Singapura boleh berasa lega dan bertuah apabila berjaya meloloskan diri ke separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 selepas hanya mampu mencatatkan keputusan seri 0-0 menentang Malaysia dalam perlawanan penentuan yang mendebarkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Tekanan untuk bertahan dan mara ke peringkat seterusnya hampir mendatangkan padah buat pasukan Singapura, namun mujur Malaysia gagal memanfaatkan peluang untuk meraih kemenangan.
Dengan keputusan seri ini, Singapura akhirnya berjaya mencapai sasaran mereka dan melangkah ke peringkat seterusnya.
Keinginan pasukan Harimau Malaya untuk menang perlawanan ini jelas dilihat dengan mereka memulakan perlawanan tersebut dengan sangat agresif.
Barisan serangan Malaysia mengancam, dan mereka hanya memerlukan enam minit untuk menghasilkan percubaan ke arah pintu gawang Singapura pada minit keenam oleh penyerang, Endrick Dos Sanros Parafita.
Pada minit ketujuh pemain tengah mereka, Mohamed Syamer Kutty Abba juga mencuba nasibnya tetapi percubaannya menuju terus ke dakapan penjaga gawang Singapura, Izwan Mahbud.
Endrick merupakan duri kepada barisan pertahanan Singapura, apabila beliau kerap menghasilkan hantaran mengancam bagi pasukannya.
Berbanding dengan pemain tengah Singapura, yang tidak menunjukkan kreativiti, seperti ketandusan idea untuk mengawal perlawanan.
Pasukan Singapura juga kelihatan tidak tentu arah, sering membazir kawalan bola, serta tidak langsung membuat sebarang percubaan ke arah gawang Malaysia.
Malah Malaysia kekal mengancam.
Pada minit ke-28, percubaan pemain sayap Harimau Malaya, Stuart John Wilkin dari luar kotak penalti tersasar.
Suasana Bukit Jalil, yang padat dengan kehadiran 31,127 peminat seolah-olah menjejas tumpuan para pemain Singapura.
Persembahan Singapura kurang memberi impak, sehinggakan penyokong Singapura hanya berpeluang memberikan sorakan apabila mereka melihat Kyoga Nakamura, Shawal Anuar dan Glenn Kweh, kelihatan seperti sedang bersiap sedia untuk masuk padang.
Rata-rata pemain Singapura tidak mampu bermain dengan baik dan mereka boleh bernasib baik dapat mengakhiri separuh masa pertama 0-0, selepas berjaya menyerap percubaan bertubi-tubi pasukan Harimau Malaya.
Dalam usaha memperkukuhkan jentera serangan Singapura, ketua jurulatih, Tsumo Ogura, membuat keputusan untuk menggantikan Abdul Rasaq Akeem dengan Shawal Anuar dalam separuh masa kedua.
Kehadiran Shawal menyuktik semangat kepada serangan Singapura, namun Malaysia kekal memulakan separuh masa kedua dengan semangat tinggi.
Pada minit ke-58 Kyoga dan Glenn dimasukkan padang menggantikan Shahdan Sulaiman dan Nazrul Nazari.
Dalam percubaan untuk memperkukuhkan barisan tengahnya, Ogura pula menggantikan Hami Syahin dengan pemain berpengalaman Singapura, Hariss Harun.
Pilihan Ogura untuk memasukkan pemain-pemain ini terbukti berkesan, dengan Singapura kelihatan lebih mengawal pmerinan dan mengancam pasukan lawan.
Pada minit ke-80 Kyoga melihat penjaga gawang Malaysia, Haziq Nadzli jauh dari baris gawangnya dan membuat percubaan jarak jauh, namun bola tersasar.
Hanya baki 20 minit, Ogura memilih untuk mengeluarkan Faris Ramli dan menggantikannya dengan Rhyan Stewart.
Pada masa tambahan, Ryhan Stewart hampir menjaringkan gol kemenangan, tetapi Haziq Nadzli berjaya melakukan aksi hebat untuk menghalang percubaan Ryhan.
Sejurut wisel penamat ditiupkan di akhir masa tambahan selama lima minit, para pemain Singapura kelihatan mengangkat tangan ke udara kerana menyedari mereka layak ke separuh akhir.
Sementara itu para pemain Malaysia hanya mampu berlutut dan ada yang menutup muka – menandakan perjuangan mereka dalam Piala AFF Mitsubishi Electric 2024, sudah berakhir.
Singapura kini harus bersedia untuk cabaran peringkat separuh akhir di mana mereka akan menentang pasukan Vietnam yang menjuarai kumpulan B. Perlawanan akan berlangsung pada 26 dan 29 Disember.
Justeru pasukan Singapura harus menilai semula persembahan dan matlamat mereka, adakah ia hanya sekadar untuk ke peringkat separuh akhir atau lebih jauh?
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg