Sukan Dalaman dan Seni Mempertahan Diri Asia (Aimag) keenam telah dibatalkan pada 19 Ogos, kira-kira tiga bulan sebelum ia dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 30 November di Bangkok dan Chonburi, Thailand.
Pembatalan “sebulat suara” temasya sukan empat tahun sekali itu dibuat Majlis Olimpik Asia (OCA) selepas satu mesyuarat tergempar bersama Lembaga Eksekutifnya pada 15 Ogos, atas alasan “kekurangan bajet, infrastruktur dan syarat lain Kontrak Tuan Rumah”.
Dalam surat yang diberi kepada anggota eksekutif dan anggota Majlis Olimpik Kebangsaannya, yang dilihat Berita Harian (BH), OCA berkata ia “telah memberi Jawatankuasa Penganjur hingga 5 petang waktu Bangkok pada Isnin, 19 Ogos, untuk memaklumkan kepada OCA sama ada mereka dapat memenuhi semua keperluan dalam Kontrak Tuan Rumah”.
“Gagal berbuat demikian akan mengakibatkan pembatalan secara automatik temasya sukan itu,” kata pertubuhan sukan Asia itu.
Dengan pembatalan itu, OCA menambah bahawa edisi seterusnya temasya sukan itu akan diadakan di Riyadh, Arab Saudi, walaupun tarikhnya belum diumumkan.
Edisi keenam Aimag, yang asalnya dijadual pada 2021, ditangguh beberapa kali akibat pandemik Covid-19 dan kemudian perubahan dalam kerajaan Thailand.
Thailand sudah menjadi tuan rumah temasya sukan itu sebanyak dua kali pada 2005 dan 2009.
Edisi kali ini sepatutnya adalah yang terbesar buat Thailand, menampilkan 63 pasukan (termasuk dari negara Oceania) dan melibatkan 29 jenis sukan.
Sukan ini termasuk acara yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik seperti badminton dan menembak dan sukan lain, seperti sepak takraw, silat dan floorball.
Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Abdul Halim Kader, memberitahu BH pembatalan Aimag mengecewakan tetapi beliau menghormati keputusan OCA.
“Kami memahami bahawa keputusan untuk membatalkan temasya sukan itu tidak diambil dengan mudah. Dengan hanya baki tiga bulan sebelum temasya sukan dan acara ujian yang penting dijalankan, OCA, dengan kebijaksanaannya, telah mengutamakan keselamatan dan integriti temasya sukanitu, yang kami hormati sepenuhnya,” ujar Halim, yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).
Warga Singapura itu menambah bahawa Astaf akan menyokong atlet dan anggota persatuannya yang terjejas semasa “tempoh mencabar ini”.
“Kami akan terus menerokai peluang alternatif bagi memastikan atlet kami berpeluang bersaing pada tahap tertinggi, dan kami akan bekerja rapat dengan OCA dan badan sukan antarabangsa lain untuk mencari laluan bagi membolehkan sepak takraw terus berkembang dan dikenali di pentas dunia,” ujarnya.
Pesilat nasional Singapura juga sepatutnya bersaing dalam Aimag di Thailand itu.
Seorang jurucakap Persekutuan Silat Singapura (Persisi) berkata pembatalan temasya sukan itu “tidak diduga” dan “di luar kawalan kami”.
“Persekutuan Silat Singapura mengakui pembatalan itu tidak diduga, pasukan akan berkumpul semula dan memberi tumpuan kepada dua lagi kejohanan, iaitu Kejohanan Pencak Silat Dunia dan Kejohanan Pencak Silat Asia,” katanya.
Kejohanan Asia akan berlangsung dari 1 hingga 10 September di Uzbekistan, manakala Kejohanan Dunia dijadualkan pada 17 hingga 22 Disember di Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Persatuan Floorball Singapura telah mengumumkan skuad lelaki dan wanitanya yang bakal mewakili negara di Aimag dalam satu catatannya di Facebook pada 13 Ogos.
Pemain floorball wanita Singapura, Siti Nurhaliza Khairul Anuar, meluahkan rasa sedih kerana ia merupakan satu-satunya pertandingan yang disertai pasukan negara pada 2024.
“Kami telah berlatih bersungguh-sungguh untuk tahun ini dan kami fikir mungkin dengan kejohanan ini, ia dapat mempersiapkan kami dengan lebih baik untuk menghadapi Kelayakan Piala Dunia akan datang pada awal 2025,” kata penyerang itu.
“Bagaimanapun, saya tidak fikir ia menjejaskan persiapan kami. Kami boleh menggunakan masa ini untuk memperbaiki sebarang perbezaan yang ada supaya lebih bersedia untuk Kelayakan Piala Dunia, yang lebih penting,” tambahnya.
Pada Aimag yang lalu, pada 2017 di Ashgabat, Turkmenistan, Singapura mendapat empat pingat emas, 17 perak dan 19 gangsa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg