Topik diikuti
Pergi ke BHkuSumber: Rodri benarkan Barcelona runding pemindahannya dari Man City
MADRID: Pemain tonggak bahagian tengah Sepanyol, Rodri, telah memberi kebenaran kepada Barcelona untuk memulakan rundingan dengan kelabnya ketika ini, Manchester City, bagi urusan pemindahan.
Demikian menurut sumber juara bertahan La Liga itu kepada AFP pada 6 Ogos.
“Hari ini, Barcelona berada pada kedudukan lebih kukuh untuk meneliti pemindahan ini berbanding semalam. Kami kini telah mendapat persetujuan pemain tersebut (Rodri) untuk membuka rundingan dengan Manchester City,” kata sumber berkenaan, sekali gus mengesahkan laporan media Sepanyol.
Langkah Barcelona itu berkemungkinan mengganggu rancangan musuh tradisi mereka, Real Madrid, yang sebelum ini dilaporkan turut berminat untuk menandatangani pemain berusia 30 tahun itu.
Ini berikutan hasrat Real untuk memperkukuh barisan tengah pasukan di bawah bimbingan pengurus baharu, Jose Mourinho.
Namun, ‘lampu hijau’ daripada Rodri bagi rundingan itu “tidak memberi sebarang jaminan” mengenai pemindahan ke Barcelona, tambah sumber kelab tersebut.
Media Catalan melaporkan bahawa pengurus Barcelona, Hansi Flick, cuba meyakinkan Rodri menerusi panggilan telefon.
Flick dilaporkan telah meminta pihak pengurusan kelab merekrut seorang pemain pertahanan atau pemain tengah berpengalaman.
Kekurangan utama Barcelona ketika ini terletak pada benteng pertahanan mereka yang agak rapuh, manakala kecederaan lutut serius menyebabkan kapten utama, Frenkie de Jong, dijangka terkeluar daripada barisan tengah skuad tersebut bagi tempoh beberapa bulan.
Rodri merangkul anugerah Bola Emas (Golden Ball) bagi pemain terbaik kejohanan selepas memimpin Sepanyol menjulang kejuaraan Piala Dunia pada 2026.
Pemenang Ballon d’Or 2024 itu telah meraih pelbagai trofi bersama City di bawah bimbingan ketua jurulatih, Pep Guardiola, termasuk empat gelaran Liga Perdana England (EPL) dan Liga Juara-Juara 2023, yang menyaksikan beliau menjaringkan gol kemenangan menentang Inter Milan dalam aksi final.
Namun begitu, City dilaporkan sedia melepaskan bekas pemain Atletico Madrid itu pada nilai sekitar 60 juta euro ($88 juta) memandangkan kontraknya berbaki hanya satu tahun.
Selepas mengalami siri kecederaan lutut sebelum ini, Rodri turut menjalani pembedahan kecil pada bahagian belakang pada lewat Julai, sekali gus menimbulkan keraguan mengenai tahap kecergasannya menjelang permulaan musim baharu. – AFP.
