Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sukan SEA: Quek tamatkan kemarau emas S’pura dalam acara lompat pagar

Perenang negara Gan Ching Hwee turut ukir sejarah dengan tiga pingat emas berturut-turut pada 2022, 2023, 2025
Dec 15, 2025 | 10:31 PM
Pelari Singapura, Calvin Quek, mencatat sejarah dengan memenangi pingat emas pertama Singapura di perlumbaan 400 meter lompat pagar sejak Sukan SEA 1965.
Pelari Singapura, Calvin Quek, mencatat sejarah dengan memenangi pingat emas pertama Singapura di perlumbaan 400 meter lompat pagar sejak Sukan SEA 1965. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Atlet olahraga Singapura pamer pencapaian hebat pada hari kelima kempen mereka di Sukan SEA 2025.

Pelari lompat pagar negara, Calvin Quek, membuka tirai kejayaan apabila meraih pingat emas acara 400 meter lompat pagar pada 15 Disember.

Catatan masa 50.27 saat itu malah menamatkan kemarau pingat emas negara dalam acara tersebut sejak kali terakhir dimenangi M Gunasena pada Sukan SEA 1965.

Kejayaan Quek disusuli satu lagi pencapaian bermakna apabila Andrew George Medina meraih pingat gangsa dalam acara lompat jauh lelaki.

Pingat itu merupakan yang pertama buat Singapura dalam acara tersebut dalam tempoh lebih tiga dekad, sejak edisi 1989, sekali gus menyerlahkan kebangkitan pasukan olahraga negara pada temasya kali ini dan menambah pungutan emas Singapura kepada tiga.

Prestasi itu boleh mengatasi persembahan mereka di Sukan SEA 2023, di mana mereka memenangi 10 pingat – tiga emas, dua perak, dan lima gangsa.

Jumlah pingat emas tertinggi yang pernah diraih oleh atlet olahraga Singapura dicatat pada Sukan SEA 1973, dengan enam pingat emas.

Di arena akuatik pula, meskipun atlet renang negara tidak memulakan kempen mereka sebaik edisi Sukan SEA lalu, Gan Ching Hwee tetap melakar sejarah apabila memenangi acara gaya bebas 200m, 400m dan 800m di tiga edisi Sukan SEA berturut-turut - 2022, 2023 dan 2025.

Dengan sumbangan pingat daripada olahraga, peningkatan prestasi dalam sukan pelayaran, serta kejayaan berterusan dalam renang, Singapura kini menyasarkan kutipan pingat emas terbesar di luar negara, dengan sasaran sekitar 60 emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand.

Dalam perlumbaan yang berlangsung di Stadium Nasional Suphachalasai, Bangkok, Quek mengatasi duo Vietnam, Nguyen Duc Son (50.80 saat) dan Le Quoc Huy (50.91 saat).

Bercakap kepada wartawan selepas lariannya, Quek, berkata:

“Ini sesuatu yang telah saya usahakan sejak 2023. Tahun 2024 merupakan tempoh yang sukar buat saya.

“Tekanan untuk memenangi pingat emas ini sangat besar selepas saya mencatat rekod nasional. Pencapaian ini benar-benar melegakan saya selepas setahun bekerja keras.”

Quek sebelum ini mematahkan rekod nasional di acara tersebut dengan catatan masa 49.75 saat di Jepun pada Ogos lalu.

Sementara itu, pasukan larian berganti 4x100 meter lelaki dan wanita Singapura masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Kuartet wanita - Shanti Pereira, Elizabeth-Ann Tan, Laavinia Jaiganth dan Kerstin Ong - mencatat masa 44.41 saat, di belakang Thailand (43.88s), Vietnam (43.91s) dan Filipina (43.97s).

Walaupun terlepas podium, mereka mencipta rekod baru negara, memperbaiki catatan 44.66 saat yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Asia pada Mei lalu.

Atlet pecut terakhir negara untuk acara larian berganti 4x100m wanita, Shanti Pereira (kiri), gagal untuk mengejar lawannya dan terpaksa berpuas hati di tempat keempat.
Atlet pecut terakhir negara untuk acara larian berganti 4x100m wanita, Shanti Pereira (kiri), gagal untuk mengejar lawannya dan terpaksa berpuas hati di tempat keempat. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sementara itu, pasukan larian berganti 4x100 meter lelaki Singapura turut berkongsi nasib sama apabila menamatkan perlumbaan dengan catatan 39.68 saat.

Kuartet negara yang terdiri daripada Marc Brian Louis, Daryl Tan, Xander Ho dan Tate Tan gagal menandingi pecutan tiga pasukan teratas- Thailand yang muncul juara dengan 38.28 saat, diikuti Malaysia (39.03s) dan Indonesia (39.51s).

Setakat ini, pasukan olahraga Singapura sudah memenangi tiga pingat emas – dua disumbangkan oleh ratu pecut negara, Shanti Pereira, di acara 100m dan 200m – tiga perak, dan dua gangsa.

Atlet acara larian berganti 4x100m lelaki, Marc Brian Louis (kiri) dan  Xander Ho tidak dapat menyembunyikan kekecewaan selepas gagal mendapat tiga teratas dalam acara itu.
Atlet acara larian berganti 4x100m lelaki, Marc Brian Louis (kiri) dan Xander Ho tidak dapat menyembunyikan kekecewaan selepas gagal mendapat tiga teratas dalam acara itu. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Prestasi itu boleh mengatasi persembahan mereka di Sukan SEA 2023, di mana mereka memenangi 10 pingat – tiga emas, dua perak, dan lima gangsa.

Acara olahraga berbaki satu hari lagi pada 16 Disember sebelum ia menutup tirainya.

Sementara itu, di Pusat Akuatik Huamark, Hwee, memenangi acara 800 meter dengan catatan rekod Sukan SEA (8 minit 33.13 saat) untuk melengkapkan hatrik, satu pencapaian yang turut diraihnya pada 2022 dan 2023.

Atlet Vietnam, Vo Thi My Tien (8 minit 49.02 saat), meraih perak, manakala Kamonchanok Kwanmuang dari Thailand (8 minit 52.17 saat) membawa pulang gangsa.

Nurul Huda Abdullah dari Malaysia merupakan satu-satunya atlet lain yang pernah meraih kemenangan dalam acara sama pada tiga edisi berturut-turut Sukan SEA, selepas mencipta pencapaian tersebut dari 1985 hingga 1989.

Kejayaan Hwee hadir selepas Quah Ting Wen memenangi acara 50m kuak kupu-kupu buat kali pertama sejak 2019.

Beliau muncul juara dengan catatan rekod Sukan SEA (26.42 saat) mengatasi atlet Filipina, Miranda Renner (26.93 saat) di tempat kedua, manakala Jenjira Srisa-ard dari Thailand – yang menewaskan Ting Wen untuk memenangi acara ini pada 2022 dan 2023 – berada di belakangnya.

Satu rekod nasional turut diatasi apabila Chan Chun Ho, yang membuat penampilan sulungnya di temasya ini, memenangi acara 50m kuak dada lelaki dengan catatan masa 27.68 saat.

Quah Zheng Wen turut memenangi acara kuak lentang 200 meter lelaki dengan masa 2 minit 00.62 saat.

Singapura memenangi perlumbaan renang terakhir Sukan SEA ini – 4x100m medley wanita – apabila kuartet Julia Yeo, Letitia Sim, Quah Jing Wen dan Ting Wen menjuarai acara itu dengan rekod Sukan SEA, 4:05.79 minit, mengatasi Filipina (4 minit 09.33 saat) dan Maria Nedelko (4 minit 11.55 saat).

Ia merupakan emas kelima Singapura dalam renang pada 15 Disember – menambah jumlah pingat emas mereka kepada 19 daripada 38 acara.

Ia adalah kutipan emas terendah dalam empat edisi terakhir dan menyamai kutipan mereka pada 2017.

Di arena boling pula, atlet Singapura, Charmaine Chang, meraih pingat emas dalam acara perseorangan wanita pada 15 Disember.

Beraksi di Blu-O Rhythm dan Bowl Ratchayothin, Chang menewaskan Natasha Roslan dari Malaysia 234-191 pada perlawanan akhir.

Seorang lagi wakil Singapura, Colleen Pee, berkongsi pingat gangsa dengan Sharon Limansantoso dari Indonesia.

Atlet boling Singapura, Charmaine Chang  (kiri) meraih pingat emas dalam acara perseorangan wanita pada 15 Disember. Beliau bersama seorang lagi wakil Singapura, Colleen Pee, yang berkongsi pingat gangsa.
Atlet boling Singapura, Charmaine Chang (kiri) meraih pingat emas dalam acara perseorangan wanita pada 15 Disember. Beliau bersama seorang lagi wakil Singapura, Colleen Pee, yang berkongsi pingat gangsa. - Foto ST

Sehingga waktu cetak, Singapura telah memenangi 28 emas, 32 perak dan 40 gangsa.

Thailand pula menangi 284 pingat (142 emas, 87 perak, 55 gangsa), Indonesia 178 pingat (52 emas, 64 perak, 62 gangsa, Vietnam 150 pingat (39 emas, 43 perak, 68 gangsa).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg