Sorakan ‘Kallang Roar’ terkuat yang pernah didengar dalam Stadium Negara tidak cukup untuk membantu pasukan Singa melakukan kejutan ke atas pasukan gergasi Asia, Korea Selatan pada 6 Jun.
Singapura tumpas 0-7 di tangan pasukan nombor 23 dunia, Korea Selatan, dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026, yang menyaksikan rekod kehadiran seramai 49,097 penonton di Stadium Negara.
Pasukan Singa berada 132 tangga di bawah seterunya.
Kehadiran jumlah penonton palling ramai sebelumnya di Stadium Negara dicatat dalam perlawanan Piala Suzuki Kejohanan Bola Sepak Asean (AFF) menentang Malaysia pada 2014, yang dihadiri 48,183 penonton.
Walaupun ia menandakan malam bersejarah untuk bola sepak Singapura dari sudut jumlah penontonnya, ternyata perlawanan tersebut kelihatan agak berat sebelah. Para pemain bintang Korea Selatan ternyata menguasai keseluruhan perlawanan itu..
Pemain midfield kelab Ligue 1, Paris Saint-Germain, Lee Kang-in, memulakan pesta gol Korea Selatan seawal minit kesembilan, sebelum penyerang Ulsan FC, Joo Min-Kyu, membuat penyokong tuan rumah mula resah dengan gol kedua pasukan pelawat, 11 minit kemudian.
Pasukan Taeguk Warriors meneruskan rentak mereka dalam separuh kedua dengan tiga gol dalam tempoh tiga minit. Dua gol dijaringkan kapten dan pemain bintang kelab Tottenham Hotspur, Son Heung-min – yang mendapat sorakan riuh daripada penonton ketika digantikan – manakala Lee menyumbat gol keduanya pada malam ini.
Dua lagi pemain Korea Selatan yang beraksi di England, Bae Jun-ho, yang menyarung jersi Stoke City, dan Hwang Hwee-chan, yang bermain untuk Wolverhampton Wanderers, turut menewaskan penjaga gol Singapura, Hassan Sunny, dengan satu gol setiap seorang.
Keputusan ini bermakna Korea Selatan sudah menempah tiket ke pusingan ketiga kelayakan selepas memungut 13 mata daripada lima perlawanan. Singapura pula tersingkir daripada kelayakan dengan kedudukan tercorot dan hanya mengutip satu mata.
Hanya dua pasukan teratas dalam kumpulan mara ke pusingan selanjutnya.
Dalam aksi keduanya di depan penyokong sendiri, ketua jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura, membuat enam perubahan kepada barisan kesebelasan utamanya.
Hanya kapten Hariss Harun; penjaga gol, Hassan Sunny; pemain midfield, Shah Shahiran; dan pasangan adik-beradik, Ryhan dan Harhys Stewart kekal diturunkan daripada kekalahan 1-4 kepada China dalam aksi kelayakan di Tianjin pada 26 Mac.
Lionel Tan, Safuwan Baharudin dan Christopher van Huizen membentuk benteng pertahanan, manakala Song Uiyoung dan Hami Syahin mengawal bahagian tengah.
Ikhsan Fandi diberikan kepercayaan Ogura mendahului jentera serangan skuad Singa.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan C pada 6 Jun, China dan Thailand terikat 1-1 di Stadium Pusat Sukan Olimpik Shenyang. Dengan keputusan itu, China kini mempunyai lapan mata, manakala Thailand meraih lima mata.
Nasib kededua pasukan akan ditentukan dalam perlawanan terakhir pusingan yang berlangsung lima hari kemudian.
Singapura seterusnya berdepan Thailand dalam Stadium Rajamangala di Bangkok pada 11 Jun sebagai penutup kempen kelayakan Piala Dunia mereka kali ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg