Meskipun tidak berjaya ke peringkat akhir, pasukan badminton lelaki dijamin pingat gangsa di Sukan SEA 2025.
Skuad lelaki negara mengesahkan kedudukan di podium selepas tewas di peringkat separuh akhir acara berpasukan lelaki pada 8 Disember, sekali gus menyumbang pingat kedua Singapura dalam kempen temasya sukan tersebut.
Skuad badminton wanita turut dijamin gangsa pada hari sama.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Universiti Thammasat, Pathum Thani, pasukan Singapura tewas 1-3 kepada juara bertahan acara berpasukan Sukan SEA 2023, Indonesia.
Walaupun gagal melangkah ke final, aturan pertandingan yang tidak mempertandingkan penentuan tempat ketiga memastikan Singapura tetap membawa pulang pingat gangsa.
Pemain negara, Loh Kean Yew, muncul penyumbang satu-satunya mata kemenangan Singapura selepas menewaskan Alwi Farhan dalam pertarungan sengit tiga set.
Loh, yang berada di ranking ke-10 dunia, menang set pertama 21-15 sebelum ditewaskan 14-21 pada set kedua.
Namun, beliau kembali menguasai permainan dalam set penentuan dengan kemenangan besar 21-8.
“Saya gembira dapat menyumbang mata pertama untuk pasukan,” kata Loh kepada Berita Harian selepas perlawanan itu.
Beliau turut menyifatkan sorakan penyokong Singapura sebagai pembakar semangatnya sepanjang perlawanan.
Bagaimanapun, gandingan Eng Keat Wesley Koh dan Junsuke Kubo gagal menggandakan kelebihan Singapura setelah tewas di tangan gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama dan Moh Reza Pahlevi Isfahani, dengan keputusan 18-21, 21-18 dan 10-21.
Kedudukan kembali terikat 1-1 selepas pertarungan kedua itu.
Singapura kemudian ketinggalan apabila Jia Heng Jason Teh tewas kepada Moh Zaki Ubaidillah 2-21 dan 13-21.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) selepas perlawanan, Teh berkata: “Secara mental saya telah mempersiapkan diri untuk perlawanan yang sukar. Saya betul-betul tidak pasti apa yang berlaku.”
“Perlawanan ini merupakan pengajaran dan amaran yang besar bagi saya untuk bersiap sedia bagi acara individu nanti,”
Harapan untuk mengheret perlawanan ke aksi penentuan turut tidak kesampaian apabila pasangan Donovan Willard Wee dan Jia How Howin Wong tewas 12-21 dan 19-21 kepada Leo Rolly Carnando dan Bagas Maulana.
Ketua jurulatih acara individu, Kim Ji-hyun, akur akan kekecewaan pasukan kerana gagal mara ke final.
“Sebenarnya, kami tidak begitu puas hati kerana kami ingin mara ke pusingan terakhir. Apa yang kita harapkan tidak dicapai. Namun, kami akan memberi tumpuan kepada mendorong pemain kami untuk bersiap-sedia beraksi dalam acara individu.”
Mengulas prestasi Teh, Kim berkata ia mungkin “bukan hari terbaik” buat pemain itu, namun menegaskan semangat juangnya tetap dipuji.
Acara individu badminton dijadual bermula pada 11 Disember.
Sementara itu, jurulatih Anup Sridhar berkata pemain-pemain muda dalam skuad turut memperlihatkan perkembangan positif sepanjang kempen ini.
Bagi Kubo dan Koh pula, prestasi yang memberangsangkan menentang pasangan ranking ke-8 dunia merupakan pembakar semangat untuk pertandingan individu nanti.
Kubo berkata: “Lawan kami memang sangat berpengalaman, tetapi kami berjaya memaksa mereka beraksi pada tahap terbaik mereka. Kini kami sedar bahawa kami juga mampu bersaing di tahap yang tinggi seperti mereka.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg