LONDON: Kapten Tottenham Hotspur, Son Heung Min, mengecam pasukannya kerana kurang fokus selepas kekalahan “memeritkan” 1-2 di tangan kelab bawahan Leicester meningkatkan tekanan ke atas pengurus Ange Postecoglou.
Pasukan bimbingan Postecoglou mensia-siakan kelebihan mendahului perlawanan susulan gol separuh masa pertama Richarlison apabila Jamie Vardy menyamakan kedudukan sebelum Bilal El Khannous menjaringkan gol kemenangan Leicester di utara London.
Spurs kini berada di tangga ke-15 Liga Perdana England (EPL), hanya lapan mata di atas zon penyingkiran, selepas kekalahan keenam dalam tujuh perlawanan terakhirnya.
Keputusan Postecoglou menggantikan Richarlison diejek oleh peminat yang marah, sambil menggesa pengerusi Spurs, Daniel Levy, supaya meletakkan jawatan akibat suasana yang semakin toksik.
Sama ada Postecoglou boleh bertahan lebih lama dalam musim kedua yang hambar tidak diketahui, tetapi pengurus asal Australia itu tidak dibantu oleh penilaian Son.
“Ia sangat menyakitkan hati. Terutama apabila anda sedang mendahului pada separuh masa pertama dan melepaskan dua gol dalam tempoh yang amat singkat. Ia mengecewakan kami dan ia merupakan petang yang sangat mengecewakan,” kata pemain Korea Selatan itu.
“Kami tidak boleh memberi alasan kami penat kerana kami baru keluar dari separuh masa kedua. Mungkin permainan kami tidak kemas.
“Ia hanya kekurangan tumpuan serta sedikit celaru, dan dalam Liga Perdana, mana-mana pasukan boleh menghukum kami.”
Menurut Son, permainan Spurs tidak cukup bagus dan mereka kadangkala membuat keputusan yang salah pada saat-saat akhir.
“Adalah sangat mengecewakan untuk tidak mendapat tiga mata dan melepaskan gol seperti ini,” tambahnya.
Kemungkinan Spurs tersingkir ke Liga Kejuaraan tidak dapat diterima sama sekali oleh peminat, yang pernah menyaksikan kelab mereka bermain dalam divisyen kedua bola sepak England itu pada musim 1977-78.
Ditanya sama ada Spurs akan terheret ke dalam pertarungan untuk kekal dalam EPL, Son berkata:
“... Kami mengalami terlalu banyak kekalahan, tetapi masih terdapat banyak perlawanan lagi dan ramai pemain kami akan kembali (daripada kecederaan).” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg