Skuad bola sepak Bawah 17 Tahun (U17) Singapura sedang membuat persiapan untuk menebus kekecewaan susulan dua kekalahan berturut-turut dalam Piala Lion City pada 4 dan 6 Oktober.
Skuad U17 Singa dijadualkan berdepan dengan Oman dalam pusingan kelayakan Piala Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) U17 pada 23 Oktober di Stadium Bishan sebelum bermain dengan Tajikistan pada 25 Oktober dan Guam pada 27 Oktober.
Dalam satu kenyataan oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 14 Oktober, Singapura berada dalam Kumpulan J.
Ketua jurulatih skuad U17 Singapura, Angle Toledano Flores, berkata pengalaman bermain dalam Piala Lion City penting bagi pemain kerana ia “menyerlahkan aspek utama yang boleh diperhalusi”, khususnya berkenaan pengendalian tekanan dan jangkaan.
“Sedang kami membuat persiapan untuk pusingan kelayakan Piala Asia AFC U17, tumpuan kami adalah membantu pemain meningkatkan pengurusan permainan mereka dan bermain secara bebas,” ujarnya.
Dalam perlawanan pembukaan Piala Lion City – yang disertai empat pasukan, termasuk Singapura dan Tokyo Verdy – anak didik Toledano tewas 0-1 di tangan pasukan Thailand, BG Pathum United dan sekali lagi tewas di tangan Johor Darul Takzim (JDT) 1-5.
Piala itu dimenangi oleh Tokyo Verdy, dengan BG Pathum United di tangga kedua manakala JDT di tangga ketiga.
FAS menambah bahawa tiket bagi perlawanan tersebut sudah mula terjual dan boleh dibeli di laman Ticketek.
Tiket dewasa berharga $12 manakala tiket konsesi berharga $6 bagi pelajar berusia 16 tahun dan ke bawah serta warga emas berusia 60 tahun ke atas.
FAS turut menjelaskan bahawa bagi peminat yang ingin menonton secara berkumpulan, mereka boleh mendapatkan nilai khas, dengan 10 tiket dewasa berharga $100 manakala lima tiket dewasa berharga $55.
Semua harga tiket tidak termasuk caj penempahan.
Tiket juga boleh didapati pada hari perlawanan di tempat jualan tiket yang terletak antara Gerbang 3 dengan Gerbang 4 Stadium Bishan, dari 3 petang hingga 9.15 malam, tambah FAS.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg