Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura tuan rumah sukan elektronik Evo 2026

Aug 1, 2024 | 5:59 PM
Seorang penonton memberi reaksi semasa pertandingan sukan maya Siri Kejohanan Evolution 2024 di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Seorang penonton memberi reaksi semasa pertandingan sukan maya Siri Kejohanan Evolution 2024 di Las Vegas, Amerika Syarikat. - Foto EVO/X

Singapura akan menjadi tuan rumah bagi pertandingan sukan elektronik (e-sukan) Siri Kejohanan Evolution pada 2026, yang dianggap ramai pemain sebagai Piala Dunia permainan pertarungan.

Pengumuman itu dibuat pada 21 Julai, iaitu hari terakhir pertandingan tahunan yang juga dikenali dengan singkatan Evo, di Las Vegas.

Lembaga Pelancongan Singapura (STB) mengesahkan bahawa ia sedang bekerjasama dengan penganjur Evo 2026 untuk “menyampaikan edisi yang menarik dan berkesan” untuk peserta dan peminat kejohanan itu, lapor The Straits Times (ST).

“Dengan beberapa tajuk permainan pertarungan yang amat popular dalam satu kejohanan, kami teruja menjadi tuan rumah bagi Evo di Singapura pada 2026,” kata Pengarah Eksekutif bagi Sukan dan Kesejahteraan STB, Cik Ong Ling Lee.

Permainan pertarungan adalah satu genre permainan video yang membolehkan pemain memilih daripada pelbagai watak, dan bersemuka dalam pertempuran satu lawan satu.

Seorang pemain menang apabila watak lawan tersingkir, atau jika watak pemain itu meraih lebih banyak mata kesihatan apabila permainan tamat.

Kejohanan yang menawarkan permainan sedemikian boleh diadakan secara dalam talian atau bersemuka.

Francais paling terkenal dalam genre tersebut termasuk Street Fighter, Tekken, King Of Fighters dan Mortal Kombat.

Evo 2024 di Las Vegas, yang menawarkan hadiah kolektif berjumlah AS$240,000 ($321,000), dihadiri 20,000 peminat dan lebih 10,000 pesaing dari 64 negara.

Edisi 2025 kejohanan ini akan diadakan di Nice, Perancis.

Singapura akan menjadi negara Asia pertama yang menganjurkan kejohanan utama Evo pada 2026.

Kejohanan itu berbeza daripada Evo Jepun, acara cabang berasingan yang diadakan setiap tahun di negara itu.

Evo adalah kejohanan terbuka – sesiapa sahaja boleh mendaftar untuk bertanding.

Antara lain, ia menggunakan format penyingkiran, melibatkan dua pesaing bertarung sehingga pemenangnya ditentukan.

Pemenang kemudian mara ke pertandingan seterusnya hingga ke peringkat akhir.

Hadiah tunai sekurang-kurangnya AS$30,000, dibahagikan antara lapan finalis terbaik bagi setiap perlawanan.

Pengumuman tersebut menggembirakan pemain dan peminat e-sukan di sini.

Encik Ho Kun Xian, yang membanggakan Singapura pada 2013 apabila beliau menjadi pemenang warga Singapura pertama di Evo, berkata beliau berminat menyertai kejohanan itu pada 2026.

Beliau berjaya menewaskan lawan terkenal Jepun, Hajime “Tokido” Taniguchi, dalam satu pertandingan Evo 2013.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg