Puluhan anggota keluarga, rakan dan penyokong berkumpul di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi untuk menyambut kepulangan atlet Team Singapore daripada Sukan Para Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

Dewan ketibaan bergema dengan sorakan ‘Majulah Singapura!’ ketika Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, David Neo, bersama anggota relawan Team Nila menyertai sambutan penuh meriah itu bagi meraikan pencapaian atlet negara yang membawa pulang 11 pingat – enam perak dan lima gangsa.

Pemanah negara, Nur Syahidah Alim, berkata beliau terharu dengan sambutan yang diterimanya dan rakan atlet Singapura.

“Saya rasa terharu. Saya tidak jangka ramai yang akan turun untuk sambut kami. Jadi saya ingin ucapkan berbanyak terima kasih kerana datang,” kata atlet berusia 41 tahun sambil tersenyum lebar.

Walaupun Singapura tidak memenangi pingat emas, Neo berkata atlet negara telah menunjukkan prestasi membanggakan, termasuk mencatat rekod dan pencapaian peribadi baharu.

“Kami mempunyai lapan rekod kebangsaan, 10 rekod peribadi terbaik dan empat rekod musim terbaik,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa prestasi atlet perlu dinilai berdasarkan sejauh mana mereka berjaya memberikan yang terbaik, dan bukan semata-mata berdasarkan keputusan atau pencapaian atlet negara lain.

Menurutnya, walaupun atlet Singapura telah menghasilkan prestasi membanggakan, pesaing mereka juga turut mempamerkan prestasi cukup hebat.

Antara contoh yang diberikan ialah Syahidah, yang meraih pingat perak selepas tewas kepada atlet nombor satu dunia, Sheetal Devi, di peringkat akhir.

“Perkara seperti ini boleh berlaku tetapi yang penting bagi kita ialah menyokong atlet supaya mereka dapat memberikan yang terbaik,” ujarnya.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata Singapura mahu memperkukuh sokongan kepada atlet menerusi bidang perubatan sukan, sains sukan, sains data dan psikologi sukan bagi membantu mereka mencapai prestasi lebih baik.

Bagi Muhammad Nur Amsyar Abdemanaf, yang membuat penampilan sulung di Sukan Para Asia dalam acara berbasikal para jalan raya, pengalaman tersebut memberinya gambaran lebih jelas tentang tahap persaingan di peringkat benua.

Beliau berkata perlumbaan jalan raya yang disertainya amat mencabar kerana laluannya teknikal, berliku dan mempunyai beberapa pendakian curam.

“Semasa perlumbaan jalan raya, saya ada rasa seperti mahu menyerah tetapi dalam diri saya... saya tetap mahu menghabiskan keseluruhan perlumbaan,” kongsinya.

Amsyar mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki, khususnya dari segi daya tahan dan stamina berlumba.

Beliau merancang bekerjasama dengan jurulatih bagi memperbaiki kelemahan tersebut, sambil menjadikan Sukan Asia 2030 di Doha nanti sebagai sasaran seterusnya.

Sementara itu, Syahidah pula berkata beliau berpuas hati dengan prestasinya dalam acara memanah ‘compound’ individu wanita, tetapi masih berusaha mengatasi kebimbangan ketika bertanding dan mengekalkan tumpuan.

Beliau berharap dapat mengekalkan ketenangan dan tidak mudah tergugat apabila berdepan keadaan di luar jangkaan.

Syahidah mengakui sudah semakin hampir mencapai keadaan mental yang diinginkan semasa temasya ini, namun masih perlu memperbaiki keupayaannya untuk kekal fokus sepanjang pertandingan.