Topik diikuti
Pergi ke BHkuS'pura wajib menang lawan M'sia; jentera serangan dituntut tajam
Beban gol Singa bukan hanya di bahu penyerang jelang pertembungan pada 1 Okt
S'pura wajib menang lawan M'sia; jentera serangan dituntut tajam
Keputusan seri tidak mencukupi buat Singapura menentang Malaysia, kerana hanya kemenangan yang mampu memastikan mereka dapat meneruskan kempen Piala Asean Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mereka.
Namun untuk menewaskan pesaing mereka itu, skuad Singa memerlukan gol, dan ketika ini, mereka dilihat kekurangan ketajaman di jentera serangan.
Dalam dua perlawanan kejohanan itu di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Singa hanya menjaringkan satu gol iaitu tandukan kemenangan Harhys Stewart menentang Bangladesh.
Dengan hanya membawa dua penyerang bagi keseluruhan skuad, tekanan kini sepenuhnya digalas skuad Singa untuk membuktikan bahawa mereka mempunyai keupayaan untuk bangkit dan menghasilkan gol pada waktu yang paling kritikal dalam perlawanan kalah mati menentang Malaysia pada 1 Oktober.
Walaupun pilihan di bahagian hadapan agak terhad, Singapura masih mempunyai beberapa penjaring harapan.
Ilhan Fandi muncul sebagai penjaring terbanyak Singapura pada 2026 dengan empat gol dan penyerang kelab Lion City Sailors itu sudah membuktikan bahawa beliau mampu menghasilkan jaringan dalam detik-detik penting.
Antara contoh terbaik dapat dilihat ketika Singapura membuka kempen Piala Asean Hyundai 2026 dengan kemenangan 2-1 ke atas Kemboja.
Dengan perlawanan menuju penghujung dan kedudukan terikat, Ilhan muncul untuk menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.
Tetapi Ilhan tidak boleh menjadi satu-satunya harapan.
Shawal Anuar juga mempunyai rekod menjaringkan gol-gol penting untuk Singapura, termasuk gol penyamaannya di Hong Kong untuk mengikat perlawanan, sebelum Ilhan menjaringkan gol kemenangan yang membolehkan kelayakan bersejarah ke Piala Asia.
Selepas perlawanan menentang Bangladesh, Shawal sendiri mengakui Singapura perlu lebih tajam di depan gawang, selepas mencipta beberapa peluang tetapi hanya mampu menjaringkan satu gol.
Namun beliau tidak melihat tanggungjawab menjaringkan gol sebagai sesuatu yang hanya perlu dipikul oleh dua penyerang yang dibawa ke kejohanan itu.
“Apabila kita menyarung jersi pasukan kebangsaan, tanggungjawabnya lagi berat.
“Semua akan mempunyai perasaan yang sama,” kata Shawal.
“Mana-mana pemain dalam pasukan ini mampu menjaringkan gol.
“Kami hanya perlu yakin dengan kemampuan sendiri dan bekerjasama sebagai satu pasukan,” tambahnya.
Itulah yang mungkin menjadi kunci kepada Singapura ketika menentang Malaysia.
Ancaman gol mereka tidak semestinya perlu datang daripada Ilhan atau Shawal.
Faris Ramli, misalnya, mempunyai sejarah menghasilkan jaringan dalam perlawanan menentang Malaysia.
Beliau menjaringkan gol kemenangan Singapura ketika menewaskan Malaysia 1-0 di Stadium Bukit Jalil pada 2019, satu pengalaman yang turut menggambarkan keupayaannya untuk tampil dalam perlawanan berprofil tinggi.
Kehadiran Faris memberikan Singapura satu lagi pilihan untuk membuka ruang dari bahagian sayap.
Begitu juga dengan pemain tengah.
Gol tunggal Singapura ketika menentang Bangladesh hadir daripada Harhys Stewart, yang melakukan larian daripada bahagian tengah ke dalam kotak penalti.
Song Ui-young juga boleh memainkan peranan penting.
Pemain tengah itu turut mempunyai keupayaan untuk menyumbang gol, selain sering bergabung baik dengan rakan sepasukannya di Sailors, Ilhan.
Dalam perlawanan yang sengit, gabungan dan ancaman daripada pemain tengah bakal menjadi penting.
Namun, di bawah tekanan menjaringkan gol, jentera serangan Singa harus memastikan mereka kekal tenang dan bersedia untuk memanfaatkan peluang seterusnya.
Dalam perlawanan sengit sebegini, ia bukan lagi soal siapa yang menjaringkan gol, tetapi sejauh mana keseluruhan pasukan bersedia menyahut cabaran.
Ketenangan di depan pintu gol dan kerjasama erat di atas padang akan menjadi jawapan sama ada Singa mampu mengaum megah menewaskan musuh tradisi mereka pada 1 Oktober ini.