Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura lawan Indonesia, Malaysia dan India dalam Piala Asean Fifa
S’pura lawan Indonesia, Malaysia dan India dalam Piala Asean Fifa
S’pura lawan Indonesia, Malaysia dan India dalam Piala Asean Fifa
HANOI: Singapura akan menentang pasukan tuan rumah, Indonesia, Malaysia dan pasukan jemputan, India, dalam Kumpulan A Divisyen Perdana Piala Asean Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) buat julung-julung kalinya, yang akan diadakan dari 24 September hingga 3 Oktober, menurut butiran terbaharu yang dikongsi badan bola sepak dunia itu pada 29 Julai.
Dalam Kumpulan B, juara bertahan Kejohanan Asean, Vietnam, dikumpulkan bersama kuasa serantau lain, Thailand, Filipina dan Pakistan.
Pakistan menggantikan China, yang menarik diri lebih awal untuk bermain dalam kejohanan persediaan menentang Uzbekistan, Palestin, Tajikistan dan Korea Utara bagi persediaan Piala Asia 2027.
Sementara itu, dalam Divisyen Cabaran peringkat kedua kejohanan itu, Kumpulan A terdiri daripada tuan rumah, Hong Kong, Myanmar dan Brunei, manakala Kumpulan B terdiri daripada Kemboja, Laos dan Timor-Leste.
Pakistan dan Hong Kong merupakan pasukan jemputan.
Persatuan-persatuan ahli yang mengambil bahagian dimaklumkan menerusi satu pekeliling bertarikh 27 Julai, di tengah-tengah Kejohanan Asean 24 Julai hingga 26 Ogos, yang dianjurkan oleh Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) di luar tempoh antarabangsa Fifa.
Fifa turut mengesahkan butiran daripada laporan awal The Straits Times (ST) bahawa tiada sebarang perlawanan separuh akhir selepas perlawanan pusingan kumpulan.
Sebaliknya, juara-juara kumpulan akan saling bertemu untuk menentukan juara setiap divisyen, manakala naib juara akan bersaing untuk tempat ketiga dan keempat. Ini bermakna setiap pasukan akan bermain antara dua dengan empat perlawanan.
Menjawab pertanyaan ST, timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Desmond Ong, berkata: “Kami gembira dapat terlibat dalam edisi julung kali Piala Asean ini dan kami menyokong sepenuhnya sebab-sebab Fifa memulakan kejohanan ini.
“Memandangkan penyertaan kami dalam Piala Asia 2027, mana-mana kejohanan yang membolehkan skuad kami, jurulatih kami dan kakitangan sokongan kami mendapat pendedahan kejohanan sebenar adalah amat bernilai.
“Memandangkan juga kejohanan ini berlangsung dalam tempoh antarabangsa Fifa, ia membolehkan kami memilih semua pemain yang ada, yang juga akan berlaku untuk Piala Asia.
“Bakal lawan kami adalah pasukan yang kami kenali dengan baik. Menarik untuk melihat bagaimana kami setanding dengan mereka, memandangkan perjalanan berbeza yang telah dilalui setiap negara sejak kebelakangan ini.”
Pada 26 Oktober 2025, presiden Fifa, Gianni Infantino, telah mengumumkan pelancaran kejohanan baharu untuk 11 pasukan Asia Tenggara dalam Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur.
Lima bulan kemudian, Fifa berkata dalam satu kenyataan bahawa pertandingan itu akan dimainkan dalam tempoh antarabangsa 21 September hingga 6 Oktober, tetapi butiran masih kurang jelas ketika itu.
ST turut melaporkan bahawa terdapat sedikit kejelasan dalam Kongres Fifa di Vancouver, Canada, pada 30 April, menerusi penyebaran slaid yang mengesahkan format kejohanan tersebut.
Daripada dokumen dilihat ST, juara Divisyen Perdana boleh menjangkakan boleh menerima AS$1 juta ($1.29 juta) sebagai wang hadiah daripada Fifa.
Ini lebih daripada tiga kali ganda AS$300,000 yang diberikan AFF kepada Vietnam kerana memenangi Kejohanan Asean 2024.
Juara Divisyen Cabaran akan menerima AS$300,000, manakala setiap pasukan boleh menjangkakan yuran penyertaan terjamin sebanyak AS$125,000 dan turut memperoleh bonus untuk setiap kemenangan atau seri.
Termasuk ganjaran untuk naib juara dan pasukan yang menduduki tempat ketiga, jumlah wang hadiah dijangka melebihi AS$4 juta.