Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sporting kalahkan City, Amorim gesa penyokong United kawal jangkaan

Nov 6, 2024 | 1:16 PM
Para pemain Sporting Lisbon melambung pengurus, Ruben Amorim, selepas pertarungan terakhirnya di padang sendiri sebelum berpindah ke Manchester Unted, dengan kemenangan hebat 4-1 ke atas juara England, Manchester City, dalam Liga Juara-Juara di Stadium Jose Alvalade di Portugal pada 6 November.
Para pemain Sporting Lisbon melambung pengurus, Ruben Amorim, selepas pertarungan terakhirnya di padang sendiri sebelum berpindah ke Manchester Unted, dengan kemenangan hebat 4-1 ke atas juara England, Manchester City, dalam Liga Juara-Juara di Stadium Jose Alvalade di Portugal pada 6 November. - Foto EPA-EFE

LISBON: Ruben Amorim menegaskan bahawa kemenangan hebat 4-1 Sporting Lisbon ke atas Manchester City dalam Liga Juara-Juara Eropah tidak menjamin bahawa beliau akan dapat memberi sentuhan sensasi segera apabila memulakan tugasnya di Machester United.

Pengurus Sporting, Amorim telah menerima tawaran United untuk menggantikan Erik ten Hag sebagai pengurus kelab Old Trafford itu, dan akan mengambil alih jawatan tersebut secara rasmi pada 11 November.

Dianggap sebagai antara pengurus muda terbaik di Eropah, pengurus berusia 39 tahun itu mempamerkan kepintarannya mengatur strategi dan membantu Sporting memanfaatkan kelemahan pertahanan City akibat kecederaan untuk mencapai kemenangan besar itu.

Jaringan Phil Foden meletakkan City di hadapan di Stadium Jose Alvalade di Portugal, tetapi City membazirkan beberapa peluang susulan.

Viktor Gyokeres kemudian menyamakan kedudukan sebelum rehat separuh masa pertama, dengan Maximiliano Araujo tampil menjaringkan gol kedua pada babak kedua.

Gyokeres kemudian mencatatkan hatrik selepas menyempurnakan dua sepakan penalti yang diperolehi pasukannya.

Amorim, yang membimbing Sporting menjulang dua trofi Liga Portugal, dijangka mengendalikan perlawanan pertama United di Ipswich pada 24 November.

Namun, beliau tetap bersikap praktikal dengan mengatakan bahawa kemenangan ke atas City itu sahaja tidak membuktikan bahawa beliau boleh membangkitkan semula United yang telah mengalami permulaan Liga Perdana England (EPL) paling teruk mereka sejak musim 1986-87.

“Apa yang saya boleh beritahu anda adalah kemenangan ini tidak bermakna apa-apa, jangan anggap apa-apa daripada (keputusan) ini,” kata Amorim.

“Kami agak bernasib baik hari ini. Kami tidak boleh semudahnya memindahkan keadaan yang berlaku di sini, ke sana.

“Manchester United tidak boleh bermain cara kami bermain, justeru kami perlu sesuaikan diri,” tambahnya.

Amorim dipuji oleh penyokong Sporting sepanjang perlawanan terakhirnya di stadium Sporting itu.

Para pemain Sporting pula memberikan hadiah perpisahan dengan melambung Amorim ke udara untuk meraikan kemenangan tersebut dan sebagai ucapan selamat tinggal.

“Perasaan yang dirasa bersama pemain, detik bersama penyokong semuanya sangat istimewa. Saya akan membawanya ke Liga Perdana,” kata Amorim.

“Apabila saya tiba di sana, ia dunia yang berbeza, tekanannya juga berbeza.

“Saya akan cuba untuk kekal sama. Ia sungguh menyeronokkan dan saya bersedia (menyahut cabaran di United),” tambahnya.

Walaupun berjaya menewaskan pengurus City, Pep Guardiola, Amorim tetap melahirkan rasa hormat terhadap pengurus yang beliau harus berdepan untuk satu musim, bukan satu perlawanan sahaja, dalam perjuangan beliau untuk mengembalikan kegemilangan United.

City telah menjulang enam trofi EPL dalam masa lapan tahun di bawah pimpinan Guardiola manakala United gagal menjuarai EPL sejak 2013.

“Beliau jauh lebih baik daripada saya buat masa sekarang. Tetapi saya percaya dengan pasukan baru saya,” kata Amorim.

“Mungkin saya boleh katakan bahawa kami akan bermula di tahap yang lebih rendah, tetapi kami akan perbaiki pasukan dan kelab ini,” tambah beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg