Perenang Singapura Mikkel Lee muncul sebagai perenang terpantas Asean selepas menjuarai acara gaya bebas 50 meter lelaki dengan 21.92 saat di Pusat Akuatik Huamark, di Bangkok, Thailand, pada 11 Disember.
Beliau mengatasi rakan sepasukan, Teong Tzen Wei, dengan 22.42 saat; dan perenang Malaysia, Tong Yu Jing, dengan 22.48 saat.
Ini merupakan emas kedua Lee di Sukan SEA selepas memenangi acara gaya bebas 100 meter lelaki pada 10 Disember.
Selepas persembahan hambar pada hari pertama apabila mereka hanya meraih dua daripada enam acara, keputusan kali ini memberi suntikan semangat buat skuad renang negara yang ingin bangkit semula dengan lebih gagah.
Namun, terdapat kejutan awal apabila Quah Zheng Wen, terlepas gelaran dalam acara kuak lentang 50 meter lelaki, apabila beliau membawa pulang pingat perak dengan 25.43 saat, di belakang bintang muda Indonesia berusia 18 tahun, Jason Yusuf, yang menamatkan saingan dengan 25.36 saat.
Rakan sepasukan Yusuf, yang juga juara bertahan, Siman Sudartawa, perenang berusia 31 tahun yang beraksi pada Sukan SEA terakhirnya, melengkapkan kedudukan podium dengan 25.49 saat.
Satu lagi kejutan berlaku dalam acara kuak lentang 50 meter wanita apabila perenang Filipina-Kanada, Kayla Sanchez, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga walaupun mencatat rekod sukan dan rekod kebangsaan dengan 28.47 saat dalam saringan pagi.
Sebaliknya, perenang Indonesia, Masniari Wolf, berjaya mempertahankan kejuaraannya dengan catatan 28.80 saat, diikuti perenang Thailand, Saovanee Boonampha; manakala Sanchez berkongsi pingat perak selepas kededuanya mencatat 28.84 saat.
Perenang Singapura, Levenia Sim, 19 tahun, menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan 29.86 saat dalam final pertamanya pada penampilan sulung di Sukan SEA.
Perenang Singapura, Gan Ching Hwee, mencatat kemenangan dalam acara gaya bebas 200 meter wanita, dengan 2:00.02 minit untuk menewaskan Sanchez dengan 2:02.19 minit dan perenang Thailand, Maria Nedelko, dengan 2:02.71 minit.
Tidak lama kemudian, Letitia Sim pula menambah satu lagi pingat emas untuk Singapura selepas menjuarai acara medley individu 200 meter wanita dan mencatat rekod sukan dan rekod kebangsaan baru, dengan 2:13.42 minit.
Pasukan Singapura, Glen Lim, Ardi Zulhimi Mohamed Azman, Jonathan Tan dan Quah Zheng Wen, membawa pulang pingat gangsa dalam acara relay gaya bebas lelaki 4x200 meter dengan 7:21.13 minit.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg