BG Tampines Rovers kini mendahului Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia (ACL2) selepas membenam wakil Korean Selatan, Pohang Steelers 1-0 dalam aksi di Stadium Bishan pada 23 Oktober.
Anak didik Noh Rahman bermula garang, mendahului perlawanan tidak sampai seminit melalui jaringan Hide Higashikawa.
Beliau menerima hantaran jauh dengan kemas, menggelecek pemain pertahanan Pohang sebelum menghasilkan penyudah kemas untuk menjaringkan gol pertama perlawanan.
Gol pendahuluan itu menyemarakkan semangat pemain Pohang yang terus memburu gol penyamaan.
Peluang terbaik Pohang hadir pada minit ke-21, apabila hantaran lintang pemain sayap kanan Min Jun Kang yang sampai ke kaki penyerang mereka, An Jae-Jun yang tidak dikawal dalam kotak penalti Tampines.
Beliau berjaya melepaskan percubaannya yang hampir membolosi gawang lawan, namun pemain pertahanan Tampines, Dylan Fox tampil untuk mempertahankan benteng pasukannya.
Dengan pertahanan yang padat dan kemas, Tampines berjaya memanfaatkan kelebihan mereka hingga separuh masa pertama berakhir.
Separuh masa kedua bermula, dan Pohang teruskan asakan mereka ke bentang Tampines.
Pemain gantian Pohang, Kim-In Sung tekad memberikan impak, dan beliau berjaya melepaskan beberapa percubaan, namun kesemuanya hanya tepat ke dakapan penjaga gawang Tampines, Syazwan Buhari.
Peluang sekali lagi jatuh kepada Pohang pada minit ke-57, apabila tendangan sudut mereka menemui kapten pasukan, Lee Dong-Hee, tapi percubaan beliau terlepas sasaran.
Tampines tetap mengancam dengan serangan balas, dan pada minit ke-70, hantaran silang Joel Chew sampai ke Trent Buhagiar di dalam kotak penalti Pohang, tetapi pemain sayap Malta itu tidak berjaya memanfaatkan peluang tersebut.
Anak didik Park Tae-ho berusaha terus memburu gol penyamaan, tetapi barisan pertahanan Tampines kekal utuh bertahan sehingga ke wisel penamat. Ini merupakan kemenangan ketiga dalam kempen ACL2 Tampines musim ini.
Kemenangan tersebut bermakna Tampines menduduki tangga teratas kumpulan H dengan sembilan mata.
Perlawanan timbal balik Tampines menentang Pohang akan berlangsung di laman pasukan Korea Selatan itu pula, di Stadium Pohang Steel Yard, pada 6 November.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg