Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BOLA SEPAK SETEMPAT

Ekosistem bola sepak S’pura perlu dipertingkat

May 26, 2023 | 05:01 PM



KETIKA Singapura pulih daripada satu lagi prestasi hambar pasukan Singa Muda dalam Sukan SEA baru-baru ini, fraterniti bola sepak setempat menggesa agar kepimpinan teguh, kerjasama dan laluan pembangunan yang berkesan menjadi kunci utama bagi menaikkan semula taraf bola sepak negara.


Cadangan ini disuarakan antara peserta yang hadir dalam acara Unleash The Roar! (UTR) Football Conversation, satu dialog bersama pihak berkepentingan yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura pada malam Khamis.


Sesi sekitar hampir tiga jam itu menyaksikan kira-kira 150 peserta – yang terdiri daripada jurulatih, pendidik dan ibu bapa – tampil menyumbangkan saranan mereka bagi memandu hala tuju bola sepak negara.

Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, semasa ucapan pembukaannya pada Khamis, ingin menggembleng sokongan fraterniti itu.

Beliau, yang juga pengerusi jawatankuasa eksekutif UTR, berkata: “Kami telah banyak mendengarnya (kemarahan dan kecaman daripada peminat). Saya juga merasa keperitan dan sakit hati. Bukan sahaja kekalahan 0-7, tetapi keseluruhan kempen Sukan SEA pasukan Singa kami. Ia sukar untuk menerima hakikatnya, dan kita perlu berusaha untuk tidak membiarkannya berlaku lagi.

“Kempen Sukan SEA 2023 ini sukar diterima – tetapi ia adalah realiti keadaan yang kita hadapi dalam bola sepak tempatan hari ini.”

Skuad bawah 22 tahun lelaki Singapura tercorot di tangga terendah Kumpulan B seramai lima pasukan sekali gus tersingkir daripada pertandingan, selepas dibelasah Malaysia 0-7 dalam perlawanan terakhir mereka.

Encik Chua menambah bahawa ekosistem bola sepak setempat lebih lemah sekarang berbanding sebelumnya. 

“Hasilnya telah memberi kesan kepada saluran bakat tempatan kami. Apa yang telah dilakukan sebelum ini, tidak lagi berfungsi dengan baik untuk melahirkan bakat yang akan menjadikan pasukan negara kita berdaya saing di peringkat serantau,” ujarnya lagi.

Diumumkan pada 2021, UTR dilancarkan untuk meningkatkan taraf bola sepak Singapura dengan pelbagai inisiatif jangka panjang.

Antaranya adalah penubuhan 12 Akademi Bola Sepak Sekolah (SFA) sebagai saluran untuk melahirkan pemain muda yang mempunyai kebolehan teknikal yang mantap, di mana dua daripadanya adalah program khusus untuk budak perempuan.

Walaupun rata-rata peserta di sesi itu mengalu-alukan inisiatif UTR, mereka menekankan bahawa beberapa faktor seperti kepimpinan yang baik, kerjasama dan pembangunan belia yang berkesan adalah penting untuk kejayaannya.

Bekas kapten Singapura, Aide Iskandar, menekankan keperluan untuk kepimpinan yang baik di semua peringkat. Beliau berkata: “Saya fikir kita perlu menilai bukan sahaja pemain, tetapi juga pihak pengurusan. Jika anda tidak menunjukkan prestasi baik, anda harus melepaskan jawatan.

“Kadang-kadang kita suka kritik, bagus untuk kita bermuhasabah dan elok kita kembali kepada asas.

“Apa yang kurang di sini ialah kepimpinan yang kukuh, yang bermula bukan dengan pihak atasan tetapi dengan jurulatih, kapten dan pemain kerana kita mesti mempunyai pemimpin yang kuat dengan prinsip, nilai dan etika yang betul.”

Seorang lagi bekas pemain Singa, Noh Alam Shah, yang kini pengurus pasukan Liga Perdana Singapura Tanjong Pagar United, pula ingin menyaksikan kerjasama semua pihak untuk membawa kembali kegemilangan bola sepak negara.

“Saya tidak pasti sama ada semua orang akan dapat bekerjasama dan menerima baik satu sama lain. Tapi, sekiranya semua orang mahu bola sepak Singapura maju ke depan, ia mesti untuk satu tujuan sama... Tanpa ada perlu membandingkan siapa yang lebih hebat.

“Mesej saya kepada semua adalah melangkah ke depan, kurang mengkritik dan lebihkan kerjasama. Ia lebih senang untuk bercakap berbanding melakukan sesuatu bagi usaha ini,” katanya.

Pasangan ibu bapa, Encik Aidilreza Aziz dan Cik Mashari Mahadi, memandang positif pada arah tuju UTR tetapi berpendapat bahawa lebih banyak usaha diperlukan sebelum melihat keberkesanan inisiatif itu.

“Untuk menambah baik, mereka memerlukan laluan pembangunan yang betul. Idea itu ada tetapi perlu ada lebih banyak penglibatan dengan akademi swasta,” kongsi Encik Aidilreza, yang bertugas dalam industri IT.

Isterinya, Cik Mashari, seorang penasihat kewangan, pula berkata: “UTR harus melibatkan semua sekolah. Jika mereka ingin memperluaskan projek ini , setiap sekolah harus mempunyai bola sepak sebagai kegiatan kokurikulum meskipun kurang bilangan peserta. Saya difahami ada sekolah yang menutup kegiatan kokurikulum bola sepak kerana tidak cukup pelajar.”

Anak mereka, Nahwah Aidilreza, ialah pemain perempuan bawah 16 tahun nasional Singapura.

Dialog itu adalah yang pertama diadakan di sini, dengan bekas pemain antarabangsa Singapura, Rafi Ali, menggalakkan lebih banyak sesi sedemikian dianjurkan.

“Melihat orang ramai hari ini, mereka mengambil berat tentang bola sepak Singapura. Kita sepatutnya bimbang jika kita mengadakan dialog dan tiada siapa yang datang.

“Walaupun orang ramai masih mengambil berat, kita perlu melakukan sesuatu mengenainya,” kata pemenang Piala Tiger 1998 itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >