Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sukan SEA 2025: Singa Muda tiada dalam senarai pemilihan awal

Aug 6, 2025 | 9:51 PM
Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Forrest Li, berkata semasa temubual spontan di Shangri-La Hotel pada 6 Ogos yang beliau yakin pasukan bola sepak Singapura masih boleh mewakili negara dalam temasya sukan SEA 2025.
Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Forrest Li, berkata semasa temubual spontan di Shangri-La Hotel pada 6 Ogos yang beliau yakin pasukan bola sepak Singapura masih boleh mewakili negara dalam temasya sukan SEA 2025. - Foto BH oleh KHALID BABA

Pasukan bola sepak lelaki Singapura bawah 22 tahun, Singa Muda, tidak disertakan dalam pemilihan awal kontinjen atlet yang akan menyertai temasya sukan SEA 2025 yang akan berlangsung di Thailand pada 9 hingga 20 Disember.

Menurut laporan The Straits Times (ST) pada 6 Ogos, difahamkan bahawa pasukan Singa Muda gagal mara daripada pusingan pemilihan atlet awal, kerana tidak menghasilkan keputusan antarabangsa yang memenuhi kriteria kelayakan yang ditentukan oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC).

Kriteria tersebut adalah kewajipan Singa Muda untuk mencabar pasukan yang menduduki tempat ketiga pada edisi Sukan SEA yang lalu.

SNOC mengumumkan bahawa seramai 762 atlet daripada 42 sukan telah dipilih untuk mewakili Singapura setakat ini – kontinjen atlet terbesar dalam sejarah Singapura.

Ini merupakan kali pertama sejak 1969, Singapura tidak menyertai pertandingan bola sepak dalam temasya sukan SEA.

Pertama kali Singapura menyertai pertandingan bola sepak di sukan SEA adalah pada 1965 sebelum tidak bertanding pada 1967 dan 1969.

Mereka telah mengambil bahagian dalam setiap temasya sukan SEA sejak itu dan memenangi tiga pingat perak serta empat pingat gangsa, ketika pertandingan tersebut masih menyertakan pemain senior sehingga 1999.

Menurut kenyataan media SNOC pada 6 Ogos:

“Kelayakan beberapa atlet dan pasukan masih dipertimbangkan kerana mereka dalam proses memenuhi penanda aras yang diwajibkan... Sebahagian Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) masih menantikan keputusan perlawanan yang baru sahaja terlepas tarikh tutup.

“SNOC menegaskan komitmen untuk menghantar atlet yang memenuhi penanda aras prestasi, dan menampilkan nilai serta tingkah laku yang mulia... Mewakili negara merupakan tanggungjawab yang memerlukan kecemerlangan dalam sukan serta perwatakan teladan.”

Menurut laporan oleh ST, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) akan mencabar keputusan SNOC itu.

Bagi mengukuhkan rayuan mereka, FAS akan mempersiapkan pasukan bawah 22 tahun melalui perlawanan persahabatan dengan pasukan bawah 22 tahun Filipina pada 8 Ogos, serta pasukan Malaysia pada 13 Ogos di Kuala Lumpur.

Kesemua NSA boleh mengemukakan rayuan bagi atlet mereka yang tidak dipilih dalam pusingan pemilihan pertama sehingga 15 Ogos 2025.

Semasa ditemui ketika acara media FAS 2025 di Shangri-La Hotel, Presiden FAS, Forrest Li, berkata:

“Buat sementara ini, penyingkiran pasukan bola sepak Singapura dalam sukan SEA ini bukan muktamad, ini hanya pusingan pemilihan yang pertama.”

Beliau menambah bahawa temasya sukan SEA 2025 merupakan peluang penting untuk pemain bola sepak muda mempertingkatkan kemahiran dengan menentang pasukan yang lebih berbakat dan berpengalaman.

“Kami akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan dan jawatankuasa pemilihan atlet... saya masih memendam harapan serta yakin kami ada peluang baik untuk menghantar pasukan bola sepak untuk mewakili Singapura,” kata Li.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg