Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BELASUNGKAWA

Sir Bobby Charlton insan pengasih, wira bola sepak, negarawan

(1937-2023) Warisan Charlton – tiga kejuaraan liga, satu Piala Eropah, Piala Dunia, 249 jaringan untuk Manchester United, 49 untuk England
Nov 19, 2023 | 05:32 AM



LONDON: Anda boleh mengetahui banyak perkara mengenai watak sebenar seseorang melalui gambar yang digunakan untuk menandakan pemergian mereka.


Upacara memperingati mendiang Sir Bobby Charlton adalah sebuah acara global, jelas terlihat menerusi bilangan kru televisyen yang hadir, di Katedral Manchester dan juga Stadium Old Trafford.

Ia juga terbukti dalam ketokohan mereka yang hadir, termasuk Putera William, pengurus England Gareth Southgate, dan Aleksander Ceferin, presiden badan induk bola sepak Eropah, Kesatuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Uefa).

Anda juga boleh mendapat gambaran ketokohan mendiang yang mesra dengan panggilan ‘Sir Bobby’ dengan bilangan ‘orang-orang biasa’ yang hadir.

Mereka memberi penghormatan kepada seorang insan yang, sehingga baru-baru ini, adalah pemegang rekod bagi Manchester United dan England sebagai penjaring gol terbanyak, dan bersama rakan sepasukan lama Nobby Stiles, kekal sebagai salah seorang daripada dua pemain Inggeris yang memenangi kededua Piala Dunia dan Piala Eropah.

Di muka hadapan buku peringatan kecil yang dihasilkan, terpampang wajah Charlton yang tersenyum, berseri-seri menggayakan tali leher hitam, setiap inci fotonya itu menyerlahkan beliau sebagai seorang negarawan dan seorang duta, yang menjelajah dunia mewakili kelab dan negara.

Di halaman belakang pula adalah foto Charlton yang lebih muda, rambut perang berterbangan ditiup angin, memakai jersi berwarna merah dan putih yang begitu sinonim dengan kerjayanya sebagai pemain profesional.

Namun, dalam muka surat seterusnya adalah Charlton, bersama isterinya Norma, dan anak-anak Suzanne dan Andrea, bergambar selepas menerima anugerah OBE di Istana Buckingham pada 1969.

Keperibadian sedemikian, sebagai seorang ketua keluarga yang dikasihi dan mengasihi keluarganya, merupakan elemen penting dalam kehidupannya yang luar biasa.

Walaupun terdapat begitu banyak kamera di luar katedral, namun, kamera tidak dibenarkan di dalam katedral sebagai menghormati permintaan Norma agar upacara itu berlangsung secara tertutup.

Ini juga ditekankan dalam penghormatan yang menyentuh hati cucu Charlton, William Balderston, yang bercakap mengenai kemesraan yang dirasakan daripada mendiang datuknya itu semasa hayatnya.

Antara lain, beliau menceritakan tentang “satu hari bersalji” apabila datuknya itu melompat di atas kereta luncurnya dan menuruni bukit dengan kelajuan “menggilakan”, sebelum berlumba semula ke atas bukit secepat mungkin.

Inilah Charlton dalam kehidupan sebenar. Jauh daripada kilauan publisiti dan perhatian media.

Warisan Charlton – tiga kejuaraan liga, satu Piala Eropah, Piala Dunia, 249 jaringan untuk Manchester United, 49 untuk England – akan bertahan sepanjang zaman.

Beliau antara insan yang terselamat dalam nahas udara Munich pada 1958 dengan lapan daripada rakan sepasukannya antara 23 yang kehilangan nyawa.

Ia adalah detik yang mengubah United dan Charlton selama-lamanya, Tetapi Charlton lebih daripada itu.

Seperti yang dijelaskan oleh bekas ketua eksekutif United, David Gill dalam euloginya, Charlton mencerminkan tempoh masa yang kurang rumit.

“Statistik beliau dalam bola sepak yang paling menyerlah bagi saya ialah hanya dua kad kuning dan tidak pernah dibuang padang,” kata Gill.

“Bagi saya, ini mencerminkan anda boleh menjadi seorang bintang dan pesaing yang sengit, namun tetap menjadi insan berbudi tinggi.

“Nama Bobby adalah sinonim dengan semua yang baik mengenai bola sepak Inggeris.”

Tidak mengejutkan juga bahawa Sir Alex Ferguson memilih upacara memperingati Charlton untuk kemunculan awam pertamanya sejak kematian isteri, Cathy, pada Oktober.

Sir Alex mengisytiharkan: “Jika bukan kerana Sir Bobby saya tidak akan berada di sini.”

Penghormatan ketiga bagi Charlton datang daripada ketua eksekutif Yayasan Manchester United, John Shiels, yang mendedahkan beliau pertama kali bertemu dengan tokoh bola sepak legenda itu apabila beliau mula bekerja di salah sebuah sekolah bola sepaknya pada 1970-an.

“Beliau adalah seorang karyawan unggul dan mempunyai adab yang sempurna,” katanya.

“Sepanjang saya bersamanya, saya rasa saya tidak mendengar beliau meninggikan suara atau menggunakan kata kesat.”

Di dalam dan di luar katedral, kata-kata yang mencerminkan warisan Charlton diperkatakan secara meluas daripada tokoh dalam dan luar bola sepak.

Namun, individu yang mungkin memberi rumusan terbaik mengenai kehidupan Charlton ialah Paderi Grace Thomas.

“Adalah menjadi tugas saya untuk mencuba dan menyatakan maksud semua ini,” katanya.

Paderi Thomas tidak bercakap tentang Charlton sebagai ‘superstar’ bola sepak, atau Charlton sebagai ikon sejagat.

Beliau bercakap tentang Charlton sebagai ketua keluarga yang pengasih dan dikasihi, insan rendah hati, yang tidak pernah terbawa-bawa dengan ketokohan dirinya dan tidak pernah menjemukan cucunya dengan cerita tentang apa yang beliau lakukan di atas padang.

“Sir Bobby, berehatlah,” katanya. “Anda akan sentiasa dalam ingatan.” – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >