Brazil dikenali sebagai kuasa besar bola sepak dan tempat lahir joga bonito – gaya permainan yang memukau penonton dengan gerakan indah dan luar biasa.

Memiliki rekod lima trofi Piala Dunia, tidak dapat dinafikan mereka antara pasukan bola sepak terbaik dalam sejarah.

Selama berdekad, Brazil secara konsisten melahirkan ikon bertaraf dunia yang menjadi idola ramai – daripada Pele dan Ronaldo sehinggalah kepada Ronaldinho dan Neymar.

Namun, kegemilangan itu hanya sekadar nostalgia, memandangkan skuad bergelar Selecao itu gagal mencipta kejayaan yang diharapkan selama lebih dua dekad.

Brazil belum menjulang Piala Dunia sejak 2002, malah gagal mara ke peringkat final dalam lima kempen terakhir mereka.

Detik terendah mereka semasa Piala Dunia 2014, apabila dibelasah 1-7 di tangan Jerman pada pusingan separuh akhir di tanah air sendiri.

Tambahan pula, mereka terpaksa menyerahkan dominasi rantau kepada seteru Argentina dalam kejohanan Copa America.

Namun apakah Piala Dunia 2026 mampu menjadi titik perubahan untuk Brazil?

Kehadiran pengurus berpengalaman, Carlo Ancelotti, dikatakan mampu memberikan disiplin taktikal dan kepimpinan yang amat diperlukan oleh skuad yang sememangnya sudah berbakat.

Namun, adakah formula itu mencukupi untuk Brazil menghidupkan semula zaman kegemilangan mereka?

Kapten pasukan bola sepak Brazil, Cafu, menjulang trofi Piala Dunia setelah mengatasi Jerman 2-0 pada 30 Jun 2002. Itu kali terakhir Brazil memenangi Piala Dunia.
Kapten pasukan bola sepak Brazil, Cafu, menjulang trofi Piala Dunia setelah mengatasi Jerman 2-0 pada 30 Jun 2002. Itu kali terakhir Brazil memenangi Piala Dunia. - Foto AFP

Terkenal dengan pakaian sut kemas dan aksi ikonik mengangkat kening, beliau sentiasa kelihatan tenang.

Kali terakhir Ancelotti terlibat dengan pasukan nasional ialah di Italy selaku penolong pengurus pada Piala Dunia 1994, di mana mereka tewas kepada Brazil dalam perlawanan final.

Walaupun sering dikritik kononnya tidak mempunyai acuan taktik permainan yang kukuh, kebolehan beliau mengurus ‘ego’ pemain bintang demi memerah prestasi terbaik tidak pernah goyah.

Beliau berjaya membina hubungan akrab bersama bintang Eropah dalam kerjayanya, termasuk Zlatan Ibrahimovic, Cristiano Ronaldo, Gareth Bale dan lebih lagi.

Sebelum menggalas tugas membimbing skuad Brazil, beliau telah melakar kempen yang amat berjaya mengurus Real Madrid dari 2021 hingga 2025.

Tatkala itu, beliau bekerjasama dengan beberapa bintang Brazil yang bakal beraksi di Piala Dunia 2026 nanti, termasuk Vinicius Junior dan Casemiro.

Lantas, Ancelotti dijangka meraih prestasi yang terbaik daripada gandingan 26 pemain Brazil, yang menampilkan beberapa bintang.

Dalam temu bual bersama Reuters pada 13 Mei, Ancelotti menyatakan hasratnya untuk melengkapi bakat sedia ada dengan penerapan struktur dan organisasi permainan yang lebih kemas.

Brazil juga perlu bijak mengawal tekanan demi menampilkan prestasi terbaik, selain mengemudi intensiti perlawanan yang semakin meningkat, tambah jurulatih berusia 66 tahun itu.

“Kualiti utama pasukan ini - kreativiti, kegembiraan dan keghairahan - sentiasa kekal dalam para pemain dan bola sepak Brazil.

“Bakat memang penting, namun organisasi adalah kunci mengatasi bakat. Kami akan merealisasikannya kerana gaya permainan rapi boleh diasah, tetapi bakat tidak boleh diajar,” kata Ancelotti.

Carlo Ancelotti, mengambil alih pasukan kebangsaan lelaki Brazil pada 2025. Beliau ingin menerap struktur untuk melengkapi bakat sedia ada skuad itu.
Carlo Ancelotti, mengambil alih pasukan kebangsaan lelaki Brazil pada 2025. Beliau ingin menerap struktur untuk melengkapi bakat sedia ada skuad itu. - Foto AFP

Namun, kempen kelayakan Brazil belum lagi mencerminkan keserasian dan semangat yang Ancelotti ingin memupuk.

Brazil sekadar menduduki tangga kelima daripada enam pasukan yang layak secara automatik di benua Amerika Selatan, ekoran enam kekalahan mengejut yang dialami.

Prestasi itu membimbangkan, kerana Brazil hanya tewas lima kali sepanjang lima edisi kelayakan Piala Dunia sebelum ini.

Keputusan Ancelotti untuk meninggalkan penyerang berbisa, Joao Pedro, turut mencetuskan pertanyaan, terutama sekali kerana beliau mempamerkan aksi amat memberangsangkan di Chelsea selepas menyumbang 20 gol, sekali gus diiktirafkan sebagai sebagai pemain lelaki terbaik kelabnya bagi musim Liga Perdana England (EPL) 2025/26.

Penyerang berusia 34 tahun itu tidak bermain untuk Brazil sejak 2023, dan telah dibelenggu persoalan tentang kecergasan dan prestasinya berikutan tempoh kecederaan di kelab Al Hilal dan kepulangan yang mengecewakan ke kelab zaman kanak-kanaknya, Santos, pada 2025.

Baru-baru ini, Neymar masih dilanda krisis kecederaan dan dijangka terlepas aksi pembuka tirai Piala Dunia 2026, apabila Brazil menentang juara Piala Negara-Negara Afrika (Afcon), Maghribi, pada 14 Jun bagi perlawanan Kumpulan C.

Namun begitu, Ancelotti menegaskan penyertaan Neymar tidak berteraskan sentimen, tetapi atas dasar prestasi dan pengalaman kaya yang boleh memanfaatkan skuad Brazil.

Dalam apa yang mungkin menjadi penampilan Piala Dunia yang terakhirnya, adakah Neymar masih mampu membawa kesan yang besar, atau beraksi sekadar bayang-bayang zaman gemilangnya?

Neymar, berusia 34 tahun, merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 79 gol dalam 128 penampilan. Namun, beliau belum beraksi untuk Brazil sejak Oktober 2023, disebabkan oleh beberapa siri kecederaan yang menyebabkannya terlepas sebahagian besar kempen kelayakan, sedang juara lima kali itu mengejar gelaran keenam.
Neymar, berusia 34 tahun, merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 79 gol dalam 128 penampilan. Namun, beliau belum beraksi untuk Brazil sejak Oktober 2023, disebabkan oleh beberapa siri kecederaan yang menyebabkannya terlepas sebahagian besar kempen kelayakan, sedang juara lima kali itu mengejar gelaran keenam. - Foto AFP

Dengan itu, siapakah pemain yang akan muncul sebagai wira mengembalikan status Brazil sebagai gergasi bola sepak?

Jawapannya mungkin terletak di dalam barisan serangan Brazil ini yang penuh dengan bakat.

Vinicius sudah pasti menjadi pemain tonggak negara itu menyusuli prestasi cemerlang.

Bagi musim 2025/26, Vinicius menjaringkan 22 gol dalam 53 penampilan dalam semua kejohanan bersama Real Madrid.

Beliau juga bijak menghidangkan peluang jaringan buat rakan sepasukannya, dengan mencatatkan 14 bantuan gol dalam musim itu.

Ancelotti dan Vinicius juga mempunyai hubungan erat menyusuli era berjaya di Real Madrid.

Di sayap kanan pula, Raphinha bakal menjadi duri bagi pihak lawan, setelah berjaya menjaringkan 21 gol dalam 33 penampilan bersama Barcelona dalam semua persaingan.

Berbekalkan prestasi cemerlang menjuarai La Liga, ketajaman di depan gawang, gelecek pantas dan hantaran tepat amatlah berbahaya bagi lawan.

Penyerang Brazil, Raphinha (tengah), meraikan kemenangan 2-1 ke atas Chile dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 bagi Benua Amerika Selatan pada 10 Oktober 2024.
Penyerang Brazil, Raphinha (tengah), meraikan kemenangan 2-1 ke atas Chile dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 bagi Benua Amerika Selatan pada 10 Oktober 2024. - Foto AFP

Di atas kertas, bahagian tengah Brazil kelihatan sedikit rapuh dengan hanya lima pemain.

Namun gandingan pemain berpengalaman seperti Casemiro dan Bruno Guimaraes mampu menyuntik aspek kestabilan dan kreativiti yang seimbang bagi Brazil.

Mungkin Ancelotti perlu lebih berhati-hati di bahagian pertahanan.

Posisi bek tengah ternyata dipenuhi pemain handal seperti juara EPL, Gabriel Magalhaes, dan pemain juara Liga Perancis, Marquinhos. Namun, posisi bek kanan dan kiri dilihat semakin berusia.

Memandangkan pasukan gergasi seperti Sepanyol, Perancis, dan England dijangka mempertaruhkan pemain sayap yang pantas serta agresif, situasi ini menuntut setiap pemain dalam pasukan untuk membantu bertahan dengan intensiti tinggi dalam setiap perlawanan.

Hakikatnya, anak didik Ancelotti mempunyai bakat individu luar biasa, namun beliau perlu mencari jalan menyatukan mereka supaya saling melengkapi antara satu sama lain.

Rekod prestasi Ancelotti sepanjang kerjayanya membuktikan beliau mampu mencapai matlamat itu. Namun, persoalannya adakah beliau mampu mengulangi impak sama di peringkat pasukan kebangsaan, terutamanya di pentas bola sepak terbesar?

Dengan prestasi kurang meyakinkan di kempen kelayakan, dan pemilihan yang skuad yang boleh dipersoalkan, Selecao dijangka meneruskan kemarau Piala Dunia.

Ramalan wartawan: Brazil bakal tersingkir di peringkat suku akhir.

Penyerang Brazil, Vinicius Junior, berseloroh bersama rakan sepasukan semasa sesi latihan di Rio de Janeiro, Brazil, pada 28 Mei, menjelang Piala Dunia 2026.
Penyerang Brazil, Vinicius Junior, berseloroh bersama rakan sepasukan semasa sesi latihan di Rio de Janeiro, Brazil, pada 28 Mei, menjelang Piala Dunia 2026. - AFP

Pasukan di Kumpulan C: Brazil, Morocco, Haiti, Scotland

Jadual Perlawanan Brazil (waktu Singapura):

14 Jun: Brazil vs Morocco (6 pagi)

20 Jun: Brazil vs Haiti (8.30 pagi)

25 Jun: Brazil vs Scotland (6 pagi)