Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

FIFA denda FAM, 7 pemain kebangsaan digantung kemuka dokumen palsu

Sep 27, 2025 | 8:55 AM
FAM, didenda, FAS, pemain
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano. - Foto FACEBOOK ASEANFOOTBALL

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.

Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 ($566,685).

Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta.

FIFA turut merujuk isu kelayakan pemain terbabit untuk mewakili Malaysia kepada Tribunal Bolasepak FIFA bagi pertimbangan lanjut.

FAM dan pemain-pemain berkenaan sudah dimaklumkan mengenai keputusan itu, dengan hukuman berkenaan masih boleh dirayu kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.

Terdahulu pada Julai lalu, sebuah laporan dari Indonesia mendakwa kemenangan 4-0 Malaysia ke atas Vietnam pada 10 Jun mungkin dibatalkan susulan dakwaan sebahagian pemain naturalisasi Harimau Malaya tidak layak beraksi.

Laporan itu menyebut keputusan berkenaan boleh dianggap tidak sah sekali gus kemenangan diberikan 3-0 kepada Vietnam.

Bagaimanapun, FAM ketika itu menolak dakwaan berkenaan sebagai tidak berasas dengan menegaskan segala prosedur pendaftaran pemain sudah dipatuhi.

Untuk rekod, sembilan daripada 11 pemain utama Malaysia pada aksi menentang Vietnam adalah pemain naturalisasi, dengan lima daripadanya – Figueiredo, Holgado, Irazabal, Garces dan Machuca – menerima kelulusan FIFA hanya beberapa jam sebelum sepak mula.

Sementara itu, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John mengesahkan perkara itu secara ringkas kepada BHM. – BHM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg