NEW YORK: Pemain tenis nombor satu dunia, Jannik Sinner, dan bekas juara Terbuka Amerika Syarikat dari Russia, Daniil Medvedev, menetapkan pertarungan suku akhir pada 2 September, selepas Novak Djokovic dan Carlos Alcaraz tersingkir.
Sinner mara ke peringkat lapan terakhir buat kali kedua dengan menewaskan pilihan ke-14 dari Amerika, Tommy Paul, 7-6 (7-3), 7-6 (7-5), 6-1.
Medvedev mara ke suku akhir Terbuka Amerika buat kali kelima dalam enam tahun pada 1 September, dengan kemenangan straight set ke atas pemain bukan pilihan, Nuno Borges.
Pemain Russia itu, yang juga pemenang pada 2021 di New York, menewaskan pemain Portugal, Borges 6-0, 6-1, 6-3, yang berusaha keras untuk menjadi pemain Portugal pertama mara ke suku akhir Grand Slam.
Borges gagal mengulangi prestasi pada peringkat sama di Terbuka Australia, tatkala beliau mampu merampas satu set daripada Medvedev. Tetapi kali ini, beliau melakukan banyak kesilapan.
“Jujurnya, beliau beraksi lebih buruk berbanding di Melbourne.
“Beliau banyak melakukan kesilapan. Ramai buat kesilapan di sini, mungkin ada kaitan dengan keadaan bola,” kata Medvedev kepada wartawan.
Medvedev adalah satu-satunya bekas juara yang tinggal dalam kejohanan itu selepas pemain Serbia, Novak Djokovic, dan pemain Sepanyol, Carlos Alcaraz, tersingkir secara mengejut.
Sinner dan Medvedev akan bertemu buat kali keempat pada kempen ini pada 4 September. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg