ISTANBUL: Kemenangan Aston Villa dalam Liga Eropah menentang Freiburg menamatkan penantian 44 tahun mereka untuk merangkul trofi peringkat Eropah.

Unai Emery berjaya membawa Villa ke final Liga Eropah itu melalui taktikal pertahanan yang berdisiplin.

Strategi itu digabungkan dengan serangan balas pantas yang membolehkan kelab tersebut menewaskan lawannya di pentas Eropah.

Ia sekali gus menghidupkan harapan pasukan Liga Perdana England (EPL) untuk meraih slot keenam Liga Juara-Juara pada musim depan.

Anak buah Emery mengesahkan tempat mereka dalam pertandingan elit Eropah musim depan dengan meraih tempat lima teratas EPL, tetapi kini Bournemouth dan Brighton sedar mereka juga boleh merebut tempat berkenaan.

Jika Villa menamatkan saingan di tempat kelima dalam EPL, pasukan Emery akan layak ke Liga Juara-Juara sebagai pemenang Liga Eropah.

Tempat tambahan Liga Juara-Juara yang diperoleh EPL melalui Tempat Prestasi Eropah kemudian akan diberikan kepada pasukan yang menamatkan saingan di tempat keenam.

Villa akan menamatkan saingan di tempat kelima jika mereka tewas di Manchester City dan Liverpool pula menang di tempat sendiri menentang Brentford.

Sekiranya itu berlaku, tumpuan kelayakan Liga Juara-Juara kemudian beralih ke tempat keenam.

Jika Bournemouth mengelak kekalahan di Nottingham Forest, atau Brighton gagal menang di tempat sendiri menentang Manchester United, Bournemouth akan menamatkan saingan di tempat keenam.

Sekiranya Bournemouth tewas dan Brighton pula menang, Brighton akan menduduki tempat keenam. – Agensi berita.