Stadium Jalan Besar akan dibuka semula pada 3 Disember dan bakal diadakan di situ perlawanan Piala Shopee, setelah stadium itu ditutup pada Ogos 2025.
Dalam satu kenyataan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 1 Disember, ia menyatakan padang Stadium Jalan Besar telah diturapkan dengan rumput semula jadi yang baru.
“Padang di Stadium Jalan Besar kini mematuhi dasar Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mensyaratkan penggunaan permukaan semula jadi bagi kejohanan utama melibatkan pasukan kebangsaan dan kelab,” ujar FAS.
Stadium itu, yang mampu menampung 6,000 peminat dan pada asalnya mempunyai permukaan rumput, kali pertama dipasang dengan padang tiruan pada 2005.
Perubahan kepada padang semula jadi itu menyusuli keputusan AFC untuk melarang penggunaan padang tiruan sepenuhnya dalam pertandingan pasukan kebangsaan dan kelab utamanya.
FAS menambah bahawa Stadium Jalan Besar akan digunakan untuk menganjur semua perlawanan tuan rumah bagi kelab-kelab Liga Perdana Singapura (SPL) yang bersaing dalam Kejohanan Kelab Asean (ACC), atau lebih dikenali sebagai Piala Shopee, dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
BG Tampines Rovers dan Lion City Sailors merupakan kelab SPL yang beraksi dalam kedua-dua kejohanan Piala Shopee dan ACL2.
Rovers akan menjadi pasukan tempatan pertama untuk beraksi di Stadium Jalan Besar yang diturapkan semula, apabila menyambut pasukan gergasi Thailand, BG Pathum United, dalam perlawanan Piala Shopee bagi Kumpulan ‘A’ pada 3 Disember.
Dalam Piala Shopee, Tampines Rovers, dengan nama julukan The Stags, kini berada pada kedudukan ketiga daripada enam pasukan setelah meraih tiga mata dalam dua perlawanan.
The Stags berada di bawah BG Pathum dan pendahulu Kumpulan ‘A’, Selangor dari Malaysia, yang masing-masing mempunyai empat mata.
Sailors pula akan beraksi di padang Jalan Besar pada 17 Disember, dalam perlawanan Kumpulan ‘B’ Piala Shopee menentang lawan dari Myanmar, Shan United.
FAS berkata ia akan terus bekerjasama dengan kelab-kelab SPL, Majlis Sukan Singapura (SportSG) dan AFC bagi memastikan proses peralihan berjalan dengan lancar serta mengekalkan prestasi tempat pertandingan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg