Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skuad muda takraw S’pura raih gangsa di Piala Raja Thai

Separuh dari skuad nasional yang dipilih merupakan muka baru di pentas antarabangsa
Sep 9, 2024 | 2:40 PM
Pasukan regu lelaki sepak takraw Singapura yang terdiri daripada (dari kiri) Zaihirrman Zaharudin, Youri Adli Fathullah Ahmadi, Akmal Musyarraf Rostam, Muhammad Danish Irfan Muhamad Faizal dan Raziq Rosli memenangi pingat gangsa dalam Piala Raja Thai 2024 di Korat.
Pasukan regu lelaki sepak takraw Singapura yang terdiri daripada (dari kiri) Zaihirrman Zaharudin, Youri Adli Fathullah Ahmadi, Akmal Musyarraf Rostam, Muhammad Danish Irfan Muhamad Faizal dan Raziq Rosli memenangi pingat gangsa dalam Piala Raja Thai 2024 di Korat. - Foto SALLEH NANANG

Keputusan ketua jurulatih pasukan nasional sepak takraw lelaki, Salleh Nanang, untuk membawa dan menurunkan pemain muda membuahkan hasil apabila Singapura meraih pingat gangsa dalam kejohanan Piala Raja Thai 2024 yang berlangsung dari 1 hingga 8 September.

Di Korat, Thailand, skuad Singapura meraih tempat ketiga dalam divisyen perdana acara regu lelaki setelah mencatatkan dua kemenangan ke atas China dan Brunei Darussalam.

Divisyen teratas acara itu turut dianggotai juara, Malaysia, dan India, yang memenangi pingat perak.

Acara regu lelaki juga menampilkan dua lagi divisyen – Divisyen 1 (11 pasukan) dan Divisyen 2 (enam pasukan). 

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Salleh, 62 tahun, memuji prestasi yang dipaparkan anak didiknya.

“Kami sangat bangga dengan prestasi mereka walau ada pemain yang beraksi buat kali pertama. Kesungguhan nampak pada mereka yang ingin memenangi perlawanan,” kata bekas pemain nasional itu.

Semasa Piala Raja Thai, separuh daripada pasukan Singapura seramai 12 pemain adalah muka baru di pentas antarabangsa.

Enam pemain itu ialah Putera Ahmad Syukry Mohamed Ronzienoor, 18 tahun; Mohammad Fairuz Azahari, 20 tahun; Raziq Rosli, 23 tahun; Tan Kee Ler, 21 tahun; Mohammad Hadi Haerdianshah Haerdeno, 18 tahun; dan Abdul Hammirruddin Noor, 25 tahun.

Mereka disertai Muhammad Khairishamy Shamsudin, 27 tahun; Khairul Fahmi Yazid, 25 tahun; Akmal Musyarraf Rostam, 23 tahun; Zaihirrman Zaharudin, 26 tahun, dan Youri Adli Fathullah Ahmadi, 18 tahun.

Skuad itu, yang diketuai kapten Muhammad Danish Irfan Muhamad Faizal, 23 tahun, mempunyai purata usia 22 tahun.

“Ya, kami harus berani menurunkan pemain muda kerana mereka dapat bertahan dalam pasukan selama beberapa tahun,” ujar Salleh.

“Permainan mereka akan bertambah baik dan pengalaman mereka juga akan menjadi luas. Pada akan datang, ini akan mendorong anak muda lain untuk meminati sepak takraw,” tambahnya.

Kemenangan itu juga merupakan yang pertama buat Salleh dan penolong jurulatih, Nurhisham Adam, iaitu kededua ikon sepak takraw negara, yang dilantik oleh Jawatankuasa Persediaan Temasya Sukan Utama (MGPC) pada Mac.

Salleh menganggap kemenangan itu bermakna buat pasukannya.

“Pemain dapat menyahut cabaran yang kental ketika berdepan pasukan yang hebat. Ia juga membuka laluan yang betul buat pasukan sepak takraw Singapura pada masa mendatang,” ujarnya lagi.

Dengan prestasi menggalakkan itu, Salleh berharap untuk meneruskan perkembangan mereka di peringkat nasional selain membawa masuk lagi ramai pemain muda yang berbakat.

“Kami akan cuba kekalkan pemain yang sedia ada dan juga akan mengundang beberapa pemain semuda 13 dan 14 tahun yang berkebolehan yang saya lihat bermain dalam pertandingan Pesta Sukan baru-baru ini… Kami perlukan pemain yang rajin dan berdisiplin tinggi,” tambah Salleh.

Singapura juga bersaing dalam acara pasukan regu lelaki di Piala Raja.

Dalam Kumpulan D seramai tiga pasukan, Singapura mampu menang Vietnam tetapi tewas kepada Korea Selatan.

Keputusan itu tidak melayakkan pasukan negara ke separuh akhir. Sementara itu, Thailand menjuarai acara pasukan regu lelaki.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg