Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura tewaskan Sri Lanka, akhiri kemarau 10 tahun jadi juara Asia

Oct 28, 2024 | 2:58 PM
Para pemain bola jaring Singapura tundukkan juara bertahan dua kali, Sri Lanka dalam final Kejohanan Bola Jaring Asia pada 27 Oktober 2024.
Para pemain bola jaring Singapura tundukkan juara bertahan dua kali, Sri Lanka dalam final Kejohanan Bola Jaring Asia pada 27 Oktober 2024. - Foto BOLA JARING SINGAPURA

Selepas penantian selama sedekad dan dua kekalahan perit dalam final, Singapura akhirnya bergelar ratu bola jaring Asia.

Dalam perlawanan penentu Kejohanan Bola Jaring Asia yang menghiburkan, pasukan bola jaring wanita Singapura, dikenali sebagai the Vandas, mempamerkan semangat yang mengagumkan untuk mengatasi juara bertahan, Sri Lanka 67-64 di Stadium Tertutup Koramangala di Bengaluru, India pada 27 Oktober.

Air mata gembira mengalir semasa mereka meraikan kemenangan kejohanan Asia keempat mereka, dan ini merupakan kemenangan pertama ke atas Sri Lanka sejak 2014.

Kapten bersama, Toh Kai Wei berkata:

“Ini merupakan sesuatu yang dinantikan dan disasarkan sejak sepanjang tahun ini.

“Justeru, kami sangat gembira dan bangga dengan prestasi kami. Kami sungguh tenang dan sabar pada masa tambahan, bertekad dan melakukan banyak gerakan.

“Sudah tentu, rasanya lebih baik dapat kalahkan mereka selepas ditewaskan mereka dalam dua peringkat akhir lalu.

“Kami kalahkan mereka dua kali dalam Piala Dunia Bola Jaring 2023, tetapi itu tidak membuktikan bahawa kami terbaik di Asia. Malah kemenangan ini bermakna kami terbaik di Asia,” tambah beliau.

Pasukan Singapura dikalahkan Sri Lanka dalam peringkat akhir 2018 dan 2022 di OCBC Arena.

Toh, yang bermain di kedudukan ‘goal attack’ daripada posisi biasanya di ‘wing attack’ untuk perlawanan itu, berkata:

“Saya hanya jalankan peranan saya. Saya cukup kenal dengan kededua peranan tetapi gerakannya agak berbeza. Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana menyokong saya.”

Pengurus bola jaring wanita Singapura, Yeo Mee Hong juga menyuarakan kebanggaan beliau terhadap pencapaian pasukannya.

“Kami ingin pastikan kami cekap dalam perlawanan ini. Kami kekal perbaiki prestasi kami sejak perlawanan pertama dan kami terus tingkatkan perlawanan.

“Kemahiran asas kami hebat dan saya sangat gembira dengan ketenangan dan disiplin para pemain di peringkat akhir.

“Untuk beberapa bahagian perlawanan, beberapa pemain kami tidak lari. Kami mengalihkan Kai Wei ke posisi goal attack untuk menambah beberapa perbezaan dan beliau lakukannya dengan sangat baik... Wei Ping dan Yi Jie juga jalankan peranan mereka dengan hebat, menyediakan lebih banyak pilihan untuk menghantar bola ke kawasan menjaringkan gol.

“Dalam masa tambahan, kami menukar penyerang kerana Pei Shan telah dihalang oleh pemain pertahanan. Kami dapat menambah beberapa pergerakan yang memberi kami peluang menghasilkan lebih banyak pilihan untuk menjaringkan gol, dan saya rasakan pasukan ini melakukannya dengan sangat baik,” jelas Yeo.

Yeo merupakan pembantu jurulatih kepada Annette Bishop sebelum beliau mengambil alih daripada warga New Zealand itu pada September.

Kini beliau mencabar pasukannya, juara Sukan SEA 2015, untuk menamatkan kemarau trofi selama 10 tahun sukan SEA mereka.

Beliau berkata: “Dengan penuh hormat terhadap negara jiran yang turut tingkatkan kemahiran mereka dan tanpa rasa leka dari pasukan kami, sasaran kami pastinya adalah untuk memenangi pingat emas di Sukan Asia Tenggara 2025.

“Pada masa hadapan, kami juga akan menumpukan perhatian untuk menghasilkan prestasi terbaik dalam Piala Negara-Negara sebelum Sukan SEA di Thailand.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg