BG Tampines Rovers dan Pohang Steelers ternyata tidak akan berpuas hati dengan keputusan seri apabila kededua pasukan meletakkan matlamat untuk merebut kesemua tiga mata dan menyasarkan kedudukan teratas Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Kededuanya telah meraih mata maksimum dalam dua perlawanan pertama dan kini mahu mengekalkan momentum dalam pertengahan saingan peringkat kumpulan.
Ketua Jurulatih Pohang, Park Tae-ha, menegaskan bahawa keputusan seri atau kalah tidak akan diterima.
Dengan pengalaman bersaing di peringkat ACL Elite (satu tahap di atas ACL2) musim lalu, timbul harapan tinggi melihat pasukannya menamatkan saingan sebagai juara kumpulan.
Mesej beliau ringkas – Pohang datang untuk menakluki kumpulan itu, dan itu bermakna mereka perlu menewaskan Tampines di Stadium Bishan untuk mendapatkan kelebihan penting dalam misi tersebut.
“Matlamat kami adalah jelas, kami mahukan tiga mata,” kata jurulatih berusia 59 tahun itu semasa sidang media praperlawanan ACL2 di Hotel Grand Mecure Roxy pada 22 Oktober.
Lebih daripada sekadar maruah dipertaruhkan, juara kumpulan membawa kelebihan taktikal kerana pasukan di tangga teratas akan menentang naib juara kumpulan lain dalam pusingan seterusnya.
Namun, Tampines juga berazam tidak akan menyerah dengan mudah.
Mereka juga bertekad menduduki persada kumpulan, dan bersemangat untuk membuktikan kemampuan bukan sahaja menyaingi, malah menewaskan pencabar serantau yang gagah itu.
Park peka dengan cabaran yang akan ditampilkan Tampines.
Jurulatih kelab yang beraksi dalam Liga K itu turut memberi perhatian terhadap kekuatan Tampines, terutama gaya permainan hantaran pendek yang kemas serta kepantasan pemain Jepun dalam pasukan kendalian bekas pemain nasional, Noh Rahman.
“Kami tahu mereka ada pemain Jepun yang berbakat dan pantas di padang, jadi kami perlu berhati-hati,” jelasnya.
Namun, pemain tengah utama Pohang, Kim Jong-Woo, berkata persiapan pasukan tidak bergantung pada siapa lawan mereka.
“Siapa pun lawan kami, kami akan tetap buat persiapan yang sama. Fokus kami adalah mengawal permainan dan tidak beri ruang kepada pemain lawan,” kata Kim, yang dijangka memikul peranan penting mengawal rentak permainan di tengah padang.
Memang benar pemain Jepun yang menyarungi jersi Tampines seperti Takeshi Yoshimoto, Shuya Yamashita, Seiga Sumi, Hide Higashikawa dan Koya Kazama semuanya merupakan pemain penting.
Namun, kekuatan Tampines tidak terletak kepada pemain-pemain ini sahaja.
Antara pemain yang dijangka memainkan peranan penting adalah penyerang utama mereka, Trent Buhagiar.
Pemain dari Malta itu juga menantikan peluang untuk mengekalkan rentak jaringan beliau selepas menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan pertama ACL2 – menentang Kaya FC dan BG Pathum United.
“Persaingan dalam skuad agak sengit. Pemain Jepun kami memang berbakat, tapi semua pemain dalam pasukan ini sedang bersaing secara sihat untuk dapat tempat dalam kesebelasan utama,” kata Noh.
Noh juga berkata mereka telah menganalisis cara permainan Pohang dan mengenali pasti beberapa pemain berbahaya yang perlu ditangani.
Selepas kemenangan 2-1 ke atas BG Pathum pada 2 Oktober, beliau menguji semangat pemainnya dengan bertanya “adakah kamu semua sudah puas hati”?
Jawapan mereka? Tentu sekali tidak. Dan itu, menurut Noh, menunjukkan mentaliti yang diperlukan untuk bersaing di tahap yang diinginkan.
Noh menyambut baik cabaran menentang kelab berpengalaman seperti Pohang dan menganggap perlawanan seperti itu penting untuk perkembangan pasukannya.
Mengulas semangat pasukan menjelang perlawanan penting itu, pemain tengah Jacob Mahler, berkata:
“Kami sedar ia bukan perlawanan yang mudah. Tapi kami benar-benar ingin berjaya dan kami percaya dengan kemampuan kami.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg