Pasukan Singapura membuka tirai pertandingan lawan pedang Sukan SEA 2025 dengan cemerlang dengan menyapu bersih ketiga-tiga pingat emas yang dipertandingkan pada hari pertama acara itu di Fashion Island, Bangkok, pada 16 Disember.
Raphael Tan mempertahankan kejuaraan acara foil individu lelaki selepas menewaskan wakil tuan rumah, Notethakod Wangpaisit, 15-11 di pentas final.
Atlet berusia 20 tahun itu mara ke perlawanan penentuan dengan bergaya selepas menyingkirkan pemain Malaysia, Kaerlan Kamalanathan, sebelum menewaskan rakan sepasukan, Jonathan Lim, di separuh akhir, yang membawa pulang pingat gangsa.
Kejayaan itu diteruskan dalam acara epee individu wanita yang menyaksikan pertembungan sesama atlet Singapura.
Juara bertahan dua kali, Elle Koh, muncul pemenang selepas menewaskan Kiria Tikanah Abdul Rahman 9-8 dalam aksi sengit.
Kiria, pemenang emas acara itu pada 2019, terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila sekali lagi gagal merampas kembali gelaran tersebut meskipun memberi tentangan hebat hingga saat akhir.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) selepas perlawanan, Kiria berkata walau tewas kepada rakan baiknya itu, beliau memuji kehebatan pesaingya itu.
“Perlawanan akhir sudah semestinya sukar kerana kami berdua rakan sepasukan, sering berlatih bersama. Peluangnya 50-50, siapa saja boleh menang.
“Kami berdua lakukan yang terbaik namun beliau menjadi pemenangnya,” ujar atlet dengan ranking nombor 43 itu.
Kedua-duanya akan bergandingan bagi acara epee berpasukan wanita pada 18 Disember.
Satu lagi emas disumbang Juliet Heng, dalam acara sabre individu wanita apabila beliau mempertahankan gelarannya dengan kemenangan tipis 15-14 ke atas atlet Thailand, Tonkhaw Phokaew.
Pencapaian itu mempamerkan kebolehan skuad lawan pedang Singapura, yang sebelum ini mencatat rekod cemerlang pada Sukan SEA 2023 di Kemboja dengan memenangi tujuh daripada 12 pingat emas yang dipertandingkan.
Sementara itu, kejayaan kontinjen negara diteruskan di arena sukan air apabila pemenang pingat gangsa Olimpik, Maximilian Maeder, meraih emas dalam acara luncur lelayang lelaki Sukan SEA, meskipun dengan baki satu hari pertandingan bagi acara itu.
Maeder, 19 tahun, memastikan emas menjadi miliknya selepas memenangi kesemua 12 perlumbaan setakat ini di perairan Pantai Jomtien, sekali gus mewujudkan jurang mata yang tidak mampu dikejar pencabar terdekat.
Empat perlumbaan terakhir yang dijadualkan pada 17 Disember tidak lagi menjejas kedudukannya di puncak carta.
Atlet Singapura itu mendahului pelumba Thailand, Joseph Weston, diikuti Warner Janoya dari Filipina dan Wayan Wiranatha dari Indonesia.
Kejayaan tersebut diraih selepas satu tahun yang penuh perubahan buat Maeder, yang memenangi gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024 dan kemudian mengubah latihannya bagi persiapan menjelang misi ke Olimpik Los Angeles 2028.
Beliau kini berlatih bersama pasukan Switzerland di bawah bimbingan jurulatih Matthieu Girolet.
Gabungan kejayaan dalam acara lawan pedang dan luncur lelayang itu sekali gus memberikan pengalaman manis setakat ini buat Singapura dalam kempen Sukan SEA kali ini.
Di arena boling pula, pasangan lelaki, Nu’man Syahmi dan Jomond Chia, memenangi pingat gangsa selepas tewas 419-470 kepada Malaysia di separuh akhir.
Sehingga waktu cetak, Singapura telah memenangi 37 emas, 35 perak dan 60 gangsa.
Thailand pula di tangga teratas dengan 307 pingat (152 emas, 91 perak, 64 gangsa), Indonesia dengan 193 pingat (59 emas, 69 perak, 65 gangsa) dan Vietnam dengan 165 pingat (41 emas, 50 perak, 74 gangsa).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg