Topik diikuti
Pergi ke BHkuSlot dipecat, tiada Salah, Robertson, Konate: Krisis atau peralihan wajar?
Slot dipecat, tiada Salah, Robertson, Konate: Krisis atau peralihan wajar?
Slot dipecat selepas juara bertahan EPL akhiri musim 25 mata di bawah juara baru, Arsenal
Slot dipecat, tiada Salah, Robertson, Konate: Krisis atau peralihan wajar?
LONDON: Matahari bersinar dan air mata mengalir pada hari yang penuh emosi di Anfield ketika Liverpool mengucapkan selamat tinggal kepada dua legenda mereka, Mohamed Salah dan Andrew Robertson.
Memandangkan kelayakan ke Liga Juara-Juara sudah hampir pasti, perhatian sepanjang perlawanan seri menentang Brentford lebih tertumpu kepada kedua-dua pemain itu yang digantikan pada babak kedua dan dihormati dengan barisan pengiring.
Sembilan tahun berlalu dan babak dua pemain itu bersama Liverpool sudah berakhir.
Namun, ramai penyokong setia kelab itu tidak menyangka Arne Slot dan Ibrahima Konate akan menyusul mereka keluar dari kelab tersebut.
Hujung minggu ini, Konate diumumkan sebagai tidak akan menyambung kontrak di Liverpool dan akan meninggalkan kelab sebagai ejen bebas.
Lebih memeranjatkan, Slot, yang memimpin Liverpool untuk menjulang Liga Perdana England (EPL) dalam musim pertama dengan Liverpool telah dipecat pemilik kelab tersebut.
Beliau dianggap tidak memenuhi jangkaan selepas musim kedua yang mengecewakan, di mana Liverpool mengakhiri musim 25 mata di belakang juara, Arsenal dan boleh dikatakan ‘bernasib baik’ untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Menurut beberapa pihak yang dekat dengan kelab itu, pemilik kelab memutuskan untuk berbuat demikian bukan kerana perhubungan dengan Slot telah terputus, tetapi kerana inginkan pengurus yang lebih rela menyusun pasukan supaya menyerang lawan – sesuatu aspek yang kurang ditonjolkan Liverpool musim lalu dan sifat yang telah dijiwai bekas pengurus Liverpool sebelum Slot, iaitu Jurgen Klopp.
Justeru, Andoni Iraola, yang meninggalkan Bournemouth di akhir musim lalu, kini dikaitkan dengan jawatan kosong di Liverpool itu.
Dalam temu bual pertamanya sebagai ketua jurulatih Liverpool pada Jun 2024, Slot ditanya mengenai “beberapa persamaan” antara gaya permainannya dengan pengurus sebelumnya, Jurgen Klopp.
Slot berkata pihak pengurusan Liverpool tidak mahukan gaya permainan yang sama, tetapi mencari pendekatan yang hampir serupa dan itulah antara sebab utama pengarah sukan, Richard Hughes, memilih untuk melantiknya.
“Kami semua mendapat inspirasi daripada (Pep) Guardiola dan Klopp, dan saya rasa di kelab besar seperti di Feyenoord tempat saya berkhidmat sebelum ini, itulah mungkin satu-satunya gaya yang boleh dimainkan: banyak menguasai bola, penuh tenaga... terdapat persamaan antara kelab yang saya tinggalkan dengan kelab yang akan saya sertai,” kata Slot pada ketika itu.
“Penyokong suka melihat pasukan yang mahu melakukan segalanya untuk menang, dan apabila keadaan sukar, mereka cuba membalikkan keadaan.”
Dalam musim sulung yang memukau, Liverpool kendalian Slot memecut ke puncak EPL dan hanya tewas dua perlawanan sebelum trofi dijulang pada April 2025.
Pada musim itu, dalam 34 perlawanan liga pertama mereka, Liverpool mencatat purata 2.4 mata setiap perlawanan.
Mereka bijak menguasai bola dan pandai mengawal perlawanan dan ia terbukti apabila mereka memenangi 21 daripada 23 perlawanan ketika berjaya menjaringkan gol pertama.
Namun, musim yang baru berlalu ini jauh berbeza, Liverpool tewas dalam 12 perlawanan liga dan 19 perlawanan merentasi semua pertandingan, menjadikan pertahanan gelaran juara EPL mereka antara yang paling mengecewakan.
Walaupun mereka telah memastikan kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan, rasa tidak puas hati penyokong sepanjang kempen ini jelas kelihatan, dan ia merupakan petanda yang berkesudahan dengan pemecatan Slot.
Merentasi 38 perlawanan liga, Liverpool mencatat purata hanya 1.6 mata setiap perlawanan untuk tamat dengan 60 mata, antara jumlah terendah bagi mana-mana pasukan England yang layak ke Liga Juara-Juara melalui kedudukan liga.
Liverpool secara tradisinya bukan kelab yang gemar memecat jurulatih namun, tidak dapat dinafikan bahawa hubungan Slot dengan penyokong semakin rapuh.
Pada beberapa kesempatan musim ini, pemimpin Liverpool telah dicemuh apabila meninggalkan padang di Anfield.
Hubungan Slot dengan pemainnya juga disyaki kian renggang.
Kenyataan Salah sebelum perlawanan terakhir yang menyeru perubahan gaya permainan hanya menambahkan lagi ketegangan.
“Saya sebut berkali-kali, ini adalah tahun paling mencabar dalam kerjaya saya,” kata kapten Liverpool, Virgil van Dijk.
“Ia sukar untuk diterima, dan sukar untuk dilalui bersama sebagai pasukan, tetapi kami adalah Liverpool dan kami akan bangkit lebih kuat. Itulah tumpuan utama sekarang.”
Slot berusaha tidak mahu merumitkan keadaan, tetapi ia jelas tidak memberikan gambaran yang baik untuknya dan kelab.
Namun, Slot menegaskan pada awal Mei bahawa beliau mempunyai “setiap sebab untuk percaya” bahawa beliau akan terus menjadi pengurus Liverpool musim hadapan, dengan kontrak semasanya tamat musim panas hadapan.
Liverpool juga hampir melantik bekas pembantu Slot, Etienne Reijnen, ke barisan jurulatih mereka, satu langkah yang menunjukkan kelab tetap komited terhadap Slot.
Persembahan Liverpool semasa menentang Brentford pada 24 Mei sekali lagi biasa-biasa sahaja dan ia diikat seri 1-1.
Ini selepas Liverpool tewas 2-4 kepada Aston Villa pada minggu sebelumnya.
Memang, sebagaimana yang sering ditimbulkan oleh Slot, pasukan lawan bermain corak bertahan semasa bertemu Liverpool dan ia mengalami bilangan kecederaan yang tinggi musim ini.
Keadaan mental pemain juga terganggu selepas rakan sepasukan Diogo Jota meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya yang mengerikan.
“Pada pendapat saya, ia tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan bilangan trofi yang dimenangi, tetapi juga berdasarkan bagaimana pasukan anda bermain,” kata Slot pada Januari lalu.
Beliau sedar itulah bidang yang perlu diperbaiki oleh pasukannya.
Buat masa ini, tiada sedikit pun kelihatan semangat yang beliau sebut dalam temu bual pertamanya itu, tetapi sekurang-kurangnya Slot sedar akan hal itu, mengakui bahawa beliau tidak menyukai banyak permainan Liverpool musim ini.
Namun, Slot juga akur pasukannya masih berjaya memperbaiki diri dan bersaing dengan sebaik-baiknya, sambil mempersembahkan gaya bola sepak yang boleh diterima Anfield.
Liverpool mencatat purata penguasaan bola tertinggi kedua dalam EPL musim ini selepas Manchester City, namun, permainan mereka kelihatan membosankan dan terlalu berhati-hati.
Ketika menentang Chelsea pada awal Mei, penyokong sudah menuju ke pintu keluar jauh sebelum wisel akhir walaupun perlawanan itu diadakan pada waktu tengah hari Sabtu.
Pada dasarnya, penyokong Liverpool mahu melihat pasukan yang melakukan segalanya untuk cuba menang, seperti yang Slot sebut dalam temu bual pertamanya, dan terlalu kerap musim ini, ia tidak kelihatan sedemikian.
Slot telah mengenal pasti masalah yang membelenggu pasukannya.
Namun musim depan, perubahan yang diharapkan ini ialah tanggungjawab pengurus baru. – Agensi berita.
