Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

9 pingat emas buat S’pura pada hari kelapan Sukan SEA

Dec 17, 2025 | 6:30 PM
Sukan SEA, SEA Games, archery, memanah
Atlet memanah Singapura, Li Yue Long (kiri) dan Tabitha Yeo, meraikan kejayaan selepas memenangi perlawanan akhir acara recurve beregu campuran di Sukan SEA yang berlangsung di Penguasa Sukan Thailand, Bangkok, pada 17 Disember. - Foto ST

Satu sejarah tercipta apabila gandingan Li Yue Long dan Tabitha Yeo muncul juara acara memanah recurve beregu campuran di Sukan SEA 2025.

Mereka sekali gus menjadi pasangan pertama Singapura meraih emas dalam acara tersebut, selepas menewaskan Malaysia 6-2 di Penguasa Sukan Thailand pada 17 Disember.

Sehari sebelumnya, mereka menewaskan Filipina 6-2 di peringkat suku akhir sebelum mengatasi Indonesia dengan keputusan sama di separuh akhir untuk mara ke perlawanan akhir.

Satu-satunya pingat lain Singapura dalam acara ini sebelum ini diraih pada 2013 apabila Chan Jing Ru dan Tan Si Lie memenangi perak bagi acara recurve beregu campuran di Myanmar.

Sementara itu di arena boling, selepas meraih pingat emas dalam acara perseorangan dan juga beregu Sukan SEA 2025, atlet boling negara, Charmaine Chang, kini mengintai pula pingat emas ketiga dalam acara berpasukan.

Namun bukanlah mudah untuk mencapainya dengan beliau berkata setiap acara mempunyai cabarannya tersendiri dan menekankan kepentingan bekerjasama dengan rakan sepasukan untuk acara terakhir itu.

Chang dan Arianne Tay memenangi pingat emas kedua pasukan boling negara selepas menumpaskan pasangan Indonesia dalam acara beregu pada 17 Disember.

Menurut Chang, dalam acara berpasukan, lebih ramai pemain akan menggunakan lorong boling, menyebabkan keadaan lorong berubah dengan lebih pantas.

Justeru, kerjasama kukuh dalam kalangan pemain menjadi amat penting bagi memastikan pasukan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

“Dalam acara beregu, saya cuba bawa tahap tenaga yang sama seperti dalam acara perseorangan, namun persaingan mata dalam acara itu jauh lebih sengit... ini kerana setiap acara berbeza.

“Menjelang acara berpasukan, kami telah mengumpul maklumat mengenai pasukan lain melalui acara perseorangan dan beregu, jadi kini kami hanya perlu bermain dengan terbaik,” katanya yang akan beraksi dalam acara berpasukan dari 18 hingga 19 Disember.

Beliau berkata demikian kepada Berita Harian (BH) di Blu-O Rhythm dan Bowl, Major Cineplex Ratchayothin, Bangkok, pada 17 Disember, selepas beliau dan Tay menumpaskan Alisha Nabila Larasati dan Putty Insavilla Armein dari Indonesia, 379-353, di pusingan akhir acara beregu wanita.

Satu lagi pasangan wanita – Nur Irdina Hazly dan Colleen Pee – pula terbantut di suku akhir selepas tewas kepada satu lagi pasangan Indonesia, 379-425.

Charmaine Chang, kini mengintai pingat emas ketiganya di Sukan SEA 2025 melalui acara berpasukan.
Charmaine Chang, kini mengintai pingat emas ketiganya di Sukan SEA 2025 melalui acara berpasukan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Menurut Tay, ia bukanlah satu kejohanan yang mudah terutama sekali apabila mereka perlu berdepan dengan jaguh boling Malaysia – Natasha Mohamed Roslan dan Sin Li Jane – di suku akhir.

“Kami hanya mahu berikan yang terbaik dan memberikan segalanya di lorong boling. Saya percaya pemikiran (mindset) inilah yang beri kami peluang untuk bawa pulang pingat emas,” ujarnya.

Kini, tumpuan pasukan boling negara ialah pada acara berpasukan lelaki dan wanita pada 18 hingga 19 Disember dengan mereka menyasarkan membawa pulang satu pingat.

Jurulatih wanita negara, Faizal Chew Adam, menegaskan sasaran mereka tetap sama bagi setiap acara iaitu bermain ikut perancangan dan tumpukan pada balingan.

“Untuk mendapatkan strike bukan sesuatu yang kami boleh kawal sepenuhnya, namun kami sentiasa mengingatkan pemain setiap hari agar beri tumpuan sepenuhnya kepada setiap balingan,” katanya.

Jurulatih lelaki negara, Helmi Chew Adam, turut bersetuju dan berkata:

“Dalam boling, apa sahaja boleh berlaku, namun dari segi persiapan, kami telah membuat persediaan dengan baik.

“Sudah tentu kami akan tampil dengan keyakinan tambahan menjelang acara berpasukan.”

Kedua-dua Arianne Tay (kanan) dan Charmaine Chang, akan beraksi bersama dalam acara berpasukan boling dari 18 hingga 19 Disember.
Kedua-dua Arianne Tay (kanan) dan Charmaine Chang, akan beraksi bersama dalam acara berpasukan boling dari 18 hingga 19 Disember. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kemenangan itu sekali gus menambah jumlah pingat yang sudah diraih pasukan boling negara di temasya kali ini – satu emas dan dua gangsa.

Di Sukan SEA 2022 di Hanoi, kali terakhir boling dipertandingkan di acara dwitahunan itu, Singapura membawa pulang tujuh pingat – tiga emas, satu perak, dan tiga gangsa.

Selain itu, Avvir Tham juga mencipta sejarah dengan menjadi lelaki Singapura pertama memenangi pingat emas dalam acara terjun cantik Sukan SEA dalam tempoh 60 tahun.

Ini selepas beliau merangkul emas dalam acara papan anjal satu meter lelaki dengan catatan peribadi terbaik, 370.35 mata.

Atlet berusia 21 tahun itu merupakan atlet terjun cantik pertama negara mencapai kejayaan tersebut sejak Hui Peng Seng memenangi emas acara papan anjal lelaki pada 1965.

Sebelum ini, Tham pernah memenangi pingat perak dalam acara sama pada edisi 2022 di Vietnam.

Rakan sepasukannya, Max Lee yang berusia 18 tahun, turut mencatat prestasi terbaik peribadi dengan 319.35 mata untuk menduduki tempat keempat daripada sembilan peserta di Assumption University.

Atlet terjun cantik negara, Avvir Tham.
Atlet terjun cantik negara, Avvir Tham. - Foto SNOC

Trio, Adele Tan, Martina Amos dan Jasmine Ser, turut mencatat sejarah baru dengan membawa pulang pingat emas pertama Singapura dalam acara menembak senapang angin 50m tiga posisi berpasukan wanita, selepas mencatat rekod temasya 1,717 mata.

Pasukan negara meraih emas menerusi mata penentuan apabila mereka mencatat lebih banyak tembakan tepat ke tengah sasaran, 65 berbanding 57 selepas mereka terikat mata dengan Malaysia.

Trio penembak negara (dari kiri) Martina Amos, Jasmine Ser dan Adele Tan bergambar bersama pingat mereka pada 17 Disember selepas merangkul pingat emas acara berpasukan 50m Senapang Angin, manakala Tan turut memenangi pingat gangsa dalam acara 50m Senapang Wanita.
Trio penembak negara (dari kiri) Martina Amos, Jasmine Ser dan Adele Tan bergambar bersama pingat mereka pada 17 Disember selepas merangkul pingat emas acara berpasukan 50m Senapang Angin, manakala Tan turut memenangi pingat gangsa dalam acara 50m Senapang Wanita. - Foto ZAOBAO

Koen Pang dan Zeng Jian, turut muncul juara acara beregu campuran tenis meja, sekali gus membantu Singapura merampas kembali gelaran yang kali terakhir dimenangi pada edisi 2022 di Vietnam.

Beraksi di Pusat Beli Belah Central Westgate, pasangan ranking dunia ke-56 itu menewaskan gandingan Malaysia, Wong Qi Shen dan Tee Ai Xin, 11-6, 11-7, 11-2 untuk meraih kemenangan.

Sejurus selepas itu, pasangan beregu lelaki, Pang dan Izaac Quek, yang kini berada di kedudukan ke-8 dunia, mempertahankan kejuaraan mereka dengan kemenangan 11-6, 11-6, 11-6 ke atas Javen Choong dan Wong dari Malaysia, yang berada di kedudukan ke-65.

Selepas permulaan yang baik bagi atlet lawan pedang Singapura pada hari pertama acara (16 Disember), Amita Berthier meneruskan rentak dengan memenangi acara foil wanita.

Sementara itu, Dhani Andika Razali, menghadiahkan satu-satunya pingat emas pasukan silat negara selepas menundukkan lawan dari Indonesia, Khoirudin Mustakim, dengan keputusan 41-21 dalam pertarungan kelas bawah 45kg.

Atlet luncur lelayang negara, Maximilian Maeder, juga menerima emas beliau dalam acara luncur lelayang lelaki Sukan SEA pada 17 Disember, selepas memenangi acara itu sehari sebelum pertandingan berakhir kerana jurang mata yang tidak mampu dikejar pencabar terdekat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg