Topik diikuti
Pergi ke BHkuSkuad Singa wanita sasar slot final Piala Wanita AFF 2026
Skuad Singa wanita sasar slot final Piala Wanita AFF 2026
Skuad Singa wanita sasar slot final Piala Wanita AFF 2026
Ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita Singapura, Mihoko Ishida, meletakkan sasaran tinggi menjelang kejohanan besar pertamanya bersama pasukan bola sepak wanita, dengan menyasarkan tempat ke final Piala Wanita AFF 2026.
Singapura akan memulakan kempen dalam Kumpulan A menentang Laos pada 13 Julai, sebelum berdepan tuan rumah Malaysia pada 16 Julai.
Kededua perlawanan akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Walaupun keputusan menjadi ukuran utama dalam kejohanan, Ishida percaya perkembangan pasukan turut bergantung kepada proses yang dilalui sepanjang persiapan.
“Sebagai sebuah pasukan, sasaran pasukan adalah untuk mara ke final. Itu sasaran pasukan dan kami berkongsi sasaran itu dengan semua orang,” kata jurulatih berusia 43 tahun apabila ditemui Berita Harian (BH) di Hab Bola Sepak Kallang.
“Sudah tentu keputusan akan dinilai berdasarkan keputusan, tetapi bagi saya, proses lebih penting. Apakah proses yang kami lalui untuk sampai ke tahap itu.”
Piala Wanita AFF 2026 menjadi kejohanan utama pertama Ishida sejak dilantik menerajui pasukan wanita Singa, dan jurulatih Jepun itu mengekalkan sebahagian besar pemain daripada kempen tempoh antarabangsa Jun lalu.
Skuad 23 pemain yang dipilih mempunyai purata usia 21 tahun, dengan Ishida menggabungkan kesinambungan pemain sedia ada bersama beberapa muka baharu dalam usaha membina pasukan yang lebih berdaya saing.
Antara pemain baharu yang mendapat perhatian ialah Mulan Ayliffe, 18 tahun, yang beraksi bersama Partizan Belgrade dalam Liga Super Wanita Serbia.
Pemain remaja itu sebelum ini pernah mewakili Singapura di peringkat bawah 16 tahun dan bawah 19 tahun, dan kini menanti penampilan sulung di peringkat senior.
Pada masa sama, Singapura turut memiliki pemain yang sudah mempunyai pengalaman kejohanan.
Yasmine Zaharin, 20 tahun, yang beraksi di IMG Academy, membuat penampilan sulung bersama pasukan senior pada edisi 2024 dan sejak itu menjadi antara pemain tetap skuad kebangsaan dengan 13 penampilan.
Dengan skuad yang masih muda, Ishida mengakui pembangunan pemain kekal menjadi antara keutamaan bola sepak wanita Singapura.
Namun, beliau percaya pengalaman di pentas kejohanan amat penting untuk membantu pemain berkembang.
“Untuk meningkatkan bola sepak Singapura, mendapatkan pengalaman sebegitu sememangnya sangat penting,” katanya.
“Kami perlu terus memberi motivasi kepada mereka, dan mereka juga perlu memahaminya serta terus melakukannya sendiri bersama kelab masing-masing.”
Beliau menegaskan perkembangan bola sepak wanita memerlukan usaha bersama daripada semua pihak dalam ekosistem sukan itu.
“Itulah bagaimana ekosistem bola sepak wanita Singapura seharusnya berjalan. Kami memberikan 100 peratus usaha untuk menyokong cara itu,” ujarnya.
Menjelang perlawanan pembukaan menentang Laos, Ishida berkata fokus utama pasukan adalah mengambil satu langkah pada satu masa.
“Proses pertama sudah pasti adalah perlawanan pertama menentang Laos. Buat masa ini, kami memberi tumpuan sepenuhnya kepada Laos untuk melakukan persiapan terbaik,” katanya.
Ishida turut merakamkan penghargaan kepada penyokong yang terus memberikan sokongan terhadap perkembangan bola sepak wanita Singapura, sambil berjanji pasukan itu akan memberikan persembahan terbaik.
“Bukan sahaja pemain tetapi juga staf, kami bersatu bersama dan melakukan persiapan terbaik untuk AFF yang akan datang.”
“Saya akan cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik daripada kami semua, dan kemudian menunjukkan persembahan terbaik.”
“Harap terus nantikan aksi kami dan teruskan memberikan sokongan,” tambahnya.
