Cabaran besar menanti Singapura apabila turun menentang Indonesia dalam aksi pembukaan kempen Piala Asean Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) pada 25 September.

Seramai hampir 78,000 penyokong berpotensi memenuhi stadium yang akan berusaha menyekat semangat pasukan lawan.

Kali terakhir Singapura mencatat kemenangan di stadium tersebut adalah pada 2008, apabila mereka menewaskan Indonesia 2-0 dalam pertandingan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

Namun, walaupun dengan rekod kurang menyerlah itu, pasukan Singa akan berdepan Indonesia tanpa gerun dan penuh keyakinan.

Antara penyerang harapan Singa, Ilhan Fandi, yang membesar di Indonesia dari 2006 hingga 2010, berkata pasukan negara akan memberi pertarungan sengit apabila kededua pasukan bertembung.

“Indonesia pasukan yang kuat dan saya rasa mereka adalah antara pilihan untuk memenangi kejohanan ini.

“Tetapi kami mahu memberikan mereka pertandingan yang sengit,” kata penyerang berusia 23 tahun itu

Ilhan turut melihat suasana sukar di Stadium GBK sebagai pengalaman berguna buat Singa dalam persiapan mereka menuju Piala Asia.

Ketua jurulatih, Gavin Lee, juga mahu pemainnya menganggap perlawanan itu sebagai peluang untuk menguji diri, bukannya sesuatu yang perlu dielakkan.

“Di depan penyokong mereka sendiri, ia akan menjadi lebih sukar, tetapi kami suka detik-detik sukar.

“Kami menerima cabaran itu dan selesa dengan ketidakselesaan tersebut. Esok (25 September) adalah peluang yang baik buat kami mengujinya,” katanya.

Menurut Lee, tumpuan Singa kini adalah kepada perkara yang boleh dikawal – persiapan, latihan dan persembahan mereka apabila perlawanan bermula.

“Sama ada kami sudah bersedia atau tidak, hanya perlawanan itu yang akan memberitahu kami.

“Apa yang boleh kami lakukan ialah mengawal perkara yang kami boleh kawal, berlatih sebaik mungkin, membuat persiapan sebaik mungkin dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Malah, Lee sendiri melihat pertemuan dengan Indonesia sebagai sebahagian daripada proses persiapan yang baik bagi pasukannya.

“Tiada perlawanan yang lebih baik daripada menentang negara tuan rumah. Kami jangkakan stadium penuh dan itu sesuatu yang kami nantikan.

“Indonesia dan Malaysia adalah pasukan pada tahap yang akan kami hadapi di Piala Asia, jadi ini adalah peluang yang baik untuk kami menguji diri,” katanya.

Namun, walaupun pasukan Singa diperkukuhkan lagi dengan penglibatan pemain pertahanan berpengalaman, Safuwan Baharudin, mereka akan beraksi tanpa antara penyerang terbaik mereka, Ikhsan Fandi.

Ikhsan, yang beraksi untuk kelab Jepun, Thespa Gunma, tidak terlibat akibat kecederaan.

Lee mengakui bahawa kecederaan merupakan sebahagian daripada bola sepak dan beliau akan bergantung kepada pemain lain untuk menghasilkan prestasi terbaik.

“Apa yang boleh kita lakukan hanyalah mengawal perkara yang mampu kita kawal dan mencari formula serta penyelesaian terbaik berdasarkan pemain yang tersedia dalam pasukan,” kata Lee.

Namun, terdapat berita baik juga tentang pemilihan pemain, Izwan Mahbud, penjaga gol utama Singa, sebelum ini diragukan jika beliau boleh beraksi untuk pertandingan ini kerana mengalami kecederaan lutut apabila beraksi bersama pasukan Liga Perdana Singapura, Young Lions.

“Izwan sudah kembali menjalani latihan, dan beliau nampak dalam keadaan baik.

“Pada awalnya memang ada sedikit kebimbangan, tetapi selepas melihat keadaannya sekarang, saya rasa kami semua sedikit lega,” akui Lee.

Jurulatih Indonesia, John Herdman (kiri), menganggap pasukan Singa sebagai pasukan yang berdisiplin dan mempunyai mentaliti kental menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada 25 September untuk aksi Piala Asean Fifa. Kapten pasukan, Kevin Diks (kanan), pula berkata beliau tidak sabar untuk menentang Singa, kini di tempat sendiri, selepas mereka seri 1-1 di Stadium Jalan Besar.
Jurulatih Indonesia, John Herdman (kiri), menganggap pasukan Singa sebagai pasukan yang berdisiplin dan mempunyai mentaliti kental menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada 25 September untuk aksi Piala Asean Fifa. Kapten pasukan, Kevin Diks (kanan), pula berkata beliau tidak sabar untuk menentang Singa, kini di tempat sendiri, selepas mereka seri 1-1 di Stadium Jalan Besar. - Foto BH oleh KHAIRUL AKMAL ALI

Pandangan itu turut mendapat pengiktirafan daripada jurulatih Indonesia, John Herdman, yang tidak memandang ringan ancaman Singapura.

Herdman menyifatkan Singa sebagai pasukan yang teguh dan tersusun secara taktikal, selain mempunyai kelebihan dari segi pengalaman serta keserasian pasukan.

“Mereka memahami antara satu sama lain, taktikal dan sistem. Dari segi pengalaman, mereka antara pasukan paling berpengalaman dalam kejohanan ini,” katanya.

Herdman turut memberi amaran bahawa mentaliti kolektif Singapura boleh menyukarkan tugas Indonesia.

“Mereka mempunyai keinginan, semangat dan mentaliti kolektif. Mereka bakal menjadi sangat sukar untuk ditembusi,” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti