Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura tidak hantar pasukan ke Kejohanan Bawah 23 tahun AFF atas sebab ‘strategik’: FAS

May 30, 2023 | 10:13 PM
TERLEPAS BERTANDING:  Singapura tidak akan menghantar pasukan ke Kejohanan Bawah 23 tahun AFF kerana ia berlangsung pada tarikh terlalu dekat dengan dua pertandingan utama lain. Menurut FAS, kumpulan pemain rata-rata sama dengan pemain yang mewakili negara di SEA Games.
TERLEPAS BERTANDING: Singapura tidak akan menghantar pasukan ke Kejohanan Bawah 23 tahun AFF kerana ia berlangsung pada tarikh terlalu dekat dengan dua pertandingan utama lain. Menurut FAS, kumpulan pemain rata-rata sama dengan pemain yang mewakili negara di SEA Games. - Foto FAIL

PASUKAN bola sepak lelaki bawah 22 tahun Singapura tidak akan beraksi di Kejohanan Bawah 23 tahun AFF Ogos ini, selepas Persatuan Bola Sepak Nasional (FAS) mengambil “keputusan strategik” untuk melindungi pemain daripada risiko kecederaan.

Keputusan tersebut diambil sebelum pelibatan pasukan itu dalam Sukan SEA Kemboja yang baru berakhir dan juga kerana beberapa faktor lain, kata seorang jurucakap FAS.

Menjawab pertanyaan Berita Harian, beliau berkata tarikh Kejohanan Bawah 23 tahun AFF, yang dijadual berlangsung 17-25 Ogos, terlalu dekat dengan dua lagi pertandingan utama pada suku ketiga 2023.

Pusingan kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun AFC 2024 dijadual berlangsung 6-12 September. Ini diikuti Sukan Asia di Hangzhou, China dari 23 September hingga 8 Oktober.

Singapura disenarai untuk mengambil bahagian dalam kededua kejohanan itu.

Jurucakap itu berkata: “FAS telah memaklumkan AFF bahawa pasukan bawah 22 tahun lelaki Singapura tidak akan mengambil bahagian dalam pertandingan Kejohanan Bawah 23 Tahun AFF akan datang.

“Keputusan melakukan ini adalah strategik, yang diambil sebelum Sukan SEA, selepas menimbangkan beberapa faktor.”

Dalam majlis cabutan undi rasmi Kejohanan AFF Bawah 23 Tahun 2023 di Bangkok, Thailand, pada Isnin, Singapura tidak dinamakan sebagai antara 10 pasukan yang bertanding.

Edisi tahun ini bakal diadakan di Chonburi, Thailand. Ia dicepatkan dari tarikh asalnya November 2023.

“Disebabkan tarikh yang sangat hampir untuk tiga pertandingan antarabangsa ini, pasukan itu akan menghadapi cabaran besar dari segi beban fizikal dan risiko kecederaan yang tinggi memandangkan kumpulan pemain yang sama mungkin terlibat,” kata jurucakap FAS.

Ini kali kedua Singapura tidak menyertai kejohanan AFF peringkat belia itu.

Pada 2019, pasukan bawah 22 tahun nasional terlepas beraksi kerana ingin fokus pada persiapan kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), yang termasuk menjalani kem latihan luar negara.

Kempen Sukan SEA 2023 pasukan bawah 22 tahun Singapura berakhir dengan kekecewaan selepas ia tersingkir pada peringkat kumpulan selepas gagal memenangi sebarang perlawanan.

Menyusuli persembahan hambar Singa Muda di Sukan SEA Kemboja itu, pemangku presiden FAS Bernard Tan berkata pasukan itu tidak akan terlibat dalam sembarang kejohanan antarabangsa hingga satu semakan panel selesai dijalankan, dan “pelaksanaan” dapatan semakan itu mencapai tahap pihak berkuasa berpuas hati mereka berada pada tahap “berdaya saing”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg