa apabila beliau menjaringkan gol ke-6 Harimau Malaya pada minit ke-93.
Kekalahan itu bermakna Singapura menamatkan kempen Kumpulan A di tangga ketiga dengan dua kekalahan (kepada Indonesia dan Malaysia) dan satu kemenangan (ke atas Bangladesh), lantas tersingkir dari Piala Asean Fifa di peringkat kumpulan.