Atlet lawan pedang negara, Kiria Tikanah Abdul Rahman, melakar sejarah pada 22 September apabila beliau berjaya merangkul pingat perak pertama Singapura bagi sukan tersebut di temasya Sukan Asia.

Dalam perlawanan akhir acara epee wanita yang berlangsung di Aichi Sky Expo, atlet berusia 26 tahun itu tewas 8-15 kepada juara dunia 2022 dari Korea Selatan, Song Se-ra.

Walaupun tewas di pusingan akhir, pencapaian Kiria ke tahap itu merupakan satu persembahan yang cukup membanggakan.

Di peringkat suku akhir, Kiria menewaskan juara Asia bertahan dari Kazakhstan, Irina Bakaldina, dengan keputusan 15-14 untuk layak ke kelompok empat terbaik.

Beliau kemudian berjaya menundukkan Yang Jingwen dari China dengan keputusan 15-14 di peringkat separuh akhir untuk mara ke pusingan akhir.

Dalam pusingan kumpulan pada awal hari yang sama, Kiria menduduki tempat kedua dalam Kumpulan 3, selepas memenangi empat daripada lima perlawanannya.

Pemenang pingat gangsa acara epee individu di Kejohanan Asia 2025 itu kemudian mendapat laluan percuma ke pusingan 16 terbaik, sebelum menewaskan Miho Yoshimura dari Jepun dengan keputusan 14-13 untuk mara ke suku akhir.

Pencapaian cemerlang Kiria ini merupakan pingat acara epee wanita pertama bagi Singapura dan hanya pingat ketiga secara keseluruhan bagi acara lawan pedang di temasya sukan yang berlangsung empat tahun sekali itu.

Lim Wei Wen memenangi pingat pertama negara itu dalam sukan tersebut pada 2014 apabila beliau meraih pingat gangsa acara epee lelaki, diikuti oleh kejayaan pasukan foil wanita memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia Jakarta 2018.

Pada edisi temasya sebelumnya pada 2023, Kiria menduduki tempat ke-15 selepas tersingkir di pusingan 16 terbaik.

Kali terakhir atlet Melayu memenangi pingat perak di Sukan Asia adalah pada 2018 dalam acara pencak silat yang ditandingi Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin.