Topik diikuti
Pergi ke BHkuTampines Rovers 4 - 1 Young Lions
Tampines Rovers 4 - 1 Young Lions
Walaupun Young Lions berjuang gigih untuk memburu kemenangan pertama mereka musim ini, Tampines Rovers terbukti terlalu kuat selepas menundukkan mereka 3-1 di Stadium Our Tampines Hub pada 18 Oktober.
Tampines bermula garang dan hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh apabila sepakan percuma Koya Kazama sekadar terkena palang gol.
Pada minit ke-18, satu gabungan menarik Young Lions antara Hisatoshi Nishido dengan Andy Reefqy menyaksikan Reefqy membuat hantaran lintang yang menemui Garv Sahoo, namun penyerang itu gagal menjaringkan peluang tersebut.
Walaupun Tampines terus kawal perlawanan, Young Lions terima sinar harapan apabila semakan VAR pada minit ke-43 mendapati Jacob Mahler mengasari Kai Whitmore di dalam kotak penalti.
Pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Young Lions, yang disempurnakan Daisuke Sakai untuk meletakkan pasukannya di hadapan.
Jaringan itu memberikan Young Lions kelebihan 1-0 menjelang tamat separuh masa pertama.
Selepas rehat, Tampines terus memburu gol penyamaan bagi menghidupkan peluang mereka untuk bangkit, namun benteng pertahanan Young Lions kekal teguh mempertahankan kelebihan tersebut.
Namun, usaha Tampines akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-60 apabila sepakan sudut Koya menemui Faris Ramli, yang menanduk bola ke dalam gawang untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Gol itu menyuntik semangat kepada Tampines untuk terus mengasak dalam usaha mencari jaringan kemenangan.
Tekanan mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Takeshi Yoshimoto menghantar bola lintang yang menemui Hide Higashikawa, yang menyudahkan peluang tersebut untuk meletakkan Tampines di hadapan.
Pemain sayap Tampines, Kenshin Yamazaki menggandakan kelebihan pasukannya dengan aksi cemerlangnya menggelecek beberapa pemain pertahanan Young Lions sebelum melepaskan rembatan untuk menjaringkan gol ketiga Tampines pada minit ke-82.
Higashikawa melengkapkan kemenangan Tampines dengan jaringan keduanya dalam perlawanan melalui sepakan sudut Kazama sekali lagi, untuk menjadikan kedudukan 4-1 memihak Tampines.
Kemenangan tersebut membantu Tampines meneruskan permulaan sempurna mereka dalam SPL musim ini, selepas mencatat tiga kemenangan daripada tiga perlawanan liga pertama mereka.
Pasukan yang menduduki tangga kedua SPL (satu mata di belakang Geylang, dengan kelebihan satu perlawanan) itu akan berdepan juara bertahan SPL Lion City Sailors pada 21 Oktober.