lhan Fandi teruskan rentak menjaringkan golnya untuk membantu pasukan Singa menewaskan Timor-Leste 2-0 dalam saingan Piala Asean Hyundai di Stadium Jalan Besar pada 27 Julai.

Skuad kendalian Gavin Lee bermula agak perlahan dan mengambil masa untuk memecahkan benteng pertahanan pelawat, namun kemenangan itu memastikan Singapura kekal di landasan terbaik menjelang pertemuan lebih mencabar menentang Vietnam untuk perlawanan seterusnya.

Singapura menguasai sebahagian besar babak pertama tetapi bergelut mencipta peluang-peluang berkualiti.

Pemain terbaik perlawanan (MOTM), Ilhan menyangka beliau membuka tirai jaringan pada minit ke-30, namun golnya dibatalkan selepas semakan VAR mengesahkan beliau berada dalam kedudukan ofsaid.

Kebuntuan akhirnya terlerai pada minit ke-36 apabila Nur Adam menghantar bola lintang yang dijaringkan Ilhan untuk meletakkan Singapura di hadapan 1-0 sebelum separuh masa pertama berakhir.

Skuad Singa tampil lebih bertenaga pada separuh masa kedua.

Mereka hampir menggandakan kelebihan sejurus permainan bersambung apabila hantaran lintang Harhys Stewart menemui Ilhan, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Timor-Leste, Dylan Rose Niski.

Gol kedua Singa akhirnya hadir pada minit ke-56 hasil satu gerakan berpasukan yang kemas.

Kyoga Nakamura menghasilkan hantaran kemas ke Song Ui-young, yang menundukkan bola masuk untuk menggandakan kelebihan Singapura.

Gavin kemudian menyegarkan pasukan dengan memasukkan Jacob Mahler menggantikan Irfan Fandi, manakala Shawal Anuar mengambil alih tempat Song pada minit ke-65.

Pertukaran itu hampir membuahkan hasil serta-merta apabila Ilhan menanduk turun bola kepada Shawal, yang kemudian melorongkan hantaran lintang berbahaya ke arah Glenn Kweh, namun pertahanan Timor-Leste berjaya menghalang percubaan Glenn.

Meskipun banyak peluang dicipta pada minit-minit akhir, kedudukan 2-0 kekal hingga wisel penamat.

Kemenangan itu memberikan Singapura rekod sempurna selepas dua perlawanan dengan enam mata dalam genggaman.

Singa seterusnya akan ke kandang juara bertahan Vietnam pada 31 Julai di Stadium Kebangsaan My Dinh.