Dua pasukan favorit empat tempat teratas Liga Perdana England (EPL) musim ini, Tottenham Hotspur dan Arsenal, bakal bertemu bagi mengukuhkan kedudukan masing-masing dalam persaingan kali ini.
Tottenham bakal menerima kunjungan Arsenal di Stadium Tottenham Hotspur pada 15 September.
Namun sebelum pertembungan itu berlangsung, kededua pasukan itu perlu mengatasi cabaran kecederaan para pemain utama yang membelenggu mereka.
Tottenham mempunyai tiga pemain dalam senarai kecederaan menjelang pertemuan dua pasukan gergasi London Utara itu, dan ketiga-tiga mereka memainkan peranan penting dalam skuad kendalian Ange Postecoglou itu.
Pasukan ini sudah pasti ingin meraih keputusan yang lebih baik berbanding musim lalu apatah lagi mereka mempunyai ramai muka baru dalam skuad mereka.
Dalam tiga perlawanan pertama musim ini, Tottenham menang sekali, seri sekali dan tewas sekali.
Terkini mereka kalah mengejut di tangan Newcastle 2-1 di Stadium St. James Park.
Padahal dalam perlawanan itu, Tottenham telah membuat 20 percubaan ke pintu gol pasukan tuan rumah selain 66 peratus mengawal permainan, berbanding sembilan percubaan oleh Newcastle yang hanya mengawal 34 peratus permainan.
Untuk menewaskan pasukan pimpinan Mikel Arteta, Postecoglou memerlukan seberapa ramai pemain utamanya cergas.
Salah seorang daripada mereka, Dominic Solanke, yang terlepas dua perlawanan Tottenham sebelum ini masih belum pasti dapat diturunkan dalam perlawanan menentang Arsenal.
Memetik beberapa laporan di Internet, Postecoglou berkata:
“Dom Solanke hampir pulih, namun sebagai langkah berjaga-jaga beliau tidak bermain dalam minggu perlawanan antarabangsa yang baru lalu.”
Minggu sebelum ini, Postecoglou juga ditanya sekiranya Solanke berkemungkinan terlepas perlawanan menentang Arsenal juga, namun Postecoglou hanya menggelengkan kepala.
Padahal Solanke bermain baik dalam perlawanan pertama menentang Leicester dan ternyata beliau dapat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukannya yang baru.
“Kecederaan yang dialaminya tidak akan memaksanya terlepas perlawanan selama lima minggu. Melihat keadaannya sejauh ini, ia bergantung kepada berapa cepat beliau dapat pulih.
“Beliau bermain dengan baik semasa menentang Leicester dan pasti kami kecewa beliau cedera kerana beliau cergas dalam perlawanan itu,” tambah Postecoglou.
Seorang lagi pemain utama yang belum pasti akan diturunkan Tottenham menentang Arsenal ialah pemain pertahanan, Micky van de Ven.
Beliau mengalami kecederaan pada lututnya dalam kemenangan 4-0 Tottenham ke atas Everton tapi terpaksa menarik diri semasa pasukan itu tewas 2-1 di tangan Newcastle.
Seorang penyerang asal Brazil, Richarlison, yang baru pulih daripada masalah pada otot betisnya juga terlepas peluang bermain semasa menentang Newcastle.
Namun sebagai ganti, Tottenham mempunyai seorang penyerang muda yang baru, Will Lankshear.
Kecederaan hamstring yang dialami Lankshear kian pulih dan Postecoglou sendiri pernah memberi bayangan bahawa Richarlison mungkin akan berada di bangku simpanan untuk tempoh yang lebih lama sekiranya Lankshear kembali cergas untuk bermain.
Sementara itu, Arsenal juga mempunyai masalah kecederaan yang perlu diatasi mereka ketika ini.
Selain pemain utama Declan Rice yang akan terlepas perlawanan menentang Tottenham akibat diberi kad merah, kerana dilayang dua kad kuning dalam perlawanan seri 1-1 menentang Brighton & Hove Albion, Arsenal mungkin terlepas beberapa lagi pemain utamanya akibat kecederaan.
Kapten pasukan Martin Odegaard dikatakan mengalami kecederaan semasa menentang Brighton baru lalu, namun beliau tetap bermain hingga tamat permainan sewaktu mewakili negaranya, Norway, dalam Liga Negara-Negara menentang Kazakhstan baru-baru ini.
Yang pasti dua pemain Arsenal, Takehiro Tomiyasu dan Kieran Tierney – masing-masing mengalami kecederaan lutut dan hamstring.
Jurrien Timber juga mungkin diketepikan dalam perlawanan kali ini dan kelihatan terhincut-hincut sedikit semasa digantikan dalam perlawanan menentang Brighton.
Penyertaan penyerang mereka, Gabriel Jesus, masih menjadi tanda tanya.
Jesus mengalami kecederaan otot pangkal paha sejak awal musim ini dan kecergasannya dalam perlawanan menentang Tottenham belum dapat dipastikan.
Menurut laporan di Internet, Mikel Merino pula masih belum bermain untuk Arsenal dalam musim kali ini dan dijadualkan tidak dapat disertakan untuk beberapa bulan mendatang selepas mengalami kecederaan bahu dalam sesi latihan pertama bersama kelab itu.
Seorang lagi pemain Arsenal, Riccardo Calafiori, merupakan pemain terkini yang mungkin terlepas peluang untuk bermain dalam perlawanan menentang Tottenham selepas mengalami kecederaan semasa mewakili Italy dalam Liga Negara-Negara.
Ini bermakna Arsenal mungkin ketiadaan tujuh pemain dalam perlawanan menentang Tottenham.
Berdasarkan statistik, Arsenal menang 17 perlawanan berbanding Tottenham dengan 11 kemenangan apabila kededua pasukan itu bertembung sebanyak 38 kali sebelum ini.
Sebanyak 10 perlawanan antara mereka pula berakhir dengan keputusan seri.
Mungkin dari sudut permainan, Arsenal kelihatan lebih mengancam berbanding Tottenham yang masih belum dapat menyesuaikan para pemain dengan corak agresif yang diinginkan Postecoglou.
Namun Tottenham bukan pasukan yang boleh dipandang remeh.
Meskipun tewas mengejut kepada Newcastle yang bermain agak sederhana, Tottenham biasanya mampu memberi saingan lebih baik apabila bertemu dengan pasukan yang lebih handal daripada mereka.
Justeru meskipun kededua pasukan diramal sebagai pasukan yang mampu menduduki empat tempat teratas EPL musim ini, tidak mengejutkan jika Tottenham mampu mengalahkan Arsenal kali ini di kubu sendiri.
Ramalan wartawan: Tottenham 2-0 Arsenal
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg