Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vardy masih berbisa, Solanke kurang tajam

Aug 20, 2024 | 5:01 PM
Penyerang Leicester City, Jamie Vardy (kanan) berjabat tangan dengan ketua jurulatih Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou, selepas perlawanan mereka di Stadium King Power pada 19 Ogos. Perlawanan itu berkesudahan 1-1.
Penyerang Leicester City, Jamie Vardy (kanan) berjabat tangan dengan ketua jurulatih Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou, selepas perlawanan mereka di Stadium King Power pada 19 Ogos. Perlawanan itu berkesudahan 1-1. - Foto AFP

LEICESTER (England): Semua mata tertumpu kepada penyerang baru Tottenham Hotspur yang bernilai £65 juta ($110.6 juta) sedang kelab London itu cuba mempamerkan kemampuan bersaing merebut empat tempat teratas Liga Perdana England (EPL).

Sebaliknya seorang penyerang veteran berusia 37 tahun yang mencuri tumpuan penonton di Stadium King Power Leicester City pada 19 Ogos.

Dominic Solanke menjadi harapan Spurs mendapatkan gol sejak perpindahan Harry Kane ke Bayern Munich pada 2023.

Walaupun beliau tidak meninggalkan impak dalam penampilan pertamanya, yang menyaksikan Spurs hanya mampu seri 1-1 dengan Leicester, Solanke masih mempunyai banyak masa.

Namun, perlawanan itu menjadi milik Jamie Vardy, pemain yang dianggap ramai sebagai sudah melewati ‘masa gemilangnya’.

Selepas Pedro Porro meletakkan Spurs di depan pada separuh masa pertama, Vardy menyamakan kedudukan menerusi percubaan pertama Leicester pada separuh masa kedua, dengan tandukan dari jarak dekat hasil satu hantaran lintang.

Walaupun usianya semakin menua, Vardy mempamerkan sekilas ketajamannya di depan gawang dengan menjaringkan golnya yang ke-104 dalam EPL selepas berusia 30 tahun – semuanya untuk Leicester.

“Saya dapat bayangkan Vardy sebagai pemain terbaik Leicester,” kata bekas pemain pertahanan Liverpool, Jamie Carragher, yang membuat ulasan untuk Sky Sports.

“Beliau seorang pemain yang istimewa,” tambahnya lagi.

Keputusan perlawanan mungkin berbeza jika Spurs, yang menguasai permainan, tidak mensesiakan peluang jaringan mereka.

Solanke, yang terbukti berbisa ketika bersama Bournemouth musim lalu, di mana beliau menjaringkan 19 gol, terlepas dua peluang, dengan kededua tandukannya ditujukan tepat kepada penjaga gol.

Tetapi dengan harga perpindahan yang tinggi, Solanke pasti merasai tekanan untuk membuktikan kemampuan.

“Ini adalah ujian untuknya,” kata bekas pemain pertahanan Manchester United, Gary Neville, seorang lagi pengulas Sky Sports.

“Masanya akan tiba. Beliau akan mempunyai peluang dan akan dinilai pada saat seperti itu. Solanke perlu memastikan beliau terus mencuba.

“Sepatutnya Solanke boleh menjaringkan satu atau dua gol.

“Beliau pasti akan dapat berbuat demikian jika beliau terus berusaha,” ujar Neville.

Mengulas persembahan pasukannya, pengurus Spurs, Ange Postecoglou, memberitahu BBC Sport bahawa “ia adalah keputusan yang mengecewakan untuk kami”.

“Saya fikir kami cemerlang (pada) separuh masa pertama dan mengawal permainan.

“Kami mencipta peluang dan tidak cukup tajam dan mensesiakan banyak peluang,” ulas Postecoglou.

Bagi Leicester, kejayaan menjadi juara EPL pada 2016 dianggap sebagai kejayaan terbesar.

Namun matlamat mereka pada muzim baru ini adalah untuk kekal dalam liga elit England itu.

Leicester kembali ke EPL musim lalu selepas memenangi Liga Kejuaraan, tetapi Enzo Maresca, yang membimbing mereka ketika itu, sudah berpindah ke Chelsea.

Leicester juga menghadapi kemungkinan dikenakan potongan mata kerana didakwa melanggar peraturan liga berkaitan isu keuntungan dan kemampanan.

Namun, mereka masih boleh meletakkan harapan kepada Vardy, yang menjadi penjaring terbanyak Leicester musim lalu dengan 18 gol.

Beliau hampir menjaringkan gol kedua ketika menentang Spurs kalau tidak kerana aksi cemerlang penjaga gawang lawan menyelamatkan percubaan keduanya.

“Tiga hari lalu kami terkial-kial mencari penyerang berpengalaman,” kata pengurus Steve Cooper.

“Vardy kemudian muncul dan menunjukkan kesungguhan bermain.

“Kami tahu jika kami boleh membuat hantaran yang baik ke dalam kotak (penalti), kami ada pemain yang boleh mencari ruang.

“Beliau cedera sebulan yang lalu, dan berlatih hanya sekali, tetapi tampil menunjukkan kemampuannya,” tambah Cooper. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg