PARIS: Tidak sampai seminit semasa ditemuramah wartawan, atlet luncur lelayang Singapura, Maximilian Maeder, mengeluarkan telefon bimbit dan membuka akaun Instagramnya.
Dalam tempoh 24 jam yang lalu – sejak beliau meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris – atlet muda berusia 17 tahun itu telah menerima banyak mesej yang memberikannya galakan dan beliau cuba memberi gambaran kepada wartawan tentang sokongan padu luar biasa yang diterimanya itu.
Beliau berkata:
“Apa yang menonjol bagi saya ialah saya tidak dapat melihat satu pun mesej yang negatif, atau yang bertanggapan negatif.
“Semuanya penuh kegembiraan, kebanggaan dan menyambut baik kejayaan saya.”
Menurut laporan The Straits Times pada 11 Ogos, Maeder, yang merupakan pemenang pingat Olimpik termuda dari Singapura, terkejut dengan sambutan positif yang diterimanya.
Sehari sebelum 9 Ogos, beliau menangis selepas meraih gangsa.
Ia adalah satu pencapaian yang ketara – beliau hanya warga Singapura keenam yang berdiri di atas podium Olimpik – tetapi juara dunia dua kali itu mengharapkan lebih daripada pencapaiannya itu.
Dalam senyap, Maximilian tahu ada perkara tertentu yang beliau boleh lakukan dengan lebih baik, tetapi beliau masih mencari jawapan kepada soalan itu.
Menurutnya: “Perkara yang tidak berjalan dengan baik adalah kerana keputusan yang dibuat tidak mengikut perancangan.
“Sebelum satu pertandingan, anda mempunyai rancangan dan anda cuba untuk berpegang padanya, namun saya tidak benar-benar mengikutinya... apa pun sebabnya, kita masih perlu menilainya.”
Keadaan cuaca yang rumit di Marina Marseille tidak memudahkan perlumbaan. Angin sepoi-sepoi juga bermakna jarak antara pesaing menjadi lebih kecil.
Penolong pengurus pasukan, Xu Yuan Zhen, berkata: “Ia sememangnya mencabar untuk semua orang. Jika anda melihat ramai atlet ternama seperti (favorit bagi pasukan tuan rumah, Axel Mazella) yang saingannya tidak sampai ke peringkat akhir.”
Namun Maeder sedar bahawa semua ini merupakan sebahagian daripada sukan.
Dengan berpakaian kemeja-T Singapura, beliau sememangnya seorang yang bersifat hormat semasa menyapa setiap orang dalam bilik sidang media di Perkampungan Olimpik itu.
Tiada air mata semasa beliau menjawab soalan-soalan mengenai emosinya serta persembahannya di Sukan Paris itu.
Beliau tahu ‘perit’ yang dirasakan akan sentiasa ada, namun beliau akur bahawa “tiada sesiapa yang boleh sempurna seperti robot”.
Sepanjang 20 minit ditemu ramah, beliau menekankan bahawa bukan keputusannya di atas air sahaja yang penting.
Lebih penting lagi, beliau berharap dapat menghasilkan kesan positif kepada orang lain menerusi sukannya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg