Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura ingin jadi tuan rumah Kejohanan Tchoukball Sedunia 2027

Jul 15, 2024 | 2:42 PM
Singapura telah menjadi tuan rumah bagi lima kejohanan serantau tchoukball dan tiga Kejohanan Belia Sedunia sejak 2010.
Singapura telah menjadi tuan rumah bagi lima kejohanan serantau tchoukball dan tiga Kejohanan Belia Sedunia sejak 2010. - Foto TCHOUKBALL ASSOCIATION OF SINGAPORE

Sempena ulang tahun Persatuan Tchoukball Singapura (TBAS) yang ke-20 pada 2027, persatuan itu merancang meraikan tahun istimewa itu secara besar-besaran, dengan menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Tchoukball Sedunia dan memenangi dua pingat emas di Singapura.

Presiden TBAS, Delane Lim, mengumumkan hasrat persatuan itu untuk membida acara tersebut di luar majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara persatuan itu dengan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) di ITE College West pada 13 Julai.

Singapura telah menjadi tuan rumah bagi lima kejohanan serantau tchoukball, termasuk dua pada peringkat belia, dan tiga Kejohanan Belia Sedunia sejak 2010.

Kejohanan Tchoukball Sedunia akan menjadi yang pertama bagi Singapura jika bidaan yang bermula pada 2025 itu berjaya, lapor The Straits Times (ST).

Lim berkata bahawa kerja membuat persiapan bagi menganjurkan kejohanan itu akan mengambil masa minimum setahun, sambil menambah bahawa TBAS sedang berusaha memperoleh tempat penginapan dan tempat acara kejohanan itersebut.

“Tuan rumah bagi kejohanan ini digilirkan antara (negara) di beberapa rantau. Memandangkan kejohanan sedunia terakhir diadakan di Eropah, dan sebelum itu di Asia-Pasifik, tuan rumah seterusnya seharusnya (negara) Pan Amerika.

“Tetapi kami akan menyatakan hasrat kami untuk membida apabila ia dibuka.

“Saya percaya Singapura akan menjadi destinasi terbaik bagi kejohanan sedunia ini. Kami telah membuktikan bahawa kita adalah tuan rumah yang baik,” ujar Lim.

Diadakan setiap empat tahun, pertandingan melibatkan 32 pasukan tchoukball itu kali terakhir diadakan di Republik Czech pada 2023, dengan Taipei dan Switzerland masing-masing memenangi gelaran lelaki dan wanita.

Pasukan lelaki Singapura menduduki tempat ketiga, manakala pasukan wanita Singapura berada di tempat kelima.

Pemain pasukan lelaki Singapura, Isaac Tan, 25 tahun, ingin sekali bersaing di tanah air sendiri.

“Saya pasti berasa bangga untuk mewakili negara. Jika ia diadakan di negara sendiri, dengan rakan dan keluarga saya (yang hadir sebagai penonton), ia akan menambahkan motivasi,” katanya.

Untuk membantu mencapai matlamat merangkul dua gelaran dunia pada 2027, MOU antara TBAS dengan ITE itu akan membolehkan kemudahan sukan di ITE College East, West dan Central, ditambah kepada pangkalan latihan persatuan itu yang sedia ada, iaitu di Sekolah Menengah Bendemeer dan Sekolah Menengah Broadrick.

Kemudahan sukan itu akan memberi atlet akses konsisten kepada persekitaran latihan bermutu tinggi, kata TBAS.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg