S’pura atasi Guam dengan agregat 3-1, perlu peningkatan
Pasukan Singa bakal mula kempen berdepan Korea Selatan pada 16 November
Jika matlamatnya adalah untuk mengelak penyingkiran yang memalukan bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2026, maka misi itu tercapai selepas Singapura menewaskan Guam, dengan ranking ke-201 dunia, dengan agregat 3-1.
Pada perlawanan kedua pusingan pertama di Pusat Latihan Nasional Persatuan Bola Sepak Guam (GFA) di Harmon, Guam, pada Selasa, Singapura menang 1-0 menerusi gol minit ke-81 melalui pemain ganti, Shawal Anuar, untuk ke pusingan seterusnya.
Namun, masih banyak peningkatan perlu dilakukan jika Singapura, pada kedudukan rangking ke-157, mahu bersaing sama taraf dengan pasukan kumpulan mereka.
Mereka akan memulakan kempen Kumpulan C menentang Korea Selatan dengan kedudukan ranking ke-26 dunia, di negara mereka pada 16 November.
Pasukan China (ranking ke-80) dan Thailand (ranking ke-112) merupakan pasukan lain dalam kumpulan tersebut.
Menentang Guam, yang merangkumi sekumpulan semipro, amatur dan pelajar universiti daripada jumlah populasi 170,000, Singapura kelihatan terkial-kial untuk menewaskan mereka di hadapan 1,012 penyokong.
Walaupun lima hari telah berlalu selepas perlawanan pertama mereka, dan perjalanan 16 jam ke Guam, jurulatih Singapura, Takayuki Nishigaya, hanya membuat satu pertukaran dalam sistem 3-5-2 beliau, dengan Ilhan Fandi menggantikan Shawal, manakala tuan rumah melakukan tiga pertukaran.
Mungkin satu perkara positif ialah bagaimana Singapura bertahan dalam keadaan mencabar, termasuk permulaan perlawanan pada 2.45 petang.
Pihak lawan pula ingin bertahan bukan sahaja dengan serangan balas dan tendangan percuma, malah dengan taktik kasar, dengan pemain Guam, Dane Agustin, dilayangkan kad dalam masa tambahan.
Di bawah terik matahari, Singapura sudah bersiap sedia untuk bertarung secara fizikal sambil mengekalkan ketenangan mereka.
Namun, bukan seperti perlawanan pertama mereka di Stadium Negara pada 12 Oktober dengan mencipta beberapa peluang tetapi hanya menang 2-1, kini mereka tidak mencipta peluang sebanyak itu di Guam dan sekali lagi membazirkan peluang yang tiba.
Menurut laporan The Straits Times, Song Ui-young hanya mampu merembat ke arah penjaga gol pada minit ke-8, manakala Hariss Harun melihat tandukannya ditepis sebelum melintasi garisan gol pada minit ke-15.
Dengan hanya 15 minit sebelum tamat perlawanan, pemain ganti, Iqbal Hussain, juga menyaksikan percubaannya diselamatkan penjaga gawang Guam.
Pengenalan Shawal dan Iqbal menambahkan kelancaran kepada perlawanan tersebut apabila kededua mereka bergabung dengan Shawal menjaring gol kemenangan dan gol antarabangsanya yang ke-10.
Namun, secara keseluruhannya, hantaran bola pada sudut terakhir padang kurang bermutu.
Mujurlah, kesilapan Singapura tidak membawa padah dan harapan Piala Dunia dan Piala Asia mereka kekal hidup, tetapi apabila berdepan dengan pasukan hebat Korea, yang dibimbing Jurgen Klinsmann dan Son Heung-min sebagai kapten... dalam masa sebulan, nasib Singapura mungkin tidak akan sebaik ini.

