Topik diikuti
Pergi ke BHkuSunderland: Daripada Liga Satu ke Liga Europa dalam 4 tahun
Sunderland: Daripada Liga Satu ke Liga Europa dalam 4 tahun
Di bawah bimbingan pengurus Regis Le Bris, The Black Cats jaya tamatkan musim EPL di tangga ketujuh
Sunderland: Daripada Liga Satu ke Liga Europa dalam 4 tahun
SUNDERLAND: Sunderland merupakan pasukan di divisyen ketiga, atau Liga Satu, ketika pemain skuad antarabangsa Ireland Utara, Trai Hume, menyertai kelab itu dengan nilai pemindahan £200,000 ($366,260) pada Januari 2022.
Memeterai kontrak selama empat tahun setengah pada waktu itu, Hume mendedahkan beliau diberi jaminan kelab berkenaan sedang “menyasarkan pencapaian lebih besar dan baik”.
Namun, tidak pernah terlintas sama sekali dalam fikirannya bahawa empat tahun setengah kemudian, beliau akan menjaringkan gol penting yang membantu kelab itu ke pentas Eropah.
Perkara itu dilakukan oleh bekas pemain pertahanan Linfield berkenaan pada 24 Mei, yang juga hari terakhir saingan Liga Perdana England (EPL) musim ini.
Skuad yang turut dikenali sebagai, ‘The Black Cats’, menterjemahkan misi memenangi perlawanan menentang Chelsea di Stadium of Light kepada realiti, sekali gus melengkapkan kepulangan mereka ke liga tertinggi dengan meraih slot ke Liga Europa musim depan.
Rembatan Hume yang menewaskan penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez, mencetuskan sorakan di Stadium of Light, sebelum kemuncak kegembiraan meletus sebaik wisel penamat ditiupkan, mengesahkan kepulangan semula kelab itu ke pentas Eropah selepas 53 tahun.
Kejayaan melangkah ke saingan Liga Kejuaraan pada musim pertama Hume bersama Sunderland disusuli dengan kenaikan pangkat ke Liga Perdana England (EPL) musim lalu, di mana kedua-dua slot tersebut diraih menerusi pusingan kalah mati.
“Tahun lalu (2025) penuh dengan emosi buat saya kerana memang impian (saya) untuk beraksi di Liga Perdana England,” kata Hume.
“Saya tidak sangka kami mampu melangkah sejauh ini dan layak ke Eropah, tetapi kami telah membuktikannya. Kami akan berusaha sebaik mungkin pada musim depan.”
Kebangkitan Sunderland daripada saingan divisyen ketiga bola sepak Inggeris ke EPL, dan kini ke Liga Europa dalam tempoh hanya empat tahun, adalah sesuatu yang amat menakjubkan.
Ketua jurulatih, Regis Le Bris, selepas kemenangan 2-1 ke atas Chelsea – hasil jaringan Hume dan gol sendiri pemain lawan Malo Gusto pada 24 Mei berkata:
“Ia sesuatu yang menakjubkan. Luar biasa. Stadium kini bergema dengan sorakan dan penyokong sememangnya layak menerima kejayaan ini.
“Semuanya memihak kepada kami hari ini, tetapi kami tetap perlu menyelesaikan tugas di padang. Kami hanya beri tumpuan kepada perlawanan sendiri – walaupun semasa rehat separuh masa.”
Namun, bagaimana Sunderland mampu melakukannya? Berikut sorotan perjalanan luar biasa mereka.
Pada 2022, Sunderland menewaskan Wycombe Wanderers 2-0 pada aksi final pusingan kalah mati Liga Satu di Stadium Wembley, sekali gus memulakan satu perjalanan luar biasa.
Namun, kelab tersebut mula bangkit selepas ketibaan Le Bris pada 2024 – iaitu selepas kelab berkenaan sekadar menamatkan saingan di kedudukan keenam dan ke-16 dalam kempen Liga Kejuaraan sebelumnya.
Pada musim pertama, pengurus kelahiran Perancis itu menerajui pasukan, Sunderland menamatkan saingan dengan perbezaan 24 mata di belakang Burnley dan Leeds yang meraih slot kelayakan ke EPL, selain hanya mampu menjaringkan 58 gol daripada 46 perlawanan.
Malah, Sunderland memerlukan jaringan kemenangan pada masa kecederaan untuk menewaskan Coventry City di peringkat separuh akhir perlawanan semula, sebelum turun sebagai pasukan bukan pilihan pada aksi final menentang Sheffield United.
Namun, The Black Cats, bangkit daripada ketinggalan di Wembley, dengan Tom Watson muncul wira menerusi satu lagi gol kemenangan pada masa kecederaan untuk mengesahkan kepulangan semula kelab tersebut ke pentas EPL buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun.
Setahun kemudian, Sunderland kini berdiri bangga dalam kalangan kelompok elit bola sepak England.
Tidak ramai yang meramalkan Sunderland mampu bertahan di liga tertinggi, apatah lagi untuk mempamerkan aksi luar biasa sebegitu.
Malah dalam dua kempen sebelum itu, kesemua tiga pasukan yang dinaikkan ke EPL sebelum ini tersingkir dan kembali ke saingan Liga Kejuaraan.
Namun, anak buah Le Bris berjaya mengubah trend tersebut, serta mampu memberi saingan sengit kepada pasukan gergasi yang jauh lebih berpengalaman.
“Ia adalah satu kejayaan bersama yang amat luar biasa,” kata Le Bris.
“Apa yang kami pamerkan musim lalu dan musim ini adalah semangat kebersamaan. Kami boleh memasang impian yang besar, tetapi kami wajib bekerja keras. Penyokong amat penting – mereka adalah tunjang utama kelab ini.”
Sunderland menamatkan saingan di tangga ketujuh dengan mengumpul 54 mata – hasil 14 kemenangan, 12 keputusan seri dan 12 kekalahan.
Jumlah mata yang dipungut itu adalah yang tertinggi direkodkan oleh sebuah pasukan yang baru dinaikkan ke EPL sejak pencapaian Leeds United pada musim 2020-21 (59 mata); manakala kedudukan ketujuh tersebut menyamai pencapaian terbaik Wolves pada musim 2018-19 (tangga ketujuh).
Mereka juga menjadi pasukan ke-10 yang baru dinaikkan liga dalam sejarah EPL untuk layak ke pentas Eropah, dan merupakan kelab kelima yang berjaya melakukannya menerusi kedudukan liga selepas Newcastle (1993-94), Nottingham Forest (1994-95), Ipswich Town (2000-01) dan Wolves (2018-19).
Kemenangan ke atas Chelsea pada hari terakhir liga itu sekali gus melengkapkan kemenangan berganda ke atas skuad The Blues musim ini.
Bukan itu sahaja, Sunderland turut melakar beberapa keputusan mengagumkan lain termasuk mencatat keputusan seri dengan juara liga, Arsenal, serta naib juara, Manchester City dan Manchester United.
“Stadium of Light benar-benar menjadi kubu kuat, suasananya cukup luar biasa, malah jumlah mata yang berjaya dikutip di padang sendiri amat menakjubkan,” kata bekas penyerang England, Ellen White. – Agensi berita.
