ARLINGTON (Texas): Sepanyol mempamerkan aksi penguasaan bola yang cukup mantap untuk mengesahkan tempat ke final Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah pasukan tersebut.

Kemenangan hebat ke atas Perancis pada 14 Julai itu turut memeranjatkan peminat bola seluruh dunia.

Pasukan Perancis, yang turut dikenali sebagai Les Bleus, tiba ke aksi separuh akhir yang dinanti-nantikan di Stadium Dallas, Arlington, Texas, selaku pasukan pilihan selepas melalui kempen kejohanan yang gah.

Barisan serangan gandingan Kylian Mbappe, Ousmane Dembele dan Michael Olise cukup menggerunkan pasukan lawan.

Namun, di kala ramai pihak mempersoalkan bagaimana Perancis boleh ditewaskan, Sepanyol membuktikan keupayaan mereka. 

Kejayaan mengalahkan Perancis 2-0 mengingatkan orang ramai mengapa mereka bergelar juara Eropah pada 2024, selain mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 37 perlawanan berturut-turut untuk menyamai rekod sebelum ini.

Pasukan kendalian pengurus, Luis de la Fuente, boleh dikatakan kurang menyerlah pada Piala Dunia kali ini.

Mereka gagal menewaskan Cape Verde dalam aksi pembukaan, manakala bintang remaja, Lamine Yamal, setakat ini hanya menjaringkan satu gol.

Namun, mereka kelihatan telah mencapai prestasi terbaik pada waktu tepat dan, selepas merekodkan perlawanan tanpa bolos dalam enam daripada tujuh aksi, Sepanyol dijangka menjadi pasukan pilihan untuk aksi final Piala Dunia pada 19 Julai menentang sama ada Argentina atau England.

Sementara itu, Perancis perlu membuat persediaan untuk aksi penentuan tempat ketiga selepas dikecewakan pasukan Sepanyol, yang turut dikenali sebagai La Roja.

“Kita telah memberikan begitu banyak pujian kepada Perancis sepanjang kejohanan ini, tetapi mereka disingkirkan dengan mudah oleh permainan lancar Sepanyol.

“Secara keseluruhannya, Sepanyol mengatasi pasukan Perancis ini dari segi kesungguhan dan corak permainan,” kata bekas juara Liga Perdana England (EPL), Chris Sutton.

Seorang lagi pemenang EPL, Roy Keane, berkata:

“Perancis tidak bermain sebagai satu pasukan. (Mereka mempunyai) pemain hebat tetapi tidak bermain sebagai sebuah pasukan.

“Sepanyol sangat cemerlang – satu persembahan yang amat menyeronokkan untuk ditonton.”

Pasukan yang meraih gelaran juara dunia di bawah kendalian Vicente del Bosque pada 2010, sudah terbiasa dipimpin oleh pengurus berprofil tinggi.

Apabila De la Fuente dilantik sebagai pengurus Sepanyol pada Disember 2022, pelantikannya dipersoalkan sesetengah pihak memandangkan beliau sebelum itu hanya mengendalikan skuad kebangsaan bawah 19, bawah 21 dan bawah 23 tahun.

Namun, ketua jurulatih berusia 65 tahun itu membuktikan keupayaannya selepas memimpin Sepanyol menjuarai Liga Negara-Negara Uefa pada 2023 dan menjulang piala Euro 2024.

Kini, beliau membimbing pasukan itu ke pentas final Piala Dunia.

Sekiranya England menewaskan Argentina pada 15 Julai, pertemuan menentang Sepanyol dalam aksi final Euro 2024 bakal berulang kembali.

Kempen Piala Dunia 2026 Sepanyol bermula hambar selepas seri 0-0 menentang pasukan ‘pendatang baharu’, Cape Verde.

Mereka terpaksa menanti gol kemenangan pada minit ke-91 untuk menewaskan Portugal 1-0 dalam pusingan 16 terakhir, sebelum sekali lagi memerlukan gol kemenangan pada minit ke-88 untuk menewaskan Belgium 2-1 di peringkat suku akhir.

Namun, mereka tidak menunggu sehingga saat-saat akhir ketika berdepan Perancis apabila mendahului 2-0 dalam tempoh sejam perlawanan hasil sepakan penalti Mikel Oyarzabal dan jaringan hebat Pedro Porro.

Pakar bola sepak Sepanyol, Guillem Balague, berkata: 

“Apa yang kita saksikan adalah satu persembahan bersama yang sangat hebat. Mereka mengawal segala-galanya – ia sepatutnya diajar di semua akademi bola sepak.”

De la Fuente dalam sidang media selepas perlawanan, berkata pasukannya layak melangkah ke final atas “usaha, bakat, pengorbanan, serta usaha untuk menjadi versi terbaik diri sendiri”.

“Kami telah mengembalikan semula semangat 2010,” katanya.

“Semangat berpasukan mereka jelas terserlah apabila pemain yang tidak diturunkan sanggup menjalani latihan selepas perlawanan tamat.

“Ini adalah satu proses dan segalanya telah dirancang dengan teliti agar kami dapat mencapai tahap prestasi terbaik pada saat ini.” – Agensi berita.