Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Atlet, peminat dan pegawai anggap Kejohanan Akuatik satu kejayaan

Aug 5, 2025 | 3:41 PM
Kejohanan Akuatik Dunia
Bintang renang Perancis, Leon Marchand, antara atlet yang mencuri tumpuan sepanjang Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura. - Foto ST

Meskipun bermula dengan beberapa cabaran, Kejohanan Akuatik Dunia (WCH), yang berlangsung selama 24 hari di Singapura akhirnya dianggap berjaya oleh majoriti atlet, pegawai dan peminat sukan akuatik.

Acara berprestij itu, yang pertama kali diadakan di Asia Tenggara, pada awalnya menyaksikan sambutan hambar bagi acara polo air dan renang artistik, selain penangguhan satu hari bagi acara renang terbuka disebabkan oleh tahap bakteria, Escherichia coli, yang tinggi ditemui di perairan Sentosa, lapor The Straits Times

Namun, penganjuran kejohanan itu pulih dengan baik apabila ia berlangsung dari 11 Julai hingga 3 Ogos, dengan lebih 140,000 penonton hadir bagi menyaksikan hampir 2,500 atlet dari 206 negara dan wilayah bertanding di tiga lokasi: Arena WCH yang dibina khas dengan kapasiti 4,800 tempat duduk, Pusat Akuatik OCBC dan Sentosa.

Asalnya dianugerahkan kepada Kazan, Russia, hak penganjuran kejohanan itu ditarik balik oleh badan induk World Aquatics, menyusuli pencerobohan negara tersebut ke atas Ukraine, sebelum dipindahkan ke Singapura pada 2023.

Pengerusi bersama jawatankuasa penganjur WCH Singapura 2025, Mark Chay, berkata:

“Setiap kejohanan sukan bertaraf antarabangsa pasti ada cabarannya. Tetapi saya berbangga melihat pasukan penganjur tempatan kita tangkas dan berdaya saing menangani setiap isu yang timbul.

“Ini memberi keyakinan kepada kita untuk menganjurkan lebih banyak acara antarabangsa pada masa akan datang, termasuk temasya Sukan SEA 2029 yang akan diadakan di Singapura. Banyak yang telah kami pelajari.”

Sesi akhir acara seperti terjun cantik, renang, polo air dan renang artistik mendapat sambutan hangat dengan tiket habis dijual.

Di Arena WCH, para penonton turut disajikan dengan aksi renang bertaraf dunia, termasuk tiga rekod dunia bagi acara 200m individu rampaian lelaki, 4x100m gaya bebas campuran dan 4x100m rampaian wanita, serta 12 rekod kejohanan.

Ramai atlet turut memuji kecekapan Singapura serta kemudahan yang disediakan.

Juara renang jarak sederhana dari Romania, David Popovici, yang menjuarai acara 100m dan 200m gaya bebas, berkata:

“Apa yang paling saya suka adalah kehijauan di serata tempat. Sekitaran semula jadi masih dipelihara dan itu sesuatu yang istimewa.

“Semua orang di sini sangat sopan dan beradab. Saya rasa banyak negara lain boleh belajar dari Singapura.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg