LIVERPOOL (England): Pasukan Liverpool berjaya meraih satu mata ketika menentang Sunderland, dalam persembahan hambar yang membawa kepada keputusan seri 1-1 dalam Liga Perdana England (EPL) pada 3 Disember.
Namun keputusan itu tampak seperti satu kemerosotan selepas kemenangan menggalakkan 2-0 oleh juara bertahan EPL itu ke atas West Ham United pada hujung minggu lalu.
Rembatan Florian Wirtz pada minit ke-81 telah menyelamatkan Liverpool daripada kekalahan ke-10 dalam 14 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan, dalam musim yang mencabar bagi pasukan pimpinan Arne Slot itu.
“Terlalu banyak kali musim ini kami terlepas banyak peluang, tetapi sebaliknya memberikan peluang kepada pihak lawan,” kata Slot dengan wajah muram.
“Kami tidak cukup bernasib baik untuk meraih kemenangan, tetapi dalam beberapa minggu kebelakangan ini kami tidak tewas dalam beberapa perlawanan, dan ini adalah perkara positif.”
Slot menampilkan isu berulang yang terus menghantui juara bertahan itu – tidak memiliki kelebihan dalam perlawanan.
“Kami sudah pun bermain 14 perlawanan dan kami belum dapat menjaringkan gol yang mencukupi,” katanya lagi.
Kekecewaan beliau itu menggariskan trend membimbangkan bagi Liverpool yang menguasai perlawanan, tetapi jarang mengancam gawang pelawat, sehinggalah jaringan Wirtz itu.
“Agak serupa seperti menentang West Ham pada hujung minggu lalu, yang menyaksikan kami tidak banyak dibolosi, namun kami juga tidak banyak mencipta peluang.
“Dan hari ini sudah tentu sangat tidak bernasib baik – kerana satu tendangan yang mungkin boleh pergi ke mana-mana, tetapi malangnya ia masuk.
“Kami mencuba segala-galanya untuk mendapatkan gol kemenangan tetapi pada akhirnya kami juga bernasib baik kerana mereka mempunyai peluang satu lawan satu dengan penjaga gol, Alisson,” kata Slot.
Peminat Sunderland pada awalnya bersorak dengan apa yang mereka sangkakan akan menjadi gol kemenangan apabila Wilson Isidor berlari ke arah gol dan melepasi Alisson pada masa tambahan, tetapi rembatannya itu ditepis keluar di garisan gol oleh Federico Chiesa.
“Itulah yang anda mahu pemain lakukan, berikan segala-galanya yang terbaik dalam situasi seumpama itu,” kata Slot mengenai aksi Chiesa itu.
“Teruskan berlari dan menahan bola di garisan gol. Satu lagi perlawanan yang menyaksikan kami menjaringkan kurang daripada yang kami boleh jaringkan, dan pihak lawan pula bermain dengan baik dan merebut peluang yang ada,” tambah Slot. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg