BILBAO: Penyerang Tottenham Hotspur, Brennan Johnson, yang menjaringkan gol tunggal dalam kemenangan 1-0 pasukannya ke atas Manchester United dalam final Liga Europa pada 21 Mei, berkata menjulang trofi tersebut mengubati segala kekecewaan musim yang hambar.
Johnson menjaringkan gol pada minit ke-42 dalam situasi kelam-kabut di hadapan gawang, sekali gus menghadiahkan Spurs trofi pertama sejak memenangi Piala Liga pada 2008 dan kejuaraan Eropah pertama sejak 1984.
“Saya terlalu gembira sekarang,” kata Johnson sambil tersenyum lebar.
“Musim ini memang mengecewakan, tapi saya berani cakap - tiada seorang pun daripada kami kisah tentang perkara itu malam ini. Inilah yang kami impikan. Kelab ini dah 17 tahun tidak menang apa-apa.
“Maknanya sangat besar. Penyokong kami selalu dihentam, kami pun sama, sebab tak pernah menang apa-apa. Tapi malam ini, kami dapat juga pecahkan badi tu. Saya rasa sangat bersyukur.”
Kempen Liga Europa menjadi satu-satunya sinar harapan buat kededua pasukan, dengan United menamatkan Liga Perdana England (EPL) di tangga ke-16 dan Spurs di tangga ke-17.
“Sejak saya tiba di sini, ramai cakap ‘Tottenham pasukan bagus, tapi tak pernah menang.’ Malam ni kami buktikan sebaliknya,” kata Johnson.
Gol Johnson bukanlah yang tercantik - hantaran lintang Pape Sarr kelihatan terkena dirinya dan juga Luke Shaw sebelum bola terjatuh masuk ke gawang, melepasi percubaan Andre Onana untuk menepisnya.
“Saya tahu saya sentuh bola itu, tapi saya tak pasti kerana sentuhan itu tidak lengkap. Bila lihat bola perlahan-lahan masuk ke gawang... saya tak tahu bagaimana untuk gambarkan perasaan itu,” kata Johnson, yang baru berusia 23 tahun.
United melancarkan serangan bertubi-tubi semasa penghujung permainan, termasuk percubaan tandukan Rasmus Hojlund yang diselamatkan oleh Micky van de Ven di atas garisan gol, serta tandukan Luke Shaw yang ditepis keluar oleh Guglielmo Vicario.
“Waktu tu memang rasa gementar. Saya tak mampu tengok,” kata Johnson.
“Perasaan lega tu... saya tak dapat nak gambarkan. Ya, kedudukan ke-17 dalam liga memang mengecewakan, tapi kempen Liga Europa ni luar biasa, dan penyokong kami memang luar biasa juga.”
Johnson turut memberi penghargaan kepada pengurusnya, Ange Postecoglou.
“Beliau sudah tunaikan janjinya. Beliau kata beliau akan menang sesuatu dalam musim kedua.”
“Saya sangat hargai kepercayaan beliau kepada kami. Secara jujur, ada banyak persembahan kami musim ini yang memang tak cukup bagus. Tapi dalam Liga Europa, beliau bijak bakar semangat kami...” katanya.
Penjaga gol Spurs, Guglielmo Vicario, turut memuji semangat sepasukan dalam kemenangan itu.
“Tindakan cemerlang van de Ven atas garisan tu memang luar biasa. Kami tahu sebelum perlawanan, setiap pemain perlu main peranan - dan itulah yang kami buat. Kami berjaya, dan sekarang masa untuk meraikannya,” ujar beliau. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg