Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yakin masih pantas... Kyle Walker melangkah ke cabaran baru

Bek kanan yang terpinggir pindah ke AC Milan ketika Guardiola bina semula Man City
Jan 27, 2025 | 5:30 AM
Kyle Walker telah berpindah ke kelab Italy, AC Milan selepas menjadi antara pemain tonggak dalam pasukan Manchester City pimpinan Pep Guardiola yang meraih enam trofi Liga Perdana England (EPL) sejak beliau menyertai City.
Kyle Walker telah berpindah ke kelab Italy, AC Milan selepas menjadi antara pemain tonggak dalam pasukan Manchester City pimpinan Pep Guardiola yang meraih enam trofi Liga Perdana England (EPL) sejak beliau menyertai City. - Foto REUTERS

ENGLAND: Untuk memahami mengapa Pep Guardiola begitu kagum dengan Kyle Walker yang kini berpindah ke AC Milan, kita perlu kembali ke 10 Jun 2023.

Bek kanan itu sedang berada di puncak kecemerlangannya selepas memberikan persembahan terbaik dalam kerjayanya, berdepan dengan Vinicius Jr dalam perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid.

Berkali-kali pemain Brazil yang licik itu cuba untuk mengatasi Walker, namun segala usahanya digagalkan.

Walker berkata selepas perlawanan: “Saya hanya berfikir, beliau tak akan dapat bola itu.”

Empat minggu kemudian, Guardiola tidak menamakan Walker dalam kesebelasan utama dalam final Liga Juara-Juara di Istanbul.

Walker hanya bermain untuk lapan minit terakhir perlawanan itu di mana Man City mencipta sejarah dengan menjadi juara Eropah dan memenangi Treble atau tiga trofi utama dalam semusim.

Beliau tidak bersetuju dengan alasan Guardiola - bahawa walaupun Walker masih merupakan bek kanan yang paling pantas dan boleh dipercayai dalam pertarungan satu lawan satu, sesuatu yang berbeza diperlukan ketika berdepan dengan Inter Milan.

Ramai individu mungkin cetuskan masalah selepas mendengar berita sebegitu, tetapi Walker tidak seperti itu.

Pemain dari Yorkshire ini tidak endahkan egonya untuk menyampaikan ucapan penuh emosi kepada rakan-rakan sepasukannya.

“Saya kata ‘Impian saya berada di tangan anda, itu sahaja. Tiada tekanan,’” kata Walker selepas kemenangan 1-0 bersejarah City ke atas Inter Milan itu.

Tetapi itulah sikap kepimpinan yang akan hilang daripada Guardiola apabila Walker berpindah ke AC Milan.

Bek kanan Manchester City, Kyle Walker (kanan) meraikan gol bersama penyerangnya, Erling Haaland. Kehilangan Walker akan dirasakan oleh seluruh pasukannya.
Bek kanan Manchester City, Kyle Walker (kanan) meraikan gol bersama penyerangnya, Erling Haaland. Kehilangan Walker akan dirasakan oleh seluruh pasukannya. - Foto REUTERS

Ia adalah kenyataan bahawa kebanyakan bakat dan kebolehan bek kanan sering kali diabaikan.

Walker bukanlah pemain seperti Liverpool Trent Alexander-Arnold. Beliau tidak boleh membuat hantaran hebat dengan tepat seperti pemain itu.

Namun, apa yang dimiliki Walker adalah kepantasan yang luar biasa dan semangat daya saing yang tidak kenal penat.

Ciri-ciri ini mungkin telah diabaikan ketika seorang pegawai Tottenham, ketika mengulas mengenai perpindahan Walker bernilai £50 juta ($83 juta) ke City pada 2017.

Beliau berkata kelab mereka merasakan mereka telah membuat keputusan yang baik kerana Walker bukanlah “antara pemain yang terbaik” dan mereka masih mempunyai Kieran Trippier.

Enam trofi Liga Perdana England (EPL) dan 93 penampilan untuk England menunjukkan bahawa penilaian Tottenham itu salah.

Kepantasan dan semangat daya saing pemain pertahanan Manchester City, Kyle Walker, menjadikannya antara bek kanan terbaik dalam peringkat dunia.
Kepantasan dan semangat daya saing pemain pertahanan Manchester City, Kyle Walker, menjadikannya antara bek kanan terbaik dalam peringkat dunia. - Foto AFP

Mereka yang mengenali Walker merasakan ada elemen ‘old school’ dalam dirinya.

Beliau mungkin antara pemain yang paling dikenali dan dihiasi trofi, dengan gaji yang melampaui jangkauan kebanyakan orang.

Namun pada masa yang sama, beliau masih lagi merupakan seseorang rendah hati, bekal pengalaman dibesarkan di kawasan perumahan golongan berpendapatan rendah di Sheffield.

“Saya ingat masa ibu saya tidak ada duit untuk beli aiskrim untuk saya,” katanya selepas kejayaan dalam peringkat akhir Liga Juara-Juara.

Walker telah bekerja keras untuk mencapai kejayaannya dan beliau seolah-olah masih tidak percaya bahawa beliau telah berjaya.

Dan jelas sekali Walker bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan pengurus Manchester City Pep Guardiola.

“Saya masih ingat apabila Pep menelefon saya,” katanya dalam podcast media baru-baru ini.

“Saya sangat gementar. Ia seolah-olah saya merayu - “Bawa saya ke sana (Man City)”.

Keinginan Walker untuk terus membuktikan kemampuannya kepada Guardiola berulang kali membawanya kepada 316 penampilan untuk City dan meraih 17 trofi utama.

Namun musim ini tidak seperti yang dijangka, sama ada oleh Walker atau Guardiola.

Proses ‘membina semula City’ telah bermula dengan Walker akhirnya dianggap boleh dilepaskan selepas menyuarakan keinginan untuk bermain di luar negara.

Di tengah-tengah banyak kecederaan, Guardiola menghadapi kesukaran untuk mencari jawapan yang diperlukan.

Kadang-kadang Walker bermula dalam kesebelasan utama, kadang-kadang beliau duduk di bangku simpanan.

Kadang-kadang beliau merasakan dirinya penting, pada masa lain jauh kurang penting.

Ketika City menuju ke arah yang baru, dan dengan pembubaran skuad Guardiola yang semakin hampir, Walker memutuskan untuk memilih cabaran baru.

Beliau masih belum meninggalkan impiannya untuk mencapai 100 penampilan untuk England.

Beliau merasakan bahawa beliau masa cukup bagus untuk memikat Thomas Tuchel, untuk mendapatkan sekurang-kurangnya tujuh lagi penampilan.

Walker merasakan bahawa ia adalah sesuatu yang boleh dicapai di AC Milan, berbanding jika beliau memilih untuk pergi ke Arab Saudi.

Walker masih merasakan beliau mempunyai banyak lagi untuk ditawarkan dan bahawa betul apa yang disuarakan Guardiola baru-baru ini bahawa beliau percaya pemain veteran ini masih mempunyai dua atau tiga tahun lagi dalam kerjayanya.

Justeru, Walker mengambil keputusan untuk meninggalkan City lebih awal.

Beliau mungkin diberi peluang mengucapkan selamat tinggal yang sewajarnya kepada penyokong City dan, sudah tentu, apabila kerjayanya tamat, beliau akan kembali ke kelab itu dalam kapasiti tertentu dan status legendanya dijamin.

Tetapi buat masa sekarang, beliau akan berdepan dengan cabaran baru.

Siapa tahu bagaimana Liga Juara-Juara musim ini akan berlangsung – ia mungkin melibatkan perlawanan menentang Guardiola, bukannya bermain untuknya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg